Perkebunan Sementara

Spread the word!

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mulk, “Dia yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu siapakah yang paling baik amalannya.”

Takbir berkumandang memanggil jemaah menunaikan solat terawih, mengajak umat Islam memasuki madrasah Ramadhan. Esok umat Islam bakal memulakan ibadah puasa.

Genap setahun kepulangan saya ke Malaysia, Allah SWT menjemput umi pergi. Pagi itu, saya kembali ke kampung seperti hujung-hujung minggu sebelum ini. Tidak ada yang menyangka bahawa itu adalah waktunya, perpisahan buat kami. Penyakit paru-paru kronik yang umi tanggung, menyebabkan umi perlu sentiasa bergantung pada mesin oksigen semasa hayatnya. Hari itu, kami meletakkan mesin oksigen tersebut ke tepi dengan hati yang sayu.

Pemergian umi benar-benar menuntut saya mendewasakan diri. Tidak ada lagi peluang melayan emosi seperti sebelumnya. Saya harus matang untuk meniti kehidupan. Satu ketika dahulu, saya tak dapat membayangkan bagaimana akan saya lalui hidup tanpa seorang ibu. Seluruh kehidupan bakal berantakan, saya membayangkan. Tetapi ujian demi ujian yang Allah taburkan di sepanjang perjalanan sebelum saya tiba ke tahap ini telah menyediakan saya tanpa saya sedari.

Seorang insan membentuk dirinya dari peristiwa yang dilalui setiap hari. Ada peristiwa yang mempengaruhi secara fizikal dan ada juga yang menyentuh spiritual. Tetapi tidak semua orang berjaya memajukan diri seiring pertambahan hari dalam usianya. Rasulullah SAW bersabda,” Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam” – hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam bidang Psikologi, ada beberapa perspektif untuk melihat usia manusia. Usia yang dikira berdasarkan tahun kelahiran disebut usia kronologi, manakala usia biologi merujuk kepada perkembangan aspek biologi manusia. Sementara usia psikologi merujuk kepada aspek pengalaman manusia dengan perkara bukan fizikal, usia fungsi pula merupakan gabungan usia kronologi, usia biologi dan usia psikologi. Sebagai contoh, individu yang berumur 40 tahun yang selalu bersenam dan menjaga pemakanan boleh jadi mempunyai usia biologi 20 tahun, dan begitulah seterusnya.

Maka manusia, harus berperanan untuk memberi nilai pada usianya. Kalau dahulu, saya akan tenggelam dalam lautan emosi setiap kali terkenang pemergian insan-insan tersayang, kali ini alhamdulillah, saya sudah pandai mengingatkan diri bahawa cara terbaik untuk menghargai mereka adalah dengan mengutuskan doa, atau sekurang-kurangnya tujuh ayat Surah Al-Fatihah. Bukankah kehidupan ini sementara cuma? Satu hari nanti, kita yang masih bernafas di dunia yang fana ini, akan menyertai mereka juga.

Hidup ini umpama perkebunan sementara. Hasilnya bakal dituai di akhirat kelak. . Rasulullah SAW bersabda, bahawa “Orang yang paling bijak ialah orang yang selalu mengingati kematian.” Andai sahaja kita selalu memahami hakikat bahawa setiap yang wujud di dunia ini adalah sementara, kita tidak akan terlalu hanyut dibawa arus dunia. Setiap kesedihan yang kita alami adalah sementara, setiap kegembiraan yang kita nikmati juga sementara. Justeru, Islam mengajar kita bersederhana. Sederhana menghadapi setiap detik kehidupan.

temporary

Kadang-kadang, apabila saya berhenti sejenak dan menoleh ke belakang, saya tidak menyangka bahawa saya akan berjalan sejauh ini, meninggalkan beberapa bahagian saya di masa lampau. Pesan Buya HAMKA dalam bukunya, Falsafah Hidup, “Bukan hidup sembarang hidup; anjing di kampung hidup juga, tetapi dari lebih-lebih tulang; kucing di rumah hidup juga tapi hidup dari makan sisa. Hidup insan lain letaknya. Lazat akal sempurna rasa, mulia hati lautan fahaman, penuh melaut kira-kira.”

(Artikel disiarkan di Varsiti BH, 26 Feb 2015)


Spread the word!

Related Post

3 Comments