Belajar Mengira Dengan Surah Yasin

Spread the word!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya bagi setiap perkara itu jantung dan jantung Al-Quran adalah Yasin, dan barangsiapa yang membaca Surah Yasin, Allah akan menuliskan untuknya bahawa dia telah membaca Al-Qur’an 10 kali”

hadis-ys

 

Al-Qur’an adalah satu-satunya mukjizat yang kekal sepanjang zaman. Menariknya, tidak seperti kebanyakan mukjizat yang lain, Al-Qur’an ialah kalam Allah. Bukan makhluk Allah.

Selain mukjizat dari segi bahasa, sains, syariah dan sebagainya, satu lagi aspek kemukjizatan Al-Qur’an yang mendapat tempat di kalangan pengkaji ialah dari sudut angka.

Mukjizat Angka? 

Apa yang dimaksudkan sebagai mukjizat angka di dalam Al-Qur’an?

Saya datangkan contoh satu penemuan dari Dr Abdul Daem Al-Kahil, mengenai Surah Yasin.

Kita akan mula mengira sekarang, sediakan pen dan kertas.

Baik, sekarang kira bilangan huruf yang ada dalam ayat 1-2 dari surah Yasin.

Seperti di bawah:

kira-1
ya’ dan sin – 2 huruf  wau – 1 huruf alif lam qaf ra’ alif nun – 6 huruf alif lam ha’ kaf ya’ mim – 6 huruf

 

 

Kenapa wau dikira sebagai huruf berasingan dari kalimah Al-Qur’an? Sebab wau di sini ialah harf ‘ataf (huruf penyambung) dan independent dari kalimah Al-Qur’an. Dan ia terpisah dari kalimah sebelum dan selepasnya, sebagaimana yang dapat kita lihat di atas.

Sekarang, jika dilihat dari ayat matematik, susunan angka yang terhasil ialah 6612.

Apa kaitan 6612 dengan Al-Qur’an dan Surah Yasin? 

Fakta penting yang perlu diketahui sebelum kita teruskan ialah:

1- Terdapat 58 kalimah qur’an (قرآن) di dalam Al-Qur’an (boleh kira kalau tak percaya)

2- Bilangan surah dalam Al-Qur’an seperti yang kita tahu ialah 114

3- Surah Yasin ialah surah yang dimulakan dengan huruf مقطعة (iaitu surah yang dimulakan dengan huruf-huruf seperti alif lam mim, ta ha etc)

4- Terdapat 29 surah  yang dimulakan dengan huruf مقطعة .

5- Dan jika surah-surah ini disusun, surah Yasin terletak pada kedudukan yang ke-19

Ok sekarang kita sambung mengira.

Bermula dengan bilangan perkataan qur’an sebanyak 58 tadi, darab dengan bilangan surah dalam Al-Qur’an, kita akan dapati ia bersamaan 6612, sama dengan susunan angka dari 2 ayat surah Yasin tadi.

kira-2

SubhanaLlah.

Kita ke noktah seterusnya, untuk melihat bagaimana Yasin terbukti sebagai jantung/hati (قلب) Al-Qur’an menurut pembuktian angka.

Sebelum itu, kita akan lihat maksud perkataan قلب . Secara bahasanya, قلب dalam bahasa Arab bermaksud menukar sesuatu kepada sesuatu yang berlawanan dengannya. Cth tukar tangan kanan ke tangan kiri (bukan tukar tangan kanan ke kaki kiri). 

Sesuai dengan sifat jantung yang berdegup, dan hati yang berbolak-balik. Sebab itu, kita diajar untuk berdoa: Wahai Yang Membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMu.

Kata kunci bagi قلب  di sini ialah TERBALIK.

Kembali ke Surah Yasin sebagai قلب القرآن .

Sekarang, cuba terbalikkan susunan nombor 6612. Apa yg terhasil? 2166

Kita akan dapati nombor 2166 ini adalah BERSAMAAN dengan kedudukan Surah Yasin pada tempat ke-19 dalam susunan surah yang dimulakan dengan huruf مقطعة dan didarabkan dengan 114 bilangan surah dalam Al-Qur’an!

 

kira-3

SubhanaLlah!

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ilmu ini tidak perlu terlalu didalami oleh ummat Islam, kerana dibimbangi akan gugur tujuan asal Al-Qur’an diturunkan sebagai panduan hidup, di mana penekanan perlu diberikan kepada memahami isi kandungan Al-Qur’an daripada ‘meluangkan masa’ untuk takjub akan susunan angka-angka ini.

