Surat Untuk Perempuan (5)

Spread the word!

Assalamualaikum wbt,

Salam penuh mahabbah buat adinda, yang kanda terka sedang bergelut menghadapi tengkujuh nun di timur tanah air. Garangkah ombak tahun ini, dinda? Apa taufan mengganas lagi? Kanda doakan semuanya baik-baik sahaja di sana, semoga bah kuning tidak mengukir nama lagi di atas kitab sejarah kita. Aku kerisauan kadangkala, mengenangkan kudratmu yang terbatas untuk menguruskan hal ehwal keluarga. Namun aku yakini Tuhan selalu ada. Engkau adalah jelmaan Sayyidah Fathimah radhialLahu ‘anha di mataku. Fathimah; sosok yang jadi kegilaan kita, yang telah diajar dengan tiga rangkai tasbih oleh Al-Musthafa SAW untuk bekalan kekuatan bagi mengerjakan urusan-urusan rumah. SubhanaLlah, pujian tertinggi untuk Tuhan yang menciptakan manusia, AlhamdulilLah, syukur yang tak terhingga dipanjatkan ke hadrat Ilahi, dan Allahu Akbar, keagungan kita rafakkan kepada Allah, Tuhan yang mentadbir jagat raya.

Dinda,

Saat aku menulis warkah ini, nuzul salju sedang galak di luar jendela. Mocha latte panas menghilangkan kedinginan yang memeluk jasad. Entah , belakangan ini aku kerap mengintai bebola putih yang memenuhi pokok sakura di luar rumah. Barangkali aku juga diusik rindu untuk melihat kuntuman sakura mekar lagi. Musim dingin kali ini benar-benar menggigit jiwa. Kesibukan dengan kuliah dan pembentangan, serta penglibatanku dalam aktiviti-aktiviti di kampus kadangkala melelahkan. Walaupun aku telah sembuh dari luka semalam- segala puji bagi Tuhan yang menyembuhkan, kadang-kadang urusan duniawi ini memutarkan semula babak demi babak yang telah aku lepasi. Semoga pisang tidak berbuah dua kali.

Kau pernah bercanda bahawa akulah mawar yang kembang di jambangan. Menghias sudut rumah yang disiram mawaddah dan sakinah. Aku membantah keras. Aku enggan menjadi mawar yang terkurung di jambangan! Kerana aku mahu bebas di hutan liar. Aku mahu berasa gah dengan kebesaran ciptaan Tuhan, walau aku akan terkial-kial di celah raksasa kehijauan, dan haiwan-haiwan ganas yang berpotensi besar memijakpenyet kelopakku. Duhai, aku tidak peduli bahaya hutan liar, kerana aku yakini Tuhan itu adil dan saksama. Bahkan aku lebih gusar akan bahaya manusia yang mencabul segala khazanah semesta demi memuaskan kegilaan nafsu mereka sahaja. Berlagak Tuhan!

Semoga Tuhan membantu kita semua.

Adindaku kuntuman sakura yang menenangkan gundah,

Kanda pasti kau akan terkejut tatkala aku menyebut tentang ini. Masihkah kau ingat, buku berkulit hijau yang bertajuk “Apa ertinya saya menganut agama Islam?”

Iya, tulisan Fathi Yakan itu, yang gemar engkau gulati bersama teman-temanmu di atas bangku tepi bendang, bukan ? Perbincangan yang sering kau pujuk aku untuk sertai, dan aku akan sentiasa mengelak dan mendatangkan pelbagai alasan. Aku juga tidak dapat menjelaskan dengan tepat, apa sebenarnya yang menghalang aku dari menyertai kalian. Pokoknya kedegilan aku tidak pernah mematahkan semangatmu, kan dinda? Sekurang-kurangnya aku sempat mengingati pelajaran pertama dari buku Fathi Yakan itu, apa maudhuknya? Akidah? Saya mestilah muslim dari sudut akidah? Begitulah kurang lebih yang masih terngiang-ngiang di telingaku.

Kau pasti penasaran bukan, apa yang membuatku memetik judul buku itu dalam warkah kali ini?

