Respon kepada Matan Hadith tanpa Riwayat di dalam buku Noktah Terjahit

Spread the word!

Maklumbalas pembaca:

Matan hadith tanpa Riwayat. Mungkin terlepas pandang daripada buku Noktah Terjahit.

  1. Kisah kematian Ibrahim, anakanda Nabi. (m/s 42)
  1. Kemiskinan membawa kekufuran (m/s 48)
  1. Peniaga Muslim (m/s 53)

Respon:

Terima kasih kepada pembaca yang telah mengutarakan hal ini.

Saya kemukakan di sini riwayat bagi ketiga-tiga hadis yang dinyatakan:

  • Kisah kematian Ibrahim, anakanda Rasulullah SAW.

 

kematian-ibrahm

 

Telah menceritakan kepada kami Al Hasan bin ‘Abdul ‘Aziz, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Hassan, telah menceritakan kepada kami Quraisy [dia adalah Ibnu Hayyan] dari Tsabit dari Anas bin Malik r.a, dia berkata:

 

Kami bersama Rasulullah SAW mendatangi Abu Saif Al Qaiyn yang (isterinya) telah mengasuh dan menyusui Ibrahim ‘alaihissalam (anakanda Nabi SAW). Lalu Rasulullah SAW mengambil Ibrahim dan menciumnya.

Kemudian setelah itu pada kesempatan yang lain kami mengunjunginya sedangkan Ibrahim telah meninggal. Hal ini menyebabkan kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata. Lalu berkatalah ‘Abdurrahman bin ‘Auf r.a. kepada baginda: “Mengapa anda menangis, wahai Rasulullah?”

Beliau menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat (tangisan kasih sayang).” Baginda lalu melanjutkan dengan kalimat yang lain dan bersabda: “Kedua mata boleh mencucurkan air mata, hati boleh bersedih, hanya kita tidaklah mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Rabb kita. Dan kami dengan perpisahan ini wahai Ibrahim pastilah bersedih”.

 

Dan diriwayatkan oleh Musa dari Sulaiman bin Al Mughirah dari Tsabit dari Anas bin Malik r.a. dari Nabi SAW.

Rujuk Sahih Bukhari, atau di laman web sunnah.com, kitab 23, hadis nombor 62

  • Kemiskinan membawa kekufuran

Dari Anas bin Malik Radhiallahu’anhu bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

كادَ الفَقْرُ أنْ يَكُوْنَ كُفْرًا

“Hampir-hampir kefakiran (kemiskinan) itu menjadi kekafiran”

Hadis ini dihukum lemah oleh kebanyakan ulama’, kerana terdapat perawi Yazid bin Aban Ar-Raqasyi, dia dinyatakan lemah oleh para ulama Ahli hadits, seperti Imam Ahmad, Yahya bin Ma’in, an-Nasa-i, ad-Daraquthni, adz-Dzahabi dan Ibnu Hajar al-‘Asqalani.

Ada beberapa jalur lain lagi yang meriwayatkan hadis yang senada, tetapi kesemuanya dihukum lemah, bahkan palsu oleh beberapa ulama.

Baik, persoalannya di sini, kenapakah hadis ini dimasukkan ke dalam tulisan tersebut?

Saya telah menulis begini:

“Benarkah kemiskinan adalah satu bentuk keburukan yang perlu ditakutkan?

Bukankah Rasulullah SAW dan para sahabat tidak hidup bermewah-mewahan? Tetapi, di satu tempat yang lain, tidakkah baginda SAW ada berpesan bahawa “kemiskinan membawa kepada kekafiran”?”

(Noktah Terjahit, m/s 48)

Bahagian ini ialah pembuka kepada sebuah catatan yang bertajuk : Garapan Semula Kemiskinan.

Maka jawapan kepada soalan yang saya sendiri lontarkan di situ ialah, ‘Tidak. Rasulullah SAW tidak ada berpesan demikian.

Saya lontarkan persoalan demi persoalan yang bersifat kritikal untuk mengajak kita berfikir dan menganalisa semula ; kefahaman kita terhadap erti sebuah kemiskinan.

Ia dimulakan dengan monolog-monolog yang mempertikaikan kefahaman yang telah wujud dalam sebuah pencarian kebenaran; tentang bagaimana kita seharusnya menggarap sebuah kemiskinan.

Lalu di hujung catatan, saya bentangkan jawapan dari hadis yang sahih dari Baginda SAW, di mana baginda telah menjelaskan:

Demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khuatirkan akan menimpa diri kalian. Akan tetapi, aku khuatir jika dunia ini dibentangkan untuk kalian sebagaimana ia dibentangkan untuk orang-orang sebelum kalian sehingga kalian berlumba sebagaimana mereka berlumba, dan akhirnya kalian hancur sebagaimana mereka hancur.

 

  • Peniaga Muslim (53)

Ada beberapa jalur yang meriwayatkan hadis ini. Hadis yang digunakan secara spesifik di dalam tulisan yang bertajuk ‘Ibrah perniagaan Rasulullah SAW  itu terdapat kelemahan dari sudut sanadnya, akan tetapi terdapat jalur lain yang telah menguatkan hadis tersebut.

Saya mengambil salah satu sahaja, dari Kitab Mustadrak ‘ala as-Sahihain, oleh Al-Hakim An-Naisaburi:

peniaga-muslim

Sanadnya dihukum hasan kerana semua perawinya adalah tsiqah kecuali Abi Hamzah (iaitu Ishaq bin Ar-Rabi’) yang berada di martabat Saduq (Benar)

Kesimpulan

Jika diperhatikan, ada beberapa nas yang saya gunakan di dalam penulisan Noktah Terjahit tidak disertakan riwayat dan perincian. Ini bagi mengelakkan ‘gangguan teknikal’ semasa pembacaan, maka saya telah memilih untuk tidak memasukkan perinciannya agar ‘mood’ pembaca dapat diarahkan kepada mesej yang ingin disampaikan.

Hanya di hujung setiap catatan sahaja, saya tekankan sumber untuk setiap hadis dan ayat Al-Quran yang saya gunakan.

Apabila dipertimbangkan semula, adalah lebih baik jika saya sertakan tanda (*) pada nas-nas yang digunakan, dan letakkan sumber untuk rujukan para pembaca.

Saya hargai maklum balas yang diberikan, dan inshaAllah akan saya ambil perhatian untuk masa hadapan.

WaLlahu a’lam.


Spread the word!

Related Post