Perempuan Dengan Tudung Labuh

Spread the word!

Dilahirkan dalam sebuah keluarga Islam, di sebuah negeri yang diperintah kerajaan Islam, dibesarkan dalam suasana Islam, dididik di sekolah Islam. Saya kira saya insan bertuah- dikelilingi nikmat Islam sejak kecil.

Meskipun umi dan ayah tak pernah memaksakan ke atas saya sebagai anak perempuan untuk menutup aurat dengan sempurna, ada suara dalam diri yang sayup-sayup membisikkan untuk setia dengan tudung kepala dan baju labuh sejak di sekolah rendah. Dan saya selalu memenangkan suara kecil itu, mengatasi keingininan umi sendiri. Mungkinkah itulah yang dinamakan fitrah? Entah.

Di sekolah, saya adalah pelajar skema. Apa yang saya pelajari dari buku teks, itulah yang saya hadam. Setiap ajaran, saya patuh dengan ketaatan.

Menutup aurat?

Dulu, saya ada formula mudah. Kalau benar mengaku Islam, maka patuhlah. Tak perlu banyak tanya. Kalau dalam solat perlu tutup aurat, kenapa di luar solat mahu bebas dengan kain tak cukup inci?

Fikiran mentah saya tercengang hairan.

Sehingga saya mengorak langkah ke luar zon selesa dan mula membuka mata. Melihat kepelbagaian ragam dan fahaman manusia. Saya mula mencari apa ertinya saya dikitari Islam, dan lebih-lebih lagi sebagai gadis Islam.

Saya sentiasa dibiarkan bebas meneroka. Sebagai anak sulung, saya diberikan kepercayaan untuk menentukan setiap hala tuju sendiri. Saya mulai mengenal kenakalan  dan memberi ruang kepadaa diri sendiri untuk menjadi anak-anak. Sebab sepanjang saya di zon selesa, saya harus membesar lebih cepat dari usia. Saya sibukkan diri untuk matang dan galas kewajipan ketika rakan-rakan masih sibuk bermain layang-layang.

Mulai mengerti.

Menjadi Islam dan menutup aurat ialah pilihan. Pilihan yang diputuskan oleh definisi individu. Definisi yang terlahir dari pengaruh sekeliling, keilmuan dan cara pandang seorang insan yang telah Allah kurniakan akal, dan lengkapkan dengan fitrah.

Islam ialah penyerahan diri semata-mata kepada Tuhan Yang Maha Esa. Maka ia adalah kesejahteraan. Sejahtera kerana Tuhan itu telah dengan adilnya menciptakan insan dengan fitrah yang Dia fahami. Esak tangis kita yang Dia janji akan dengari.

Bayangkan seluruh dunia gagal memahami. Tindakan kita disalaherti dan kita gagal menjelaskan. Terhimpit. Tetapi dengan kesedaran bahawa submission hanyalah kepada Allah, dan justification tindakan kita adalah tepat dan benar di sisi Allah selaku Tuhan Yang Maha Mengetahui setiap zarah yang zahir dan tersembunyi, kita akan sejahtera. Sejahtera dalam keyakinan bahawa Allah bersama, walau seluruh dunia menghina.

Memakai tudung labuh juga ialah pilihan. Pilihan yang terhasil dari cara pandang seorang perempuan terhadap definisi dilahirkan sebagai perempuan.

Saya bersyukur dilahirkan sebagai perempuan. Dan saya membesar sebagai anak perempuan yang tak pernah terasa dikongkong, baik oleh masyarakat mahupun keluarga sendiri, jauh sekali oleh kehendak agama. Sebab saya percaya, saya tak perlukan approval siapa-siapa untuk menjadi saya. Kebebasan tak perlu ditagih. Kalau ia ditagih, ia tak bermula dari mukasurat yang betul.

“Kenapa menjadi hamba untuk yang lain, ketika Tuhan menciptakanmu merdeka?” kata Imam Ali.

Pakaian saya tidak dibentuk oleh kerisauan terhadap kata-kata orang yang mungkin akan melihat saya selekeh, tak up-to-date, ketinggalan zaman, being oppressed whatsoever. Ia dibentuk dari kehormatan yang Islam letakkan kepada seorang perempuan.

Saya masih ingat hari-hari yang saya sarungkan tudung labuh putih dengan kemeja tucked in dan skirt kembang, tudung labuh tersebut lebih besar dari kemeja yang diselit ke dalam skirt, dan saya dengan bahagianya meneruskan kehidupan seperti pelajar biasa.

Seperti pelajar biasa.

Seperti manusia biasa.

Hari Biasa Subjek Fizik: Lancarkan Roket Air
Hari Biasa Subjek Fizik: Lancarkan Roket Air

Biasa.

Biasa dengan erti kata, saya juga pendosa seperti orang lain. Jangan kerana tudung labuh saya dihukum suci tanpa noda.

Setiap orang ada rekod masing-masing. Malaikat tak akan silap catat, dan Tuhan bukan tak melihat. Menjadi manusia, setiap dari kita sekurang-kurangnya patut memahami bahawa kita berada dalam bot yang sama. Kenapa perlu ada pandangan dan ukuran tertentu tentang each other?

Saya masih ingat satu waktu ditemuramah dan diminta untuk menukar tudung labuh warna pucat saya kepada tudung berlabuci dengan kerdip batu bata entah apa, dan saya menolak lembut. “Tak nak lah, kak” Saya pulangkan semula, dan temuramah berlangsung biasa.

Hari ini saya tidak lagi menyarung tudung labuh yang saya setia dengannya hampir 2 dekad lama. Hari ini saya mengenakan tudung bawal Zarazuri bidang 60 dengan kerongsang di bahu kanan. Apa maksudnya?

Adakah bermaksud saya telah meninggalkan pegangan lama?

Kehidupan ialah proses mengenal diri, berani untuk jujur kepada diri dan bersetia dengan kebenaran.

Saya cuma membuat pilihan yang saya selesa. Agama pun tidak memaksa, siapa kita untuk memaksa?

Kesucian fitrah manusia akan tunduk dengan kebaikan yang Allah susunkan. Tak ragu.

Perempuan ialah perhiasan, begitu mafhum sabda Baginda RasuluLlah SAW. Hakikatnya, perempuan, pakai baldi sekalipun atas kepala, tetap perhiasan. Indah. Mahal. Tidak ada tangan haram berhak mengotori kesucian perhiasan yang telah Allah anugerahkan. Tidak ada mata liar berhak jatuh ke atas perhiasan yang Allah muliakan.

Jadi, selamat menjaga diri, selamat menjadi perhiasan murni.

DukkanMaya akan berlepas, soon, inshaAllah. Doakan kami!
DukkanMaya akan berlepas, soon, inshaAllah. Doakan kami!

 

 


Spread the word!

Related Post

3 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>