Penerbitan Noktah Terjahit

Spread the word!

18 Ogos 2017

Dalam tak sedar, rupanya sudah hari terakhir semester tiga.

Begitu pantas larian masa. Kadang terlalu laju tak sempat terasa.

Saya mengira usia.

Kebelakangan ini banyak perkara melintas bersimpang siur di dalam kepala, yang tak sempat diluahkan ke atas kanvas kata-kata.

Berkait usia, saya tidak akan dapat lari dari tersentuh soal nyawa.

Juga tentunya, tentang bagaimana usia telah saya beri makna.

Saya cuma harap langkah-langkah selepas ini akan lebih berpandu dan bukan sia-sia.

Untuk malam ini, saya cuma ingin kongsikan sebuah cita-cita yang alhamdulillah, telah mulai menunjukkan warna.

Tulisan sulung, yang dikutip dari perca pengalaman yang tak seberapa, bakal diterbitkan inshaAllah.

Dengan tajuk ‘Noktah Terjahit’, saya akan membuka langkah pertama kepada sebuah pengalaman baru. Doakan dipermudahkan semua urusan.WhatsApp Image 2017-08-15 at 20.57.31

“Setelah tahun-tahun merayau dan berkelana di perantauan untuk menuntut ilmu sambil menangguk peluang mencari identiti, langkah kaki akhirnya dipandu Tuhan untuk pulang ke tanah air sendiri.

Seorang anak yang membesar tanpa pengalaman berpisah dari keluarga, lalu membawa diri ke padang sahara, berhenti dan bermusafir pula ke benua eropah untuk meneruskan perjalanan pengajian, akhirnya layar dipusingkan arah untuk berlabuh ke kota metropolitan di semenanjung emas, negeri tumpah darah.

Tidak pernah terbayang serumit itu perjalanan selepas menggapai puncak impian, tetapi, hidup ini penuh kejutan, bukan? Dan kejutan-kejutan itu lah sebenarnya yang menambah warna, merencahkan rasa dalam kehidupan.

Rupa-rupanya ada rahsia yang lebih berharga, yang belum difahami, sedang diatur Tuhan untuk permusafiran panjang ini. Permusafiran yang menghantar kelana ke tiga benua ; untuk mencari makna pada asalnya, lalu berpangkalan di sebuah kesedaran.”

quote-3

26 Ogos 2017

ADA APA DENGAN NOKTAH TERJAHIT?

Noktah Terjahit bukan cerita suka duka hari-hari yang saya jalani, juga bukan rekod perjalanan terperinci. Bukan travelog atau autobiografi.

Noktah Terjahit adalah antologi refleksi peribadi yang dikumpulkan lewat perjalanan 9 tahun ke belakang. Noktah yang dikumpulkan dan dihubungkan buat pedoman kepada diri sendiri untuk menjalani hari mendatang.

Refleksi untuk memahami kumpulan keputusan dan pengalaman yang Tuhan izin dan suratkan.

Yang saya percaya wajar disyukuri lalu dimanifestasikan dengan kata-kata yang difahami lisan.

Kerana itu tajuknya ‘Noktah Terjahit’ dan bukan ‘Menjahit Noktah’ atau ‘Jahitan Noktah’.

Terjahit, bagi menggambarkan sebuah keadaan, yang berlaku dengan kata kerja tak transitif. Sebab meskipun setiap kejadian adalah hasil cerapan dan pilihan manusiawi, pada hujungnya kita mengakui aturan Tuhan yang tidak mampu disangkal lagi.

Noktah- apakah ia sebuah pengakhiran?

Adakah Noktah Terjahit ialah lambang kegagalan bertukar kejayaan, atau kepahitan bertukar kemanisan? Adakah padanya terkandung penyesalan dan kekecewaan yang mahu disingkirkan?

Bukan.

Noktah cuma perhentian yang mungkin disempurnakan masa, atau tempat, atau apa sahaja, tetapi masih tersimpan kemas untuk penggalian hikmah yang akan berterusan.
q-2

Noktah Terjahit sebenarnya dedikasi kepada ibu yang telah dijemput Ilahi 4 tahun yang lalu.

Saya cuma berharap, kalau pun ada sekelumit kebaikan dari naskhah ini, dapat turut menyumbang kebaikan kepada beliau yang telah pulang.

 


Spread the word!

Related Post