Perihal Menulis

Spread the word!

Pertama, saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengulas tentang hal ini. Tetapi memandangkan saya ditanya pendapat beberapa kali tentang perkara yang satu ini, saya kira mungkin ada baiknya saya curahkan beberapa sudut pandang untuk dikongsi bersama.

Kedua, menulis ialah salah satu cara untuk menyampaikan buah fikiran, meluahkan perasaan, mengalirkan tenaga yang terpendam, dan menyuarakan kebisuan yang disembunyikan.

Saya ditanya, bagaimana untuk menjadi penulis yang cemerlang?

Jujurnya, saya tidak punya jawapan.

Saya cuma ada secebis pengalaman melorek aksara menjadi barisan tulisan yang direzekikan Tuhan untuk difahami kebanyakan insan. Saya bermula dari omelan seharian dan repekan tak berkesudahan di awal usia hingusan, sehingga saya berhenti mengukir keburukan di laman sesawang, lalu akhirnya saya menggumpal keberanian untuk kembali ke dunia penulisan.

Dari pengalaman-pengalaman ini, saya rangkumkan beberapa perkara utama yang saya fikir perlu dititikberatkan jika bidang penulisan mahu diceburi:

1- Tulisan dan penulis berpisah tiada. Tulisan seorang penulis, sedikit sebanyak mencerminkan peribadi penulis. Sekurang-kurangnya, tentang apa yang selalu melingkari jiwanya. Oleh itu, adalah mustahak untuk seorang penulis selalu menyemak ketulusan hati. Tulislah dengan niat hati yang murni.

Jangan tulis jika tercuit riak di hati, jika terpalit angkuh di pangkal jiwa.

Ambil masa, dan bersihkan debu-debu yang menutup dinding jiwa, kemudian baru sambung mengangkat pena.

2- Kenalpasti tujuan dan matlamat penulisan. Dalam Islam, niat adalah satu hal yang sangat diutamakan. Kerana dari niatlah, akan menghasilkan tujuan dan matlamat yang ingin dicapai.

Sebelum menulis, adalah mustahak untuk penulis sendiri jelas dengan tujuan sesebuah tulisan dihasilkan.

Jangan menulis dengan tujuan ingin mempesona pembaca.

Jangan menulis dengan tujuan memukau minda manusia dengan jalan cerita yang memperdaya.

Jangan menulis untuk diangkat nama dan dipuji puja.

Jangan menulis dengan matlamat yang sia-sia.

Tulislah dengan matlamat yang bermakna, yang jika ditanya Tuhan di padang mahsyar kelak akan dapat dijawab dengan selesa.

3- Berteguh dengan prinsip dan jati diri. Iya, dalam hal apa sekalipun, identiti kitalah yang akan memandu pemilihan dan jalan yang sanggup kita redahi. Termasuk dalam soal penulisan. Seseorang penulis ini kadangkala memang berbeza, dan boleh jadi, tidak menepati cita rasa pembaca, atau bahkan pengkritik sastera. Tetapi, selagi jati diri yang meneguhkan sesebuah penulisan itu tegap kerana matlamat yang jelas, usahlah dipengaruhi penerimaan manusia. Jika disukai, kita pulangkan kepada Ilahi. Jika dibenci, kita semak kembali ke dalam diri. Apa pun keadaannya, kita tidak rugi.

Jauhkan menulis kerana terpengaruh. Oleh sebab ramainya orang-orang yang menulis, lalu kita fikir, kenapa tidak aku juga menulis?

Penulis yang menulis kerana terikut-ikut dengan trend semasa, akan membawa masyarakat ke lembah sia-sia.

Untuk akhirnya, Allah SWT sendiri pernah bersumpah dengan pena yang diangkat.

nuun

Yang mengajarkan kita; hati-hatilah mencorak tulisan di mana-mana medan. Kerana setiap bait tulisan kita, akan dirakam semula oleh catatan lain yang tak terlihat oleh mata.

Moga-moga setiap tinta yang terlakar ialah benih-benih yang menyuburkan keredhaan Pencipta.


Spread the word!

Related Post