Nai-Cin

Spread the word!

1-

“Kau tahu, aku manusia penyimpan. Manusia penyimpan persis aku, kami ada sesuatu yang kami pegang. Erat-erat. Dan sesuatu itu beri kami kekuatan untuk terus ke depan. “

Kesunyian malam memenuhi suasana. Terasa bayu angkasa berpuput lembut. Kejora berkelipan, bergantungan di dada langit. Purnama penuh, melimpahkan cahaya keemasan. Nai tenggelam lagi dalam dakapan malam.

“Cin, aku percaya ketuhanan bukan daerah terlarang. Manusia berhak menggunakan akal dan mempersoalkan. Bukankah Tuhan sendiri yang menitahkan untuk kita berfikir dan memerhatikan?

Bertanya, tidak bermakna tidak percaya.

Lebih baik aku berusaha mencari jawapan, dari pura-pura selesa tanpa persoalan, menyembunyikan tanda tanya di belakang kotak fikir, kononnya aku telah sempurna menerima apa adanya, ” Nai menjelaskan.

2-

Jatuh lagi. Entah kali ke berapa. Sakit. Tapi aku tak peduli.

Kau tahu? Semua orang akan diuji. Apapun jalan yang dipilih. Kau lari ke barat, daki gunung, rentas lautan, sembunyi dalam gua, merangkak di padang sahara, ujian akan memburumu. Tidak akan melepaskan. Kadang ia datang tanpa kau sedar. Tahu-tahu kau sedang diperhati.

Maka aku percaya, bahawa manusia dalam beberapa keadaan, berkudrat memilih ujiannya, dengan memilih jalan yang diputuskan untuk diharungi. Aku telah redha dengan jalan ini seawal aku memutuskan mengikut laluan ini. Aku telah serahkan seluruh jiwa dan raga untuk mempertahankan jalan yang dihukum manusia sebagai bodoh dan sia-sia.

Seburuk apapun kekurangannya, sehebat apapun kelebihannya, aku telah mengerti. Namun satu hal yang tidak bisa aku jelaskan, tentang mengapa bisa setulus ini kuterima seluruh perjalanan ini di hidupku. Dan aku juga percaya, tidak ada siapa yang berhak terhadap penjelasanku.

Sejak bila kesakitan mampu dielakkan? Aku telah belajar menelan kesakitan sebagai sebahagian dari darah daging. Malah di jalan ini, kesakitan yang kau sangka, menjelma rama-rama yang menghiasi kebun atma yang ghaib dari pandangan kasarmu.

-Nai

3-

Sejauh ini kaki telah melangkah, kau tak akan mengerti betapa kesakitan telah menjadi darah daging, Cin. Aku telah merelakan setiap kesulitan yang datang atas nama kewajipan, walau tanpa sekelumit harapan yang orang lain berikan. Semalam malaikat maut singgah di kamar tidurku, dan menyapa aku sendu. Kau tak akan tahu betapa aku ingin menyahut huluran tangannya. Tapi bayangan mereka beratur satu persatu mengganggu keterujaanku. Aku merayu waktu. Agar sempat aku siapkan dahulu apa yang perlu, sebelum aku mengikut jejak ibu.

Cin, aku telah menangkap secebis cahaya yang telah terpadam, jauh sebelum aku berani kembali. Kau akan mendapati setiap kata-kata manusia yang menjadi belati meninggalkan parut yang aku sendiri tak mungkin sembuhkan. Tak, aku tidak pernah menyimpan kesumat. Tapi setiap parut itu akan selamanya kekal sebagai ingatan, bahawa aku pernah dihenyak sendirian tanpa sebarang pertolongan.

-Nai

4-

Cin, aku pernah bertanya, setelah semuanya pamit, akankah setia menjahit? setelah bayang tidak lagi berjejak, akankah kenangan menapak? setelah tiada lagi isyarat, masih adakah doa dipanjat?

Dulu kukira aku butuh jawapan. Mungkin aku silap. Banyak persoalan lebih baik dibiarkan tak bersemak. Entahlah kenapa aku enggan menerima hakikat pupusnya kesatria pemuja sekaligus tekapan sher el khuda. Tangkas di medan, santun menjaga kehormatan dan melindungi perawan.

Sesungguhnya kita lebih baik menyibukkan diri menjadi Al-kubra. Dunia ini terlalu murahan untuk dikejarkan.

-Nai

5-

Aku tahu ini tidak adil untuk diri aku sendiri. Tapi barangkali ia adalah teduhan terbaik buat masa ini. Kurelakan realiti dicuri, tetapi masih mengunci erat sekian mimpi di dalam kotak empat segi yang dibuang ke laut paling misteri.

Pergilah dan aku mampu untuk tidak peduli. Soal penerimaan adalah urusan peribadi.

Cin, mahukah kau mendoakan yang baik-baik untuk temanmu ini? Kewalahan tidak akan abadi, itu kan janji Ilahi?

Aku tenang begini. Lebih banyak berfikir tentang mati. Siapa kata mengingati mati adalah bentuk depresi?

Mati adalah cahaya di hujung penjara duniawi. Dan ingatan yang hakiki, adalah ingatan yang membenihkan harapan buat kita, calon-calon tribulasi. Ingatan yang menyuntik motivasi untuk terus berdiri, berjalan dan berlari, demi pengakhiran yang diberkati.

Kau mengerti, Cin?

