Surat Untuk Perempuan (4)

Spread the word!

Assalamualaikum,

Warkah ini kulayangkan buat adinda di tanah air,

Setelah semusim berlalu tanpa khabar berita dariku. Ketahuilah aku di sini baik-baik sahaja. Ya, masih terluka oleh peristiwa tragis yang mencampakkan aku ke daerah kekecewaan yang tak berbatas. Tapi aku telah belajar menapak, sedikit demi sedikit menuju cahaya samar yang memanggil-manggil setiap kali mentari terbit.

Terima kasih untuk setiap pesanan yang kamu hantarkan lewat pawana yang membisikkan kata semangat, untuk setiap huluran tangan yang tak pernah mengenal penat, untuk setiap kesetiaan setiap kali pergi aku jeritkan.

Pagi ini aku melarikkan pena di atas helaian kertas putih yang telah lama tidak kuusik. Kutarik nafas sedalam-dalamnya, menikmati bayu segar pagi, biar mengisi dada yang kelelahan menampung duri-duri kesedihan yang menghiris.

Setelah setiap bancuhan dakwat sebelum ini hanya menumpahkan air jernih dari kelopak mataku yang telah bengkak dengan kengiluan yang tidak tertahan, hari ini 1 Muharam dan aku berjaya keluar dari kepompong yang telah membelenggu sekian lama.

Ah, betapa indahnya dunia!

Sisi kejam yang aku harungi telah empat purnama kutinggalkan, kukira kini aku menoleh ke belakang dengan lebih matang. Namun, luka yang membekas akan kekal selamanya. Akan kuhafal nama setiap insan yang telah menoreh belati pengkhianatan terhadap sebuah kejujuran dan ketulusan yang aku pertahankan.

Usahlah adinda risau. Aku masih waras mengharungi detik demi detik, walau ada ketikanya kepahitan itu tiba-tiba menjalar saat aku menikmati kemanisan kehidupan, aku belajar menerima ia sebagai sebahagian rasa yang harus aku terima dalam hidangan rutin harian.

Dinda,

Masihkah kau ingat sebuah pepatah yang nenda ajarkan di bawah teduhan pohon ceri kampung usai menghambat ayam-ayam serama, sambil menggulung rokok daunnya? Kata nenda, “Menjaga seorang anak perempuan itu lebih sukar dari menjaga sekandang lembu.” Aku menatap keliru. Memprotes tidak puas hati, “Adakah patut disamakan kita dengan lembu?” Lalu kau yang lebih santun mencubit, “Berilah nenda peluang untuk jelaskan dahulu..”

Nenda tersenyum melihat tingkah kita. Lalu menghuraikan bahawa seorang anak perempuan itu sukar untuk dijaga kerana banyaknya keperluan yang perlu dititikberatkan untuk membesarkannya sehingga menjadi wanita yang solehah dan berbakti kepada keluarga dan agama. Orang tua-tua memberi perbandingan dengan lembu bagi menggambarkan betapa pentingnya aspek pendidikan ruhani, emosi dan spiritual dalam penjagaan anak perempuan , sedangkan lembu sekandang hanya perlu diberi makan, minum dan tempat tidur sahaja.

Dinda, curahkan air mawar yang bersalut kerinduan dariku di pusara nenda saat kau menziarahinya. Walau aku selalu memberontak dan menentang, sungguh kata-kata hikmah dari nenda sering terngiang di cuping telingaku.

Lebih-lebih lagi tatkala aku diselimut kesah sebegini. Aku masih bertanya, andai masyarakat sedar betapa sukarnya membesarkan seorang anak perempuan, pernahkah mereka terfikir, betapa sukarnya menjadi anak perempuan itu sendiri? Kenapa tidak bekerjasama dan berusaha mewujudkan sebuah persekitaran yang selamat dan mesra untuk perkembangan seorang wanita?

Bukankah Rasul telah menjanjikan syurga buat mereka yang menjaga anak perempuan? Sebagaimana dalam banyak hadis yang diriwayatkan sahih, antaranya yang berbunyi:

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan,lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

Dalam sesetengah riwayat disebutkan dua, dan ada yang menyebut satu sahaja.

Ah, orang kita perlu diramahkan lagi dengan hadis-hadis sepenting ini dan tidak hanya disibukkan mencari balah antara membaca surah Yasin atau al-Kahfi.

cries-over

Kau tahu dinda, ketika dunia menginjak tua, di zaman yang telah Rasul wasiatkan kepada ummatnya supaya berlemah lembut dan menjaga perempuan-perempuan dengan baik, kadangkala aku terasa mahu melarikan diri dan menetap sahaja di dalam gua. Terlalu banyak mata-mata liar yang menaruh sangka dan hati-hati yang menyimpan dengki, dan aku di sini sendirian tanpa dahan untuk bergantung. Betapa sukarnya membezakan percaya dan dusta.

Aku mengah mempertahankan kehormatan yang selalu digasak. Antara membiarkan sahaja dilambung ombak kemajuan, atau menentang arus berpandukan kebenaran yang telah aku imani. Dan aku telah memilih menentang.

Kau tahu apa yang memberiku kekuatan? Tatkala aku mengenang betapa hebatnya ujian untuk perempuan-perempuan lain yang tak mampu aku huraikan dengan kata-kata. Orang beriman itu bersaudara. Dicubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya.

Untuk setiap malam seorang gadis yang direnggut maruahnya, untuk setiap ayunan rotan yang menyiat kulit kanak-kanak perempuan yang didera bapanya, untuk setiap impian remaja perempuan yang diperkecilkan dan dihalang, untuk setiap kesakitan yang menjalar dalam diri seorang ibu yang bertarung dengan kanser yang membunuh dan memakan kejelitaannya, untuk setiap esakan seorang isteri yang diperlakukan tidak adil oleh suaminya, aku bangkit kembali. Aku bangkit mendepani hari-hariku yang lebih beruntung dari mereka dan berjanji tidak akan rebah sedalam ini lagi.

Taufan tangisan telah kita lewati. Namun tangisan itu tidak akan terbiar sia-sia.

“Kerana dengan tangisan itu, seperti telah terlihat dalam sejarah Islam, bergumpal menjadi tenaga untuk dihalakan menjadi sebuah pemberontakan.

Tangisan hanyalah permukaan. Tenaga dan semangat di sebalik tangisan itulah yang lebih utama. Semangat, tenaga kemarahan dan kekesalan itulah yang amat ditakuti oleh penindas.”

Kita wanita-wanita yang teraniaya, kita akan bersatu dalam doa.

Bersatu.

Dalam doa.

dm-1
Mata seorang perempuan sahaja sudah sedalam lautan, bayangkan sedalam apa hatinya – Yogi Prayoga

 

 


Spread the word!

Related Post

6 Comments