Falasi Identiti

Spread the word!

Pada suatu masa yang lalu, saya pernah mengumumkan bahawa saya mahu mengambil bidang Fizik selepas tamat SPM. Ramai yang bertanya, “kenapa Fizik?’ lalu banyaklah jawapan-jawapan cliché yang saya berikan.”Sebab saya nak jadi saintis untuk menyumbang kepada Islam” dan sewaktu dengannya.

Mereka menasihatkan saya supaya mendirikan solat Istikharah. Dan saya pun mendirikannya. Sekadar mengambil syarat. Sedangkan di dalam hati, saya sudah tak nampak pilihan lain selain Fizik. Lalu media pun meletakkan tajuk di berita-berita mereka, “Madihah istikharah untuk sambung pengajian,” Di sini ada satu perkara yang perlu saya jelaskan, akan saya sentuh di waktu yang lain inshaALLAH.

“Siapa aku?”apa yang saya mahu?” “ke mana akan kutuju?” adalah persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh setiap individu secara jujur dan telus. Malah, perlu dididik untuk difahami oleh anak-anak sejak kecil.

Saya ialah murid yang dikatakan meminati subjek sains sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Subjek sains dan matematik pula ialah subjek yang apabila skor tinggi, akan memberi satu kepuasan yang tak terbanding oleh subjek-subjek lain. Begitu budaya kita, atau sekurang-kurangnya budaya di mana saya dibesarkan.

Seorang anak yang suka bertanya dan gemar melihat langit, malam, bulan dan bintang. Sehingga satu hari saya bertanya ayah, “Langit ni, bentuk dia bulat ke? Saya berimpian mahu ke bulan, menjejak setiap planet dan bertemu makhluk asing.

Apabila melangkah ke sekolah menengah, saya sudah dapat membezakan mana betul mana khayalan. Tetapi rasa kagum dan takjub saya terhadap alam yang tergantung luas di atas bumi tidak pernah pudar.

Maka saya berusaha keras untuk mendapat keputusan yang baik dalam subjek-subjek Sains dan Matematik.

Selepas keputusan SPM diumumkan, saya berazam mahu meneruskan pengajian dalam bidang Fizik. Tanpa menyelidik ke dalam diri, adakah benar ini apa yang saya mahu? Kesibukan memenuhi undangan menjadi alasan untuk saya tidak mengambil masa bagi duduk sebentar dan jujur kepada hati. Saya mentah pengalaman, belum melihat dunia luar, bergegas membuat pilihan. Saya sangka itulah yang saya mahu.

Berangkat ke Jordan, saya disinggahi rasa ragu, tapi saya abaikan dan teruskan melangkah. Saya tidak berhenti untuk menyelidik tentang kehendak diri, tetapi saya cuba mengesan kemungkinan yang menyebabkan saya berasa ada sesuatu yang tidak kena. Lalu saya pulang ke Malaysia untuk menukar pengajian ke United Kingdom.

Setelah memulakan A Level, saya mulai menyedari bahawa jodoh saya bukan bersama Fizik. Saya gagal menemukan kepuasan dengan berada di sini. Dan saya menemui kecenderungan di tempat lain; Pengajian Islam. Satu hakikat yang saya sendiri tidak berani hadapi. Apatah lagi untuk berterus terang kepada sesiapa. Saya baru faham bahawa perasaan yang saya alami terhadap Fizik sepanjang persekolahan cumalah kekaguman, ketakjuban terhadap ciptaan Allah. Bukan rasa cinta untuk hidup bersama dengannya.

Lalu saya pura-pura tidak mengerti, habiskan A Level sehingga memperoleh tempat di Universiti Nottingham. Saya bisikkan kepada diri bahawa saya tidak boleh biarkan pisang berbuah dua kali, dan saya bertolak ke luar negara dengan harapan keadaan akan jadi lebih baik.

Di Nottingham, saya tidak mampu lagi menipu diri sendiri dan orang lain. Saya mengumpul segenap keberanian untuk meluahkan perasaan, bahawa saya mahu bercerai dari Fizik.

Alhamdulillah, akhirnya Allah menghantar saya ke sini.

Setiap hari, manusia bertemu pengalaman baru. Perjalanan yang dilalui harus membawa kita kepada mengenal diri. Setiap kembara yang ditempuhi kadangkala menghadiahkan pengajaran yang cuma difahami oleh sang pengembara. Saya terlewat memahami identiti sehingga pandangan saya dikaburi oleh falasi ciptaan sendiri. Saya tidak pernah menjangka bahawa terdapat kemungkinan pandangan saya diperdaya oleh suasana atau diperbudak oleh sistem setempat.

Tetapi kehidupan adalah proses mencari jawapan yang sepatutnya akan membawa insan kembali kepada Pencipta. Terpulang kepada diri manusia, samada mahu berani menghadam kebenaran atau terus hidup dalam penafian. Saya bersyukur dengan setiap kejadian yang menimpa. Walaupun orang awam akan memandang saya dengan pelbagai jenis pandangan, saya sudah terlalu kalis dengan kata-kata biasa mereka.

Kalau ada satu perkara yang boleh saya tegaskan di sini; fahamilah diri sendiri sejak dari awal. Manusia setiap hari akan perlu membuat pilihan. Jika diri difahami, proses membuat pilihan akan jadi lebih terarah, inshaALLAH.

Semoga setiap pilihan membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT, Amiin.


Spread the word!

Related Post

2 Comments