Ah, dinda, hati perempuan ini laksana gelas kaca, menampung rindu sebeku salju mengguyur di dahan pohon sakura di luar rumahku ini. Tidak kuat menampungnya. Dengan kata lain kanda merinduimu – setepatnya pertikaman lidah denganmu yang selalu petah dengan hujah.

Dinda,

Aku usah bermadah lebih lama dan terus ke noktah utama. Kanda mahu kemukakan soalan sedikit berbeza dari Fathi Yakan. Andai beliau menjudulkan “Apa ertinya saya menganut Islam?”, kanda bertanya “Apa ertinya saya menjadi perempuan?”

Kalau kita berhadapan fizikal ini, tentu kau akan tersenyum menentang bebola mataku sambil menguji dengan peluru-peluru soalan yang mencabar fikiran.

Keluhan berat kulepaskan.

Dinda,

Menjadi perempuan itu lelah, tidak begitu?

Kerana seorang perempuan harus lebih menjaga diri, lantaran melatanya anasir kejahatan dan kecurangan mata yang mengintai peluang untuk mengambil kesempatan.

Bahkah menjadi perempuan itu juga adalah resah yang tak sudah. Kerana jiwa yang selalu rapuh dan mudah tergugah. Resah menanti pahlawan sukma pulang dari medan pertempuran, resah memastikan kesejahteraan anak dan rumah tangga, resah akan ketidakcukupan diri untuk berbakti; resah yang kadangkala tiada siapa mengerti.

Namun, usahlah kita memusatkan perhatian kepada aura-aura negatif itu.

Biarlah aku mengisi makna menjadi seorang perempuan dengan senarai perkataan tuntas buat memandu perjalanan kita.

Pertama, anugerah. Menjadi perempuan itu anugerah. Ya, anugerah. Aku bersyukur Tuhan mentakdirkan aku sebagai perempuan. Kau tahu kenapa ?

Kerana kalimat keramat yang kedua ialah, madrasah.

Menjadi perempuan itu bererti menjadi madrasah. Madrasah yang mentarbiah anak watan dan pejuang keadilan. Kerana dari rahim perempuan, lahirnya bangsa yang teguh akidah, atau sebaliknya. Dari tangan perempuan yang menyuap makanan dan menghayun buaian, terbentuknya penduduk dunia yang mencintai kebenaran atau sebaliknya. Dan dari jiwa seorang perempuan, tersebarnya cinta dan kehalusan untuk mengharmonikan semesta.

Ketiga, gagah.

Menjadi perempuan bermaksud harus gagah. Kental jiwa dan perkasa ‘aqalnya. Kita adalah pejuang yang menundukkan kebatilan bukan dengan mata pedang, tetapi mata hujah yang tulus dengan cinta. Cinta kepada keadilan dan kebenaran yang bersemi, ialah fitrah yang tertanam dalam kalbu kita yang terdalam, menjadi sumbu kekuatan untuk kita gagah menentang apa bentuk pencabulan hak sekalipun.

Justeru itu, adinda, kita tidak akan tunduk pada ancaman keperkasaan fizikal yang buas memangsakan kelemahan yang lain.

Kita tidak bodoh.

Bahkan kata-kata yang disandarkan kepada Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa perempuan memiliki 9 nafsu dan 1 ‘aqal berbanding lelaki yang memiliki 9 ‘aqal dan 1 nafsu adalah pendustaan semata-mata!

Tunjukkan aku matan dan sanad kalau benar ia sabda baginda SAW? Malahan, datangkan aku hadis baginda SAW yang senada, kalau benar ada.

Dikatakan juga nisbah 9:1 dan 1:9 itu dari Hasan Al-Basri, tetapi itupun masih gagal dibuktikan. Kitab Siyar A’lam an-Nubala merekodkan Hasan Al-Basri meninggal pada tahun 110H yang bererti Rabiatul Adawiyah berusia 10 tahun semasa kematiannya. Bagaimana mungkin terjadi dialog yang disebar-sebar itu?

Sudahlah. Sedangkan kalam Tuhan pun memuliakan perempuan, bagaimana ucapan manusia memansukhