Bertanya Soalan yang Betul

Spread the word!

Saya membuka pintu dengan lemah. Kepenatan setelah seharian ke sana ke mari. Salah kunci. Segugus kunci yang saya pegang di tangan saya belek satu per satu. Apabila kepenatan, perbuatan yang biasa dibuat dan mudah pun jadi sukar. Akhirnya saya menemui kunci yang betul dan berjaya masuk ke rumah. Saya rebahkan belakang ke atas katil yang empuk. Alhamdulillah, betapa leganya dapat berhenti sekejap dari kepenatan dunia.

Saya memandang pintu bilik yang pegun di hadapan mata. Terlihat tombolnya yang dikunci dari dalam. Dalam sukatan pelajaran Biologi semasa zaman SPM, ada satu teori yang dinamakan ‘lock and key’. Lock and key ialah satu model yang yang menjelaskan interaksi antara enzim dan substrat untuk menghasilkan produk. Seperti satu kunci dapat membuka pintu yang spesifik, hanya enzim spesifik yang dapat bertindak ke atas sesuatu substrat.

locknkey

Dalam kehidupan, kesulitan yang menimpa kita juga adalah spesifik dan unik. Kerana Allah SWT telah berfirman, “Allah tidak akan membebankan sesuatu ke atas seseorang melainkan mengikut kemampuannya.” Setiap kesukaran yang datang dalam hidup kita, telah direka dan dibentuk dengan sangat teliti oleh Allah SWT, sesuai dengan kemampuan setiap individu. Dan setiap masalah yang diberikan oleh Allah SWT, tidak dapat tidak, akan datang bersama kunci. Kunci yang perlu dicari dan digali. Selagi kita tidak bertemu kunci yang betul, kita akan terus terperangkap di dalam pusingan yang sama.

Kata Syeikh Hamza Yusuf, apa-apa sahaja keburukan yang kita lalui di dunia ini perlu disyukuri kerana tiga perkara. Pertama, kerana ia berlaku sekarang, bukan di akhirat. Sesungguhnya setiap perkara yang kita sukai atau benci adalah bersifat sementara. Sementara di akhirat pula, azab yang kita terima akan kekal selamanya. Kedua, kerana ia menyakiti urusan keduniaan kita seperti pekerjaan, kewangan, kejayaan material, kasih sayang dan perhatian, dan tidak menjejaskan deen kita seperti syahadah, dan kesedaran beragama. Selagi kita masih punya Iman dan Islam, jagalah dua nikmat terbesar ini dengan sebaik yang mungkin. Biar kehilangan semua di dunia, asalkan tidak kehilangan nikmat agama dan Tuhan. Dan ketiga, keburukan tersebut perlu disyukuri kerana apa yang menimpa kita boleh sahaja menjadi lebih teruk dari keburukan yang kita benci sekarang.
Untuk membuka pintu masalah, kita perlu mencari kunci yang tepat supaya kita dapat tiba ke destinasi yang kita idamkan. Justeru, demi mendapatkan kunci yang tepat, kita perlu bertanya soalan yang betul.

Remember the entrance door to the sanctuary is inside you

Apabila dihinggapi musibah, jangan bertanya, “Kenapa aku? Kenapa mesti aku yang diuji begini? Adakah Allah SWT tidak menerima doaku? Bukankah Allah Maha Penyayang? Kenapa aku dibiarkan dalam kesulitan tanpa pertolongan? Kenapa?” Soalan-soalan bernada putus asa dan berbaur negatif sebegini tidak akan menyelesaikan masalah, tetapi akan menambahkan kekusutan.
Sebaliknya, kita harus melatih diri untuk bertanya soalan yang betul. “Adakah peristiwa buruk itu telah memaksa aku untuk melakukan sesuatu yang aku tidak pernah tahu pun yang aku mampu buat?” atau “Adakah kejadian yang menyedihkan itu telah membuka mata untuk melihat satu perkara berharga dalam hidup yang sebelum ini diabaikan?” atau mungkin juga, “Adakah selepas kejadian itu, aku berjaya mengenali kelemahan diri yang telah menghalang kebahagiaan aku sebelum ini?”

Sebenarnya, kita sendiri yang menentukan samada kita bahagia atau tidak. Kebahagiaan tidak dicapai dengan terhasilnya menggapai cita-cita, tetapi kebahagiaan dirasai oleh mereka yang memilih untuk merasa bahagia. Dalam hidup yang sederhana ini, ada banyak perkara yang boleh kita syukuri.

Apa yang penting, kita perlu melihat perkara buruk tersebut dengan kaca mata yang positif. Bagi setiap kejadian buruk yang menimpa dan membuatkan kita sengsara, kita perlu senaraikan menfaat dan kebaikan yang kita peroleh. Semua orang mahukan pelangi tetapi suka merungut apabila hujan turun. Sedangkan, pelangi hanya akan muncul selepas hujan reda.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH 7 Mei 2015)


Spread the word!

Related Post

One Comment

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>