Anak Muda dan Agama

Spread the word!

Beberapa tahun yang lalu, saya ialah pelajar yang sedang meraba-raba mencari hala tuju. Pengalaman membesar di persekitaran sekolah agama, seolah memberi saya keyakinan bahawa ilmu agama yang ada di dada sudah cukup untuk memandu perjalanan diri. Justeru, saya melihat agama perlu dibangunkan dari luar, perlu diberi nilai tambah dengan subjek luar seperti sains atau ekonomi. Atau, apa-apa sahaja, asalkan kita boleh berdiri setanding orang lain. Barangkali, saya lebih disiram rasa cemburu melihat orang-orang bukan Islam menguasai dunia dengan ilmu-ilmu ini.

Tapi, Tuhan mengajarkan saya, dan merungkaikan betapa banyak falasi dalam cara fikir saya. Sehingga saya akhirnya, membuat pilihan untuk menjadi pelajar agama yang formal.

Pengalaman setahun jagung dalam formaliti ini memberi ruang untuk saya berinteraksi secara langsung dan tidak langsung bersama golongan akademik dalam bidang agama. Saya menemui pertembungan antara expectation para asatizah, realiti pemahaman dan kebuntuan di peringkat pelajar, dan keperluan semasa masyarakat. Justeru, saya menggunakan kesempatan yang ada untuk menilai semula di mana letak duduknya saya dalam bulatan ini.

Hal ini telah mengetuk kesedaran sehingga menemukan saya dengan beberapa perkara yang saya kira wajar untuk dikongsikan bersama.

Pertama: Subjek agama tidak sewajarnya dijadikan pilihan ketika terdesak sahaja

Bukan sebab tak ada pilihan lain, lalu subjek agama terpaksa diambil demi meneruskan kelangsungan hidup. Ini punca pertama yang menyebabkan orang agama tidak berkualiti; tidak ikhlas dalam menuntut ilmu agama sehingga ada yang sanggup menjual agama untuk kepentingan diri sendiri. Jual agama di sini tidak hanya bermaksud murtad, atau melanggar mana-mana prinsip asas dalam agama untuk ditukar ganti dengan kepentingan nafsu. Tetapi juga, menjadikan agama sebagai modal dan platform untuk mengaut keuntungan kocek sendiri.

Percaya atau tidak, antara 4 produk laku keras yang disenaraikan di dalam pasaran, produk yang menjuarai senarai tersebut ialah produk kerohanian.

produklakukeras
sumber: klik sini

 

Ceramah, pakej Al-Qur’an, pakej Haji dan Umrah, cara-cara taubat dan sebagainya adalah antara contoh yang dikemukakan.

Benar, trend ini boleh jadi juga mencerminkan bahawa masyarakat semakin berminat untuk mendalami agama, tetapi dalam masa yang sama, kita bimbang, hal ini akan berakhir sebagai aktiviti mengaut keuntungan semata-mata.

Kedua: Membangunkan agama, tidak bermakna kita perlu menurut acuan arus perdana

Arus perdana yang saya maksudkan ialah perkembangan semasa yang berlaku di dalam masyarakat, baik di dalam mahupun luar negara. Saya percaya, hanya kerana orang lain ada American Idol, tak semestinya kita perlu ada Muslim Idol. Orang lain ada Ratu Cantik, tak semestinya kita lawan dengan Ratu Muslimah.

Agama tidak boleh ditempel dari luar, sebagaimana yang pernah saya sangka dahulu. Sebab di zaman penuh fitnah ini, kekeliruan telah melanda Ummat, dan agama perlu dikuatkan dari dalam. Kita perlu kembali kepada essence dan dari situ, kita bina jati diri, benteng pertahanan dari segala anasir yang membinasakan.

beautypageant
Sumber: klik sini

Orang Islam perlu pergi lebih dalam dari permukaan yang terlihat dek kasar mata. Pembangunan pada kaca mata Islam adalah berbeza dari takrifan Barat.

Apatah lagi para pelajar agama; perlu bijak mendefinisikan identiti sendiri. Kadang-kadang kita terlupa, kita sebenarnya cuma memberi saduran agama kepada perkara yang intipatinya entah dari mana. Seperti menyadurkan emas ke atas besi. Besi tetap besi, tidak akan bertukar menjadi emas kalau hanya luarannya yang bersalutkan emas.

Ketiga: Attitude dan cara fikir

Kejayaan, profesionalisme, kerjasama, toleransi, bijak, kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, pengurusan masa, kebebasan bersuara, adab dalam berbeza pendapat adalah antara istilah-istilah penting yang perlu digariskan maksudnya secara terperinci oleh para penuntut subjek agama. Hari ini, misalnya, atas nama kebebasan, ada pihak yang membenarkan transformasi gender. Atas nama melengkapkan diri dengan kemahiran berkomunikasi, para remaja mengenepikan soal ikhtilat.

Ummat Islam adalah ummat yang self-sufficient. Kita tidak perlukan acknowledgement dari mana-mana pihak untuk mengatakan bahawa kita sedang berada di atas jalan yang lurus, kecuali pengiktirafan yang dipandu oleh nas-nas Syariah.

