Guru Pertama

Spread the word!

Teringat zaman kanak-kanak, guru pertama saya ialah umi. Saya pandai membaca sebelum saya masuk ke sekolah lagi, kerana umi yang rajin mengajar saya di waktu petang. Masih jelas terbayang di kotak minda, suatu petang yang jingga, saya meniarap sambil membaca dengan laju, ditemani umi. Saya baca semua benda yang ada. Dari surat khabar, majalah orang dewasa, buku resepi, apa sahaja yang saya jumpa. Sebab kami tak ada buku cerita. Buku cerita adalah kemewahan untuk kami.

Apabila saya memulakan darjah satu, setiap kali cikgu Bahasa Melayu panggil untuk baca buku di hadapan bilik darjah, ketika kebanyakan murid lain takut-takut, saya boleh keluar ke depan dengan yakin, sebab saya dah pandai baca.

Saya juga belajar melihat jam dari umi. Saya malah masih mampu melihat umi tergelak apabila saya lukis jarum jam sampai penuh bulatan. Sebab saya sangka, setiap saat dan minit pun kena ada jarum.

Waktu di sekolah rendah, rumah kami sangat dekat dari sekolah. Kadang-kadang saya terlewat bangun, saya boleh dengar orang dah mula baca doa dari jauh, lalu saya akan cepat-cepat lari sebelum pagar sekolah ditutup. Atau, ada hari yang saya tak ke sekolah, saya boleh dengar pengumuman yang cikgu buat, jadi saya masih tahu apa sedang berlaku di sekolah. Jarak yang sangat dekat ini memberi banyak kelebihan. Jimat duit belanja, senang bawa bekal, senang curi-curi balik rumah untuk makan nasi dan mandi sebelum kelas petang. Ops.

Semasa di sekolah rendah, umi rajin sediakan bekal. Tambahan pula, saya seorang yang malas beratur, jadi saya memang selalu bawa makanan sendiri supaya saya boleh cepat-cepat makan dan pergi lepak di perpustakaan. Pagi-pagi umi masak nasi goreng, mihun goreng, atau paling tidak pun ambil saja lauk lebih semalam. Kadang-kadang kalau tak sempat nak sediakan bekal sebelum ke sekolah, umi akan pesan supaya nanti check di pintu pagar sekolah. Jadi, bila tiba waktu rehat, orang lain pergi ke kantin, saya pergi ke pagar sekolah sebelah kantin dan ambil bekal yang umi sangkut dekat pagar besi ‘tu. Biasanya saya akan kongsi dengan rakan-rakan yang lain. Setiap kali ada yang tumpang makan, mesti mereka akan cakap “Wah sedapnya umi awak masak! Boleh jadi Chef Two!” Berbunga hati saya yang masih anak-anak, meski tak mengerti apa yang dimaksudkan dengan chef two.

Umi juga didik kami adik beradik supaya menabung dan berjimat cermat. Kalau hendak apa-apa, mesti pandai raih sendiri. Saya jarang meminta. Banyak perkara yang saya usahakan dengan apa yang umi dan ayah beri. Duit kocek seringgit dua yang diberi setiap hari, saya akan simpan hati-hati supaya boleh guna untuk tujuan lain.

Suatu ketika dahulu, saya selalu rasa cemburu melihat orang lain dihantar ke PASTI di usia 5 tahun lagi, tapi bila umi cakap kita tak mampu macam orang lain, saya faham. Saya tak mendesak, dan umi jadi guru saya di rumah. Membaca, tambah tolak darab bahagi, semua itu saya belajar dari umi. Umi pun tak pandai mengaji macam ustazah. Tapi dia berusaha cari tempat untuk kami mengaji. Kami adik beradik jalan kaki ke masjid. Bila kami balik lambat, dia keluar tunggu di jalan besar sambil kerisauan, mana anak dia tak balik lagi. Umi saya tak pergi universiti, dia tak pandai cakap inggeris, cakap kolumpo pun tidak. Tapi dialah sekolah pertama saya.

Ya, memandangkan umi tidak bekerja, kami tidak semewah orang lain.

Tapi pembangunan diri saya yang ditemani umi adalah pengalaman yang tak mungkin dijual beli.

Ibu adalah madrasah, jika engkau mempersiapkannya, engkau telah mempersiapkan generasi terbaik (Syair Arab)

Saya bimbang, melihat fenomena anak-anak perempuan yang dihantar kepada penjaga lelaki, terdapat kemungkinan penjaga lelaki ini yang memandikan, dan menukarkan pakaian anak-anak kita. Mungkin sebab sudah terbiasa dari kecil bersama mereka, jadi tak rasa kekok. Tapi, walau apapun, penjaga-penjaga lelaki ini masih bukan mahram, dan perlu ada batasnya.

Berapa banyak kes yang kita jumpa, anak-anak gadis sekecil usia 3 tahun dinodai maruahnya.

Banyak pengajaran hidup, yang hanya boleh diajar oleh ibu bapa sendiri, sejak dari kecil. Dan pengajaran-pengajaran ini akan membuat ibu bapa lebih dihargai oleh anak-anak apabila dewasa nanti.

Bayangkan jika anak-anak sudah meningkat remaja, dan kita bertanya, apa pelajaran terbesar yang ibu bapa berikan kepada anda?

Jawapan apakah yang mahu kita dengar dari mereka?

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk berbicara soal keibubapaan, dan saya juga masih bukan anak yang baik untuk ibu sebaik umi. Kalaupun ada kebaikan, mohon hantarkan Al-fatihah buat umi. Doakan umi tenang di sisi Ilahi, bersama insan-insan yang dimuliakan Allah Rabbul ‘Izzati.


Spread the word!

Related Post