Catatan untuk Siri Suara Jiwa

Spread the word!

Aku tahu, kamu sedang lelah. Berperang dengan diri, cuba membuktikan sesuatu bukan demi manusia lain, tetapi untuk dirimu sendiri pun. Sedaya upaya mahu keluar dari terowong kegelapan. Di manakah sepotong cahaya yang dapat melegakan jiwa yang sedang kelemasan? Kamu menjerit sekuat hati. Teriak lantang tanpa suara bersisa lagi. Kamu membentak menghukum kebodohan diri, kesilapan masa silam, dan kamu menyalah-nyalahkan Tuhan. Ah, apa pun yang kamu tangisratapkan, tetap tak mampu menyelesaikan. Kamu cuma mahu sampai ke penghujung kesengsaraan, tidak adakah roket perentas masa? Apakah kenderaan paling pantas untuk tiba ke garis penamat? Sunyi. Takkan, lah? Habis? Mana mungkin! Itu sahaja. Apa dia?! Mati.

Terkesima.

Tapi kamu masih punya secuit ketakutan di dada. Entah takutkan kesakitan atau kemarahan Tuhan, namun kamu tahu nyawa bukan mainan cuba-cuba.

Pejamkan mata.

Biarkan hangat di tubir mata.

Jatuhkan segala berat di dalam dada.

Kamu tahu?

Ada pepatah menyamakan hidup ini seperti memandu kereta di waktu malam, tanpa cahaya lampu jalan. Dengan sorotan lampu hadapan, ia dipandu berdikit-dikit menghampiri tujuan. Laju atau perlahan, ia tetap akan tiba jika tiada aral melintang. Kita tidak punya kawalan dalam banyak takdir dan suratan, tetapi kita punya kebebasan penuh terhadap gaya pemanduan dan cara menikmati perjalanan.

Tuhan tak pernah mensia-siakan makhluk yang Dia cipta. Sulit yang kamu rasa adalah bukti kamu bernilai di sisiNya. Kerana kamu mulia, maka Dia hantarkan segala bentuk kesusahan untuk kamu membukti cinta. Tetapi Tuhan tidak pernah menganiaya. Kitalah yang memilih perasaan yang menguasai jiwa, juga urusan penerimaan atau sebaliknya.

Berdamailah dengan diri.

Berdamailah dengan perjalanan ini.

Berdamailah dengan Tuhan yang menghantarmu ke sini.

Pengabdian insan cuma kepada Tuhan. Bukan nafsu dan keinginan, bukan juga gelaran dan kemewahan. Bukankah kita telah bersaksi sebelum kelahiran, bahawa Dialah Tuhan?

Untuk itu, setiap kesulitan ini adalah jalan untuk tiba kepada Tuhan, bukan syaitan. Janganlah biarkan kekecewaan kamu membunuh pengharapan lalu menarikmu ke gaung kegelapan yang dihuni musuh yang menyesatkan.

Alangkah rugi usia dan nyawa yang telah Dia anugerahkan.

Menjadi makhluk terhormat bererti kita tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk kegilaan yang cuba merampas kewarasan yang Tuhan kurniakan.

Tidak ada kenderaan perentas masa untuk menyingkatkan perjalanan, kerana Tuhanmu tidak melihat natijah dan keputusan. Tetapi Dia menilai setiap langkahan kaki yang kamu telah kentalkan.

Begitu juga kamu harus menikmati setiap saat kesulitan; dengan menuangkan erti pengabdian yang terindah mengikut kemampuan.

Kerana Tuhan selalu adil, cuma kita yang degil.

pstr


Spread the word!

Related Post