Para pelajar agama perlu menjadi ejen perubahan. Tak perlu ada jawatan tinggi baru hendak fikir pasal perubahan. Setiap kita ada peranannya.

Dalam bidang Fizik, ada satu istilah yang dinamakan Chaos Theory.

“Chaos theory studies the behavior of dynamical systems that are highly sensitive to initial conditions—a response popularly referred to as the butterfly effect.” (Wikipedia)

Ada banyak sudut pandang terhadap Chaos Theory ini, tetapi apa saya cuba bawakan hanyalah sebuah analogi mudah. Chaos theory mengkaji sejauh mana kesan sesuatu elemen ke atas sistem yang dinamik, sebagai contoh, adakah kadar kepakan sayap rama-rama di Brazil mempengaruhi taufan di Kansas, Amerika Syarikat?

Begitu juga peranan yang dimainkan oleh setiap individu. Cara fikir individu menghasilkan tindakan. Tindakan kolektif individu membentuk budaya setempat. Budaya setempat mempengaruhi kembali cara fikir individu. Kitarannya akan sentiasa berlaku. Maka, salah satu elemen perlu berubah untuk memberi impak yang lebih baik.

Keempat: Keluar dari sistem ciptaan manusia

Ya, dalam dunia ini ada banyak sistem. Sistem pembelajaran, sistem peperiksaan, sistem pekerjaan, sistem itu, sistem ini. Sistem yang membodohkan manusia, sistem yang merobotkan insan, sistem yang menghilangkan kemanusiaan. Dan kalau kita hendak menggunakan masa yang ada untuk melaungkan protes situ sini dengan harapan sistem akan berubah, sedangkan diri sendiri pun masih di takuk lama, kita tidak akan ke mana.

blind follow

Islam sendiri telah datang dengan sistem yang terbaik. Kita telah disediakan dengan teks yang lengkap lagi komprehensif untuk memandu pentadbiran sehari-harian. Sistem ciptaan manusia sebenarnya tidak ada kuasa, cuma ketaatan yang membuta. Kalau kita berhenti menjadi pak turut, apa lagi yang ada pada sistem? Berlainan dengan sistem yang diturunkan oleh wahyu yang bersifat independent; tidak kira samada seluruh manusia bersatu menentang ataupun sebaliknya, sistem yang diturunkan oleh wahyu tidak akan terjejas keutuhannya. Yang rugi adalah seluruh bangsa manusia itu sendiri.

Konklusi: Pembelajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah- ‘membudayakan’ atau ‘memberdayakan’? 

Pada hemat saya, perkataan yang lebih tepat ialah ‘memberdayakan’ pembelajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah, bukan ‘membudayakan’. Pembelajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah bukan perlu dibudayakan tetapi perlu dikuatkan, diperkasakan, dengan perbincangan ilmiah dan diskusi yang berisi.

Ia bukan sekadar budaya memegang Mushaf di setiap kelas atau di dalam KTM tanpa membawa isinya keluar ke pentas dunia, tetapi apa yang lebih utama ialah, topik perbualan yang menghiasi masa luang para pelajar agama; tidak hanya berbicara tentang ayat Al-Qur’an yang mengisahkan lelaki baik untuk perempuan yang baik, lalu bergetarlah rusuk kiri sang pelajar agama setiap kali melihat muslimah bertudung labuh malu-malu melewatinya. Sebaliknya, perkara yang menjadi perhatian perlu pergi lebih dalam dan bermakna.

Soalan-soalan seperti, “kenapa perempuan yang baik hati mendapat suami yang perengus dan pemarah?” “bagaimana seorang suami yang soleh dapat menguruskan isteri yang degil dan keras kepala?” dan persoalan-persoalan lebih penting yang melanda masyarakat, sehingga ada yang sanggup menukar agama dek tekanan rumah tangga, perlu dilontarkan.

Syeikh Hamza Yusuf Hanson menyebut tentang hadis Sahih Bukhari, yang memperihalkan kemusnahan Ummat Islam di tangan anak muda yang jahil.  Anak muda yang berapi-api semangatnya, tetapi tidak punya ilmu untuk memandu tindakannya. Anak muda yang dididik oleh Syeikh Google, sekelip mata sudah berupaya mengeluarkan fatwa sendiri.

Nauzubillahiminzalik.

Artikel ini pertama sekali untuk cerminan diri penulis, yang juga masih sedang bertatih mengenal makna hidup dan berusaha menguatkan hati di setiap cabaran yang mendatang. Kerana menjadi pelajar agama adalah satu galasan yang ada ketikanya melelahkan. Tidak ada yang telah meniupkan kekuatan untuk menulis sepanjang ini, melainkan firman Tuhan yang terkandung dalam Surah Al-‘Asr: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.” Di tengah-tengah kecelaruan zaman dan hambatan kehidupan, mudah-mudahan, jiwa kita kekal tabah di atas jalan kebenaran.

 


Spread the word!

Related Post

3 Comments