Surat Untuk Perempuan (10)

Spread the word!

Assalamualaikum wbt,

Salam mahabbah bersulam sakinah buat adinda dan seluruh penyejuk hati di kampung halaman. Apa khabar dinda? Kudoakan segalanya baik-baik sahaja.

Aku menghantar berita dari negeri jiran, tidak jauh, tidak juga dekat. Hendakku pulang tidaklah kesampaian langkah kaki, tetapi hendak dikatakan terlalu jauh, membuka jendela kamarku ibarat melihat bendang yang sama di tanah kita.

Iya, aku punya sedikit urusan di sini. Menjejak jati diri yang tertanam di sebuah pedalaman yang masih dara. Belum dinodai lumpur teknologi dan terpelihara dari jangkitan kudis narcissisme di kota.

Mohon dijauhkan.

Dinda,
Aku ingin mengutarakan satu perkara yang kukira tidak wajar, sedang kerap menghinggapi sepotong usaha yang ingin aku laksanakan. Perihal lelaki dan suara-suara sumbang yang sering tidak puas hati terhadap beberapa hal kesungguhanku yang barangkali tidak menurut arus perdana.

Dinda,
Menjadi perempuan di hujung zaman ini sungguhlah perit sekali. Penuh pancaroba yang betul-betul menguji. Dengan kemudahan media di hujung jari, sekelip mata sahaja segala macam penyakit mazmumah dapat menguasai hati.

Oleh yang demikian, di saat-saat ini, adalah sangat mustahak untuk kita saling menguatkan sesama sendiri, dalam keadaan yang selesa dan terjaga, agar kita dapat berlaku jujur dan terus terang akan setiap sisi kerapuhan kepadaorang-orang yang terpercaya dan dapat memahami.

Tidak ada lelaki yang dapat mengerti jiwa dan kesulitan ini, melainkan perempuan yang melalui sendiri situasi demi situasi yang bisa kita kongsi. Maka, apakah dosanya kita memilih untuk berkumpul secara terasing dan tidak mempamer-pamerkan diri?

Tidak cukup lagi dengan segala eksploitasi yang dipaksa tanpa kita sedari?
Tidak cukup lagi segala kedangkalan sebahagian besar dari perempuan yang ditunggang lelaki bertuhankan berahi?
Tidak cukup lagi segala tohmahan yang dilempar penuh dengki ke atas perempuan-perempuan pejuang hakiki?

Disebabkan kepincangan kedudukan dan peranan lelaki dan perempuanlah, masyarakat kita tunggang terbalik. Aku kadang naik darah memikirkan hal ini.

Hari ini perempuan disuguh-suguh ke pentas utama, biar mengalahkan lelaki dalam segenap perkara, biar sama rata; apa yang lelaki boleh buat, perempuan jangan tertinggal juga. Lelaki boleh tunjuk kuasa, kenapa tidak kita? Lelaki muda boleh tonjol badan, kenapa tidak perempuan perawan? Dakwaan sia-sia yang tak pernah sudah.

Dinda,
Sungguh aku penat dengan segala tipu daya ini. Perempuan itu Tuhan ciptakan dengan fitrah terjaga dan terhormat. Tersimpan rapi bukan bermaksud kita terperuk di bawah tempurung tidak ambil peduli, tetapi kita menyimpan hikmah di dalam kotak yang terkunci rapi. Kunci yang kita jaga dengan iman, yang hanya boleh diserahkan kepada tangan-tangan yang berjiwa murni. Ketika waktu memerlukan dan selepas tapisan, bukan dicedok wenang-wenang, senang-senang oleh segala jenis makhluk pengambil kesempatan.

Dalam keadaan dunia yang sedang hingar-bingar, kita tidak perlu terjun ke dalam kancah yang sama. Kita tidak perlu lebih membingitkan suasana, dengan suara yang kita rasa perlu didengar semua. Aku percaya kita cuma akan lebih binasa. Aku pernah di sana, dan cukuplah usia mentah aku diperguna. Yang lebih utama ialah tentang bagaimana kita dapat menyokong satu sama lain, untuk kembali kepada kebenaran, yang kita sendiri dapat kenal dengan jiwa.

Walau tidak diiktiraf sesiapa.
Walau tidak dinobat sebagai orang bijaksana.
Kita tidak perlukan sebarang bentuk keangkuhan, kesombongan dan kebanggan untuk jadi perempuan dengan sebenar-benar makna.

Kita hanya perlu memupuk fitrah yang telah Tuhan terbitkan ketika kita dilahirkan; rendah diri, bukan serah diri; pemalu,bukan mudah ditipu; gigih, bukan sinis; kuat, bukan perasan hebat.

Dinda,
Cuba kau teka, apakah yang paling menyulitkan keadaan seorang perempuan dewasa ini? Perempuan sendiri. Perempuan yang menjatuhkan sesama sendiri, yang mencebik bibir terhadap usaha perempuan lain untuk kembali ke jati diri, yang gagal memahami identiti lalu entahlah, cemburu, atau tak puas hati terhadap ikhtiar implimentasi akar tradisi.

Sepertinya kegelapan adalah satu kesempurnaan; kerana apabila ada yang cuba menyalakan cahaya, akan terbongkarlah buruknya rupa setiap seorang. Lebih baik semua terus berpura-pura sejahtera di sebalik bayang.

Kerana itulah aku terhantar ke sini.

Kutinggalkan gurun yang berbicara bahasa sepi, untuk bertamu ke tengah bumi. Menyelongkar khazanah bernilai yang cuba dinafi segelintir penyembah berhala modenisasi. Kerana aku percaya, masih ada yang tersisa untuk kita cicipi. Kuku besi manusia tidak akan dapat mencengkam semua, pada akhirnya mereka tetaplah tunduk kepada kekuasaan Rabbi. Dan Tuhan tidak pernah akan membiarkan kejujuran berlalu begitu sahaja tanpa sebarang petunjuk kepada jalan yang lurus lagi harmoni.

SubhanaLlah, di luar sedar, panjang pula omelanku kali ini. Matahari sedang tegak di luar, aku harus gegas bersiap untuk ke ekspedisi.

Cukuplah sampai di sini.

Sehingga ke warkah seterusnya, dinda.

Doakan yang baik-baik untuk kakandamu yang bakal meneroka ke dalam belantara.

Salam sejahtera, buat semua.


Spread the word!

Related Post