Surat untuk Perempuan (2)

Spread the word!

Assalamualaikum,

Ke hadapan adinda yang tidak lekang dari ingatan.

Maafkan kanda, lama tidak mengutus berita. Bagaimana perkhabaranmu, nun di tanah subur sana? Bagaimana khabar pokok-pokok cili kita? Sudahkah berbuah pohon pisang yang kita tanam bersama-sama saat mentari menjatuh? Bagaimana pula bunga- bunga kertas yang menghias indah di laman kita? Sudah kau pangkas bunga-bunga yang terlebih kering? Apa pula bentuk yang kau reka kali ini?

Ah, betapa aku merindui kehijauan perbukitan di belakang pondok kita. Betapa aku terbau-bau selut yang selalu kita kerjakan saat bermain kejar-kejar.

Sampaikan salamku pada mereka. Salam cinta dan air mata kerinduan.

Adinda, baru-baru ini, sedang kanda asyik melompat dari satu blog ke blog yang lain, menghabiskan masa lapang usai penat kuliah seharian, kanda telah terserempak dengan tulisan ini. Cuba adinda, kau hayati susun katanya.

Kenapa perempuan suka lari-lari?

Sebab sunyi.

Maka jangan bagi dia sunyi. Jangan bagi peluang pada sunyi untuk singgah dalam hatinya. Agama kita sudah berkali-kali pesan, seboleh-bolehnya, jangan ditinggal-tinggal isteri berlama-lama. Sunyi adalah musuh utama perempuan. Kalau kau masih terang ingatnya pada kisah Hawa, ingatlah: ketika sunyilah si iblis datang dan membubuh cerita dalam kepala Hawa.

Perempuan ini fitrahnya tidak suka disendiri. Ya, mulut mereka mungkin mengaku mampu dan gagah. Tapi itulah dia. Perempuan hidupnya perlu ada peneman gundah.

Ya. memang mengada-ada.
Tapi itu fitrahnya.

Jangan bagi dia biasa bersunyi. Kalau pun dipisah jauh, jangan biar dia tersedar yang dia sunyi. Sebelum dia isikan kosong sunyinya dengan sesuatu yang tidak perlu, bersegeralah cari dia yang selalu menunggu untuk dijumpai itu. Sunyi, bagi seorang perempuan, adalah pucuk-pucuk kemurungan yang terlalu tajam dan mengilukan kalbu.

Sebelum dia penat, kejar dia dan sambut ketentuan jatuhnya. Jangan percaya sama bibirnya yang mendabik gagah, yang menempik takut goyah. Itu memang caranya. Perempuan perlu sesuatu untuk membukti perkasa.

Cara termudah adalah dengan melupakan yang sebenarnya dia tidak lemah dan tidak terpatah; dengan melakonkan watak sesasa badang dengan paling bersungguh dan meyakinkan, dengan harapan terbohong hati sendiri dan terus terpercayakan.

Adinda,

Untuk pengetahuanmu, tulisan ini milik seorang wanita besi juga, Fynn Jamal namanya. Kanda pasti kau terangguk-angguk sambil menggeleng-gelengkan kepala sepanjang membaca tulisan ini, bukan? Ah, adindaku yang kritis dan bijak bestari, ada-ada sahaja yang kau mahu bahaskan, tidak begitu?

Walau orang tua di desa kita sering mematikan pemikiran kau itu, “Jangan banyak soal, kau anak kecil, perempuan lagi, apa kau tahu,” kanda yakin, kau tidak akan terkesan oleh kata-kata mereka, bukan?

Ayuh adinda, kita harus buktikan, bahawa menjadi wanita tidak bermaksud kita tidak bisa memanfaatkan akal fikiran yang telah Allah SWT kurniakan. Fikiran kita tidak seharusnya cuma perlu digunakan untuk “Cik Joyah sebelah rumah itu makin ramping tubuhnya, tak boleh jadi ni, aku harus berbuat sesuatu” “Ish, semalam lori perabot datang lagi menghantar perabot Cik Esah, aku pun kena tambah kerusi juga ni”

Allah SWT berpesan di begitu banyak tempat di dalam Al-Qur’an, supaya manusia berfikir. Tidak pula Allah SWT menujukan pesanan tersebut kepada golongan lelaki sahaja, ataupun orang Islam sahaja.Kita juga manusia, yang diseru supaya berfikir dan bertanya.

