Fashionista- Ikut Trend Semasa atau Ikut Tuntutan Agama?

Spread the word!

Saya menekan papan kekunci mencari apa yang dimaksudkan dengan ‘fashionista’, sehingga akhirnya saya bertemu laman web urbandictionary.com yang mendefinisikan fashionista sebagai seorang yang menerajui perkembangan fesyen, atau mempunyai fesyen yang tersendiri dan unik. Seseorang tidak boleh digelar fashionista sekiranya dia hanya mengikuti trend semasa.

Saya kehilangan kata-kata, setiap kali wajah-wajah anggun wanita Islam memperagakan pakaian-pakaian menutup aurat mereka dengan penuh karisma sambil mengajak penonton untuk membeli pakaian-pakaian tersebut. Bermekap lengkap, para muslimah membuat pelbagai gaya; gelak manja, senyum ayu, tangan bersilang, dada ke hadapan, untuk mempromosikan apa sahaja barang yang hendak dipromosikan.

Ya, akhirnya wanita-wanita Islam kita juga dianugerahkan gelaran ‘fashionista’ dek kerana telah merintis jalan untuk memadankan fesyen kontemporari dengan syariat Islam.

Saya menarik nafas panjang. Mencari jawapan di sebalik semua ini. Wajarkah wanita Islam menunjuk-nunjuk tubuh mereka di hadapan kamera setelah berhijab dengan sempurna? Saya secara peribadi sangat tidak percaya akan idea menggunakan (baca: menyalahgunakan) wanita sebagai alat dakwah (kononnya) – meletakkan perempuan berpipi gebu, berbibir merah mungil, tinggi lampai, suara lunak merdu bak buluh perindu (yang kadang-kadang dibuat-buat), lalu disarungkan dengan busana muslimah berwarna warni bak pelangi selepas hujan, dengan alasan menunjukkan contoh yang betul untuk berpakaian di dalam Islam. Kadang-kadang wanita-wanita ini mengalunkan lagu memuja Tuhan, sebagai lesen menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Saya teringat satu hadis Rasulullah SAW, yang menceritakan petanda akhir zaman.

“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (pemerintah) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan. Menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah dapat dicium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya.”

Saya melihat hadis di atas tidak hanya terhad kepada apa yang jelas disaksikan oleh mata sahaja, tetapi mencakupi setiap individu muslimah baik yang jelas menutup aurat mahupun sebaliknya.

Satu ketika kita lantang menentang penggunaan wanita-wanita seksi yang pakaian tak cukup inci sebagai alat melariskan jualan komoditi yang langsung tidak ada kaitan dengan perempuan pun. Kita kata, “ah ini semua salah Barat.” Namun di ketika yang sama, kita datangkan kembali perkara yang serupa cuma dalam wajah yang berbeza. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

Pada pendapat saya, mengetengahkan Islam ke dalam masyarakat bukan begitu caranya. Mahu mengajak orang mengenal ajaran Islam bukan itu kaedahnya. Saya malah masih mampu berpandangan positif terhadap wanita-wanita Islam di luar sana yang masih/tidak menutup aurat, kerana sebahagiannya adalah urusan mereka dengan Tuhan, setelah bahagian menyampaikan telah kita laksanakan. Tapi saya sangat sakit hati melihat gejala makhluk-makhluk yang memperguna kemuslimahan demi kepentingan kocek sendiri makin berleluasa. Sedangkan di luar sana, betapa ramai mata yang memandang wajah putih gebu mereka dengan rakus, bahkan mewujudkan budaya ikut-ikutan; ‘pandanglah aku. aku muslimah dan aku masih bergaya, seiring peredaran masa.’

Akhirnya, masyarakat wanita kita sanggup menghabiskan masa berdandan berjam-jam lamanya supaya kelihatan cantik, meskipun berhijab dan bertudung labuh. Sanggup mengikat perut demi membeli sehelai jubah yang dihias sulaman eksklusif, sedangkan jubah biasa yang sederhana mudah sahaja didapati. Kenapa? Sebab terpengaruh oleh media sosial dan fesyen yang diketengahkan oleh wanita Islam sendiri. Saya tak rasa ini adalah perkembangan positif.womenisnotgarment

Khadijah ra disegani kemahiran berniaganya yang meletakkan nama seiring ahli-ahli korporat lelaki zamannya, Aisyah ra disebut-sebut kebijaksanaannya sedangkan Fatimah ra dikagumi ketinggian pekertinya.

Sejak bila wanita Islam perlu bertata rias berdandan indah untuk tampil ikonik? Panggil saya skeptik, saya tak peduli, kerana saya percaya kami, wanita Islam, ada nilai yang jauh lebih tinggi berbanding harga yang diletakkan kapitalis-kapitalis dunia bertopengkan Islamis.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH 9 April 2015)


Spread the word!

Related Post