Kenapa Rasulullah SAW ialah Pedagang? (Bhg 1)

Spread the word!

Luar Tajuk

Ketika saya memutuskan untuk menyiapkan tugasan bagi Subjek ‘Hadis Ahkam’ dengan tajuk di luar skop yang diberikan pensyarah, beliau memandang saya ragu. “Betul awak tak buat tajuk ini untuk subjek lain?” Saya kehairanan dengan soalan tersebut. “Apa maksud ustaz tanya macam tu eh..” saya bertanya dalam hati.

“Bukan apa, ada sesetengah pelajar yang membuat satu tugasan untuk 2 subjek,” ustaz menjelaskan tanpa perlu saya pinta. “Oh patutlah….” Saya memahami kegusaran beliau.

“Tak, ustaz. Betul saya pilih tajuk ini untuk subjek ustaz sahaja,” saya meyakinkan beliau.

Alhamdulillah beliau membenarkan.

Kami sepatutnya diberi tugasan untuk mencari 2 elemen dalam Al-Quran untuk dibentangkan. Meneroka sisi-sisi keajaiban saintifik, dan mengambil pengajaran dari 2 ciptaan Tuhan yang kami pilih dari Al-Qur’an.

Saya memang telah memilih 2 elemen: Cahaya dan Masa.  Dan untuk subjek ini, patutnya saya perlu pilih lagi dua elemen, memandangkan saya mengambil 2 subjek dengan ustaz yang sama dan tugasan yang diberikan juga sama.

(InshaAllah di kesempatan yang lain, saya akan kongsikan tentang Cahaya dan Masa)

Tapi untuk subjek yang ini, saya tergerak untuk membuat  kajian kecil dengan konsep yang berbeza, yang saya beri tajuk, “Hadith On Economy”.

Hadis Tentang Ekonomi. Saya anggap tajuk tersebut tak lari dari konteks subjek kami sendiri, ‘Hadith Ahkam’, maka saya berani mengemukakan hasrat tersebut kepada ustaz.

‘Kenapa Rasulullah SAW ialah seorang pedagang?’

Persoalan ‘Kenapa Rasulullah SAW ialah seorang pedagang?’ menjadi titik mula yang membuka perbincangan. Melalui klip video ringkas yang saya dapati di laman youtube, disampaikan oleh Syeikh Hamza Yusuf, saya mula menyenaraikan jawapan.

Sebelum kita memahami hikmah di sebalik latihan yang baginda SAW lalui sebagai seorang pedagang, kita harus terlebih dahulu meneliti latar tempat di mana Rasulullah SAW dibesarkan, iaitu Mekah.

Mekah sejak dari awal merupakan laluan strategik bagi pedagang-pedagang yang mengembara dari Selatan dengan barangan berharga. Mereka membawa emas, batu permata, dan rempah ratus dari Afrika ke Yaman. Dengan kedudukan geografi yang menarik dari sudut perdagangan, memandangkan Mekah terletak di antara laluan Yaman-Syria dan Habsyah-Tanah Arab, Mekah menjadi persinggahan pedagang yang datang dari segenap arah. (1)

Sebagai sebuah kawasan yang kurang subur untuk pertanian, Mekah muncul sebagai kota perdagangan yang masyhur, ditambah pula dengan keberadaan Kaabah sebagai pusat ibadat, menjadikan Mekah pusat perhatian manusia, sehingga dicemburui Abrahah yang sanggup datang dengan tentera bergajah bagi memusnahkan rumah Allah ini.

mekah-ilus

Rahsia Perniagaan

Menurut Syeikh Hamza, manusia yang paling bermanfaat dalam masyarakat manusia ialah para pedagang. Apa tidaknya, setiap keperluan dan kehendak kita pada hari ini diwujudkan oleh mereka, si peniaga yang menawarkan barangan masing-masing.

Namun itu tidak cukup untuk memahami hikmah di sebalik peranan Rasulullah SAW sebagai seorang peniaga.

Sebuah hadis menyebut :

hadis-at-tajir

Dari Abdullah ibn Umar ra berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Peniaga Muslim yang amanah dan jujur bersama para Syuhada’, – dan dalam riwayat yang lain, bersama para Nabi, Siddiqqiin, dan Syuhada’- pada Hari Kiamat.

Betapa tinggi darjat seorang peniaga yang amanah dan jujur sehingga melayakkan dirinya untuk ditempatkan bersama para Anbiya’, Siddiqqiin dan Syuhada’ yang amat mulia di sisi Allah SWT.

Perjalanan hidup baginda Muhammad SAW yang bermula sebagai pengembala kambing dan seterusnya ke medan ekonomi seawal usia 12 tahun bersama bapa saudara baginda SAW, Abu Talib, menunjukkan kepada kita betapa pentingnya sikap jujur dan amanah, sehingga baginda Nabi SAW terkenal dengan gelaran Al-Amin, walaupun berada di tengah-tengah kebobrokan masyarakat Arab Jahiliah yang sinonim dengan penipuan dan penindasan.

Tidak ramai yang tahu bahawa Rasulullah SAW pernah terlibat dalam penubuhan ‘Liga Ahli Perniagaan Beretika’ bagi menyuburkan sikap amanah dan dermawan dalam kalangan peniaga-peniaga di Mekah. Imam Dean Ahmad memberi komentar, bahawa usaha Rasulullah SAW itu mungkin telah memberikan impak kepada masyarakat pada ketika itu, namun apa sahaja pengaruh yang baginda SAW tinggalkan akan pudar dibandingkan dengan pengaruh baginda SAW sebagai Nabi, Rasul terakhir utusan Ilahi. (2)

Maybe it just doesn’t fit me

Sewaktu masih di bangku sekolah rendah, ayah pernah mengusahakan sebuah kedai peralatan memancing. Saya masih ingat membawa pulang sekotak key chain yang berbentuk ikan untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan. Cuba-cuba membuat jualan. Saya yang tak pandai menanam tebu di bibir mulut, akhirnya naik segan dan malu. Saya serik dan berjanji kepada diri yang saya tak mungkin akan menghampiri bidang perniagaan lagi. Saya membuat konklusi: Maybe it just doesn’t fit me.

Keasyikan tenggelam dalam lautan buku pelajaran dan seronok dengan formula matematik, dihanyutkan mimpi mendarat di Bulan, saya tak pernah membayangkan yang saya akan cenderung ke bidang perniagaan.

Sehinggalah saya digasak dari pelbagai sudut dan mulai sedar bahawa saya tidak wajar bergantung kepada bantuan luar semata-mata.

Saya mula melihat sektor perniagaan dan ekonomi dari sudut yang berbeza.

Bersambung..

Nota kaki:

1. Life and Teachings of The Prophet Muhammad SAW, Its relevance in a Global Context, Farida Khanam

2. https://books.google.com.my/books?id=yifMkodJPmQC&printsec=frontcover#v=onepage&q=league&f=false


Spread the word!

Related Post