Adindaku, duhai perempuan pemberani,

Aku ingin bertanya, menurutmu, bagaimana harus seorang perempuan, terutama sekali sang gadis, yang di usia remaja seperti kita, bertindak ketika diuji perasaan sunyi? Kau tahu dinda, sepanjang pengalamanku, memang virus inilah yang menjadi punca kepada begitu banyak sakit sosial yang melanda kaum kita.

Kerana sunyi, ada di antara kita yang menagih perhatian dari lelaki-lelaki pengambil kesempatan. Lelaki yang berwajah manusia, berhati durjana. Kisah yang pada awalnya berputik dari persahabatan dan saling ambil berat, mulai disulami kata-kata manja dan pujuk rayu berbaur cinta, akhirnya jika tidak dibendung membawa kepada kemudaratan yang membinasa. Begitu malang, kerana seringkali, sang gadislah yang akan menanggung kesakitan yang lebih perit dari buaya-buaya. Andai terlanjur, perut gadis yang memboyot, sedangkan sang lelaki lepas bebas memuaskan nafsu di tempat lain pula.

Kalau bisa aku kumpulkan seluruh perempuan di muka bumi, akan aku ceritakan betapa diri mereka begitu berharga. Akan aku tegaskan, bahawa kita jauh lebih bernilai dari harga yang diletakkan oleh lelaki mata keranjang. Dan akan aku tubuhkan satu kesatuan, yang menggabungkan kita semua, supaya kita tidak perlu bergantung kepada lelaki yang sentiasa mengambil kesempatan ke atas diri kita, kerana kita punya satu sama lain. Wah, begitu tinggi aku bercita-cita.

Adindaku, bunga bangsa serikandi agama,

Umpama sekuntum mawar yang mekar di jambangan, sekalipun dipisahkan dari dahannya, ia membenteng dirinya dengan duri-duri tajam, sehingga hanya tangan yang berhati-hati dapat memegangnya. Begitulah kita membina benteng dari tangan-tangan yang cuba merobek maruah kita.

Adinda, jika sahaja kita bersedia membuka mata ke sekeliling, kita akan dapati begitu banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk mengusir perasaan sunyi. Iya, kita akan lelah. Ada waktunya, kita tewas. Di celah-celah tunggang langgang kehidupan, empangan air mata kita pecah. Seluruh wajah basah.  Baru sahaja hendak bertatih, lutut kita melemah. Kita terjelepuk lagi. Mahu sahaja menurut kehendak hati, kembali ke rutin kita yang lama, yang susah payah cuba ditinggalkan, agar rasa sunyi itu tidak terus menggigit tangkai jiwa.

Pesan kanda, berteguhlah di atas prinsipmu. Pedulikan segala rasa sunyi itu, tepis bisikan-bisikan yang mengganggu, rebahkan hatimu ke hamparan sejadah. Angkat tanganmu, dan panjatkan doa memohon ketabahan dari Tuhan Pemberi Kekuatan. Biar jatuh sepuluh kali, kita bangun lagi. Bersihkan luka, teruskan langkah kaki.

statusofwomen

Penuhkan waktumu dengan majlis-majlis ilmu, kitarkan kelilingmu dengan insan-insan yang memahami dan sentiasa menitipkan ingatan tentang Tuhan, kau pasti tidak akan tewas oleh rasa sunyi.

Mungkin pada awalnya kau akan merasa hidup di dalam kepura-puraan; menipu diri sendiri dengan kegagahan, tetapi percayalah, suatu hari nanti kau bakal temui, hadiah dari kecekalan ini. Sehingga waktu itu tiba, teruslah berusaha tanpa berputus asa.

Adinda,

Di sini sahaja hentianku. Di luar jendela, ketulan salji kelihatannya begitu lebat sekali mencurah ke lantai bumi, tak berhenti dari siang tadi. Aku harus bersiap, menyediakan juadah makan malam. Sehingga bicara tanpa suara lagi; di warkah cinta akan datang.

 

 


Spread the word!

Related Post

7 Comments