Menanggapi Penderitaan Ummat

Spread the word!

Rasulullah SAW bersabda, “Akan datang satu masa yang mana umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya:“Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda SAW menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu umpama buih-buih di lautan.”

 

Hari ini kita menjadi saksi untuk melihat hadis Rasulullah SAW menjadi realiti. Saban hari, kita dihidang dengan berita umat Islam ditindas di mana-mana. Dengan isu Palestin yang tidak pernah reda, saudara kita di Kashmir, Syria, Libya, Tunisia, Afghanistan dan kawasan sekitar yang menderita, belum kira umat Islam di negara minoriti Islam yang terdedah kepada bahaya Islamophobia, Charlie Hebdo yang menggegarkan dunia, serta kemunculan kumpulan mengaku Islam yang memaparkan imej keganasan. Umat Islam dewasa ini semakin kelemasan.
Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Malaysia masih aman. Tidak, ini bukan frasa sarkastik untuk menyindir mana-mana pihak, tetapi ini lafaz syukur yang datang daripada hati. Tanpa menafikan kesusahan yang dialami oleh segelintir besar rakyat negara ini, saya yakin, umat Islam di tempat lain lebih hebat dugaan mereka.

Ibu bapa dibakar dengan kejam di hadapan mata, dipaksa memakan daging sendiri, dicabut kuku satu demi satu, Allahu Akbar, Allah bakal menghitung setiap satu kezaliman yang menimpa saudara mara kita, pasti!
Sementara di satu sudut lain, umat Islam di Malaysia melihat saudara seagama di luar negara dengan pandangan penuh simpati. Dana dikumpul, pelbagai program dirancang untuk mengumpulkan derma untuk disalurkan kepada mereka di sana. Lencana butang, selendang, jubah berlogo Palestin antara barangan yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Di mana-mana, orang menaikkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti, menganjurkan konsert atas nama mengingati penderitaan umat Islam di Palestin.

Sehingga akhirnya, situasi ini menjadi satu fenomena konsumerisme yang mana kapitalis mengambil kesempatan ini untuk mengeluarkan pelbagai jenis produk yang menyentuh emosi umat Islam terhadap penderitaan di tempat lain. Saya tertanya-tanya, adakah ini yang dinamakan mengambil berat akan nasib umat Islam di sebelah sana?

Saya percaya, jika benar kita cakna akan saudara kita yang menderita di tempat lain di seluruh dunia, seluruh kehidupan kita akan berubah. Tidak akan ada lagi masa untuk berseronok-seronok membuang wang pada perkara yang membazir dan sia-sia, tidak ada juga akhlak buruk mengutuk sesama muslim di dalam negara, tidak ada lagi kesanggupan untuk berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia.
Adalah sesuatu yang sangat janggal bagi kita untuk melaungkan slogan, “Solidariti bersama umat Islam yang ditindas!” sambil menangis-nangis di media sosial atau kaki lima, dan setelah pulang, seminggu kemudian, kita kembali ke rutin lama; muat turun filem korea sambil makan bertih jagung, hingga terlupa waktu solat.

Kuncinya ialah pada cara kita melihat penderitaan umat. Jika kita hanya bersimpati terhadap nasib malang mereka, kita sudah melakukan kesilapan yang besar.

“Oh, kesiannya, besar ujian buat mereka,” walhal kita yang melihat juga sebenarnya sedang teruji.
“Perumpamaan kaum mukmin dalam kasih sayang dan belas, kasih serta cinta adalah seperti satu tubuh. Jika satu bahagian anggota tubuh sakit maka akan merasa sakit seluruh tubuh dengan tidak bisa tidur dan merasa demam.” Bayangkan jika yang dikejami di dunia sebelah sana ialah ahli keluarga kita, adakah kita akan memberikan respons yang sama? Tidak, kerana kita juga merasakan setiap inci tubuhnya yang dilukai.

“Kami tidak perlukan anda untuk datang mengangkat senjata bersama kami di sini, tetapi kami memerlukan doa dari anda” begitu kata-kata seorang rakyat Palestin. Doa, bukan hanya dipanjatkan laju-laju selepas solat, atau sekadar meniti di bibir sebagai sebutan yang terlalu biasa dilazimi, tetapi doa datang bersama pakej yang lengkap. Umat Islam yang menghayati doa, secara automatik akan memperbaik akhlak dan cara pandang terhadap sesuatu perkara.
Hadis riwayat Tabrani yang dibentangkan di permulaan tadi, masih belum berakhir.

Sahabat bertanya, “mengapa umat Islam umpama buih di lautan?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Kerana Allah SWT mencabut perasaan takut dari musuh  mereka dan umat Islam ditimpa penyakit wahan” Mereka melanjutkan lagi pertanyaan, “Apakah itu wahan?” “Wahan ialah cinta dunia dan takut mati.”
Umat Islam yang menanggapi penderitaan saudaranya dengan perspektif yang sebenar, sepatutnya berjaya mencabut penyakit wahan dari jiwa.
Barang diingat, tidak cinta dunia dan tidak takut mati bukan bermaksud berani meletakkan diri ke dalam kebinasaan secara membuta tuli tanpa ilmu dan strategi.
umaralhatab


Spread the word!

Related Post