Akan tetapi, Dr Abdul Daem Al-Kahil menyangkal pandangan ini dan menyatakan bahawa ilmu ini perlu dihargai oleh ummat Islam, tanpa mengabaikan pemahaman isi kandungan Al-Qur’an sendiri.

Balance.

Saya setuju.

Sebab soalan yang dilontarkan oleh beliau dalam salah satu makalahnya adalah sangat tepat: Jika Allah mengatur seluruh alam semesta ini dalam keadaan yang sangat tersusun : bulan, bintang, matahari, gunung-ganang dan sebagainya, adakah Allah mengatur setiap kalimah dalam kitabNya juga dengan keadaan yang sangat tersusun?

Mungkinkah kita menggali hikmah di sebalik setiap susun atur kalimah Al-Qur’an dan memahami kemukjizatannya yang tersembunyi, lantas membuktikan lagi bahawa kitab ini bukanlah ciptaan Rasulullah SAW sebagaimana yang didakwa sebahagian pihak?

Letak duduk setiap perkataan/perkara.

Perkongsian di atas ialah pembentangan saya untuk subjek I’jaz Qur’an, diambil dari beberapa sumber, antaranya : http://www.kaheel7.com/ar/index.php/1/140-2010-04-02-01-20-26

Persoalan utama untuk tulisan kali ini adalah kepentingan menjaga istilah, maksud dan perkataan yang Al-Qur’an gunakan.

2 minggu yang lalu saya hadiri kuliah ekonomi yang dianjurkan oleh mahasiswa UIA. Prof Aslam membentangkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 4 pandangan mengenai maksud bagi perkataan Riba:

1- Riba sebagai ‘usury’

2- Riba sebagai ‘any form of interest’

3- Riba sebagai ‘unearned gains’

4- Riba sebagai ‘exploitation’

Jika kita memilih untuk menterjemahkan maksud Riba sebagai ‘usury’, kita akan dapati sistem kewangan hari ini tidak bermasalah, kerana kadar yang dikenakan tidaklah berlebihan.

Jika kita membuat pilihan kedua, menterjemah Riba kepada ‘interest’, kita akan berhadapan dengan ‘solusi’ yang menyamar sebagai ‘interest-free banking’.

Hanya apabila kita ke pandangan yang ke-3 dan ke-4 barulah kita akan dapat membuat penilaian yang lebih tepat  terhadap sistem perbankan dan kewangan yang ada pada masa kini.

Justeru, dapatlah disimpulkan di sini bahawa, ada banyak istilah dalam Al-Qur’an yang Allah gunakan dan tidak dapat dipermudahkan maksudnya kepada satu dua perkataan sahaja dalam bahasa manusia.

Dan jika kita kaitkan lagi dengan perkongsian pengiraan Surah Yasin tadi, kita akan dapati betapa tepatnya setiap pemilihan perkataan dalam Al-Qur’an.

Contoh, jika huruf wau (و) dan al-qur’an (القرآن) dikira sekali, kita tidak akan menghasilkan angka 6612, sebaliknya ia akan menatijahkan angka 672, dan seluruh pengiraan seterusnya tidak lagi relevan.

Bahkan, sambung atau terpisah kalimah juga memberikan maksud yang berbeza dalam bahasa Arab. Bandingkan contoh di bawah:

insyaKedua-dua perkataan di atas jika disebut akan berbunyi sama : In Sya Allah

Akan tetapi dari sudut penulisan, perkataan 1 dan 2 menghasilkan maksud berbeza.

Perkataan 1 bermaksud : Menciptakan/Menjadikan Allah – nauzubillahiminzalik

Perkataan 2 bermaksud : Jika Allah Izinkan (Ciptakan)

Kesimpulan

Setelah Nabi Adam as diciptakan, Allah SWT mengajarkan baginda tentang nama. Saya pernah bertanya, kenapa nama? Apa pentingnya mengetahui nama? Dan nama apa yang Allah ajarkan kepada Nabi Adam?

Kemudian, saya mula mempersoalkan, kenapa pokok dinamakan pokok? Kenapa bukan pen? Siapa beri nama?

Tidaklah saya tahu akan wujudnya ilmu epistemologi di bangku sekolah rendah ketika itu.

Kata Syed Naquib Al-Attas, “ilmu ialah ketibaan makna kepada diri, serta ketibaan diri kepada makna”

 

syed-naquib

 

Semoga ilmu yang kita cari menyampaikan kita kepada makna, dan menyampaikan makna kepada kita.

Amiin.

 


Spread the word!

Related Post

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>