-Nai

6- 

Aku tak peduli dengan seluruh kebisuan ini. Sedangkan kemeriahan pun aku tak pernah ambil endah, kau kira aku akan terkesan dengan ketiadaan nyanyian dan bisikan sukma saban pagi dan malam? Telingaku masih mendendangkan suara serak Al-Jilani di bawah redup langit senja tempoh hari, “..selepas aksara galilah makna..Kitab apapun ibarat perahu, yang membawa kita berlayar ke tengah samudera ahadiyah. Bila ingin mutiaranya, kita harus menyelam ke dasarnya, tidak sekadar duduk di atas perahu.

Aku masih percaya dimensi masa tidak diterhadkan indera. Kau lupa aku di sini juga menunggang mimpi yang telah melampaui batas ruang dan benda.

Aku akan bertahan di tengah samudera ini dengan setia. Aku akan tewaskan setiap raksasa kesenduan yang cuba membunuh usia. Bukan aku tak biasa melawan tanpa senjata.

Sehingga aku akan mendebur dengan bangga ke samudera paling dalam dan membawa pulang mutiara paling berharga. Akan kunanti dan kuyakini, Tuhan tidak pernah menciptakan apa pun dengan sia-sia.

-Nai

7-

Rumi pernah berkata, bahawa kesabaran dalam menunggu itu ialah mampu mendugajangka, seperti menatap duri dan melihat mawar yang sedang tumbuh. Melihat malam, tetapi merasakan siang yang bakal datang.

Nah menurut aku, itu mudah sekali. Cin, kau mahu tahu apa yang lebih sukar dan murni?

Menunggu sesuatu yang kau tahu tentu-tentu bukan milikmu.

Gilakah? Mungkin.

Tapi apa kau lupa, ungkap Imam ‘Ali, “aku akan bersabar, sehinggakan kesabaran penat akan kesabaranku”?

Kau tahu, aku percaya itu. Aku percaya bahawa manusia dikurniakan upaya untuk menundukkan apa jua kesulitan dan cabaran yang menghalang perjalanannya.

Dan rahsianya adalah kesabaran.

Termasuk dalam hal penantian. Kesabaran sahaja yang akan menundukkan ketentuan dan memutikkan benih kemungkinan, yang bisa membesar jadi sepohon harapan.

Datanglah apa pun, ia tak tergugah. Pergi larilah yang lain dan tinggalkan ia terkapai sendirian, yang akan terus teguh berdiri menanti ia lah.

Jadi, Cin, masihkah kau mahu menunggu walau kau tahu, yang kau tunggu itu tentu-tentu bukan milikmu?

-Nai

8-

Cin, benarkah waktu ialah pemisah yang paling kejam? Pernahkah kau bayangkan semua catatan silam akan terpadam? Kedinginan rasa yang pernah mendamaikan, menjadi kepingan-kepingan salju yang berguguran dan menikam jantung di sudut paling dalam. Setelah semua himpitan, apa lagi yang patut tersisakan?

Bukankah kau berpesan, hidup ini bukan mainan? Pengikut setia yang mengibarkan panji kekuatan, tidak akan melengah-lengahkan perjuangan.

Walau senyum akan kelat likat setelah kepahitan benar-benar ditelan, bagaimanakah menjernihkan kebenaran yang memang hitam?

Kita akan teguh menegakkan keadilan, walau keselamatan perlu dikorbankan.

-Nai

9-

Cin, aku telah kecewa dengan setiap kalungan bunga yang dihias ke atas pewaris kanibal pemakan hati pejuang mulia. Aku juga telah runtun jiwa setiap kali aroma bangga disiram demi keabadian penyeksa muazzin pertama.
Jelaskan pada aku Cin, kegilaan apakah ini semua?

Akukah yang tidak waras apabila jelik menatap sandiwara dunia?

Benar-benar ini mengingatkan aku akan jahiliyah yang telah susah payah ditentang Rasul pilihan.
Dari manakah akan aku kutip kecekalan menghadapi hari-hari mendatang?
Ketika kepingan kertas dan logam didewakan, dan Tuhan dibelakangkan, bagaimana aku akan terus berkongsi harapan?

Saat ini aku hanya mampu menggeleng lemah melihat kedangkalan yang disarungkan ke atas kebekuan akal yang ditipu hidup-hidup oleh agenda pembodohan.

Akukah yang lemah, Cin? Lantas harus apakah aku?

-Nai

Lalu untuk pertama kalinya, Cin bersuara.

Nai, Tuhan tidak pernah zalim ketika Dia mengurniakan engkau sebuah kesedaran. Ya, kau harus bersyukur di atas basirah yang telah Dia pinjamkan. Ramai orang punya ‘basar’ ataupun penglihatan, tetapi tidak semua cahaya basirah diterangkan Tuhan.

Untuk ini, kau berteguhlah di atas panji kesabaran, sebagaimana yang diteladankan nenek moyang.
Kadang, ada hal yang tak perlu kita pertikaikan, kerana tugas kita cuma menjalankan.

Sesebuah perjalanan barangkali telah ternanti di hujungnya kekalahan, tetapi setiap titis keringat dan waktu yang kau habiskan, akan membentuk dirimu menjadi berlian, yang tidak mungkin akan terjadi tanpa taburan ujian yang harus kau relakan.

Teruslah berjalan dan menyandarkan harapan kepada Tuhan.

-Cin

10-

“Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).” [An – Nisa’ :31]

Tuhan akan mengira setiap rasa yang dikendurkan demi kebaikan yang lebih mustahak, yang telah kita dahulukan.

 41a9085865ca65dd73c29c669e3d1411


Spread the word!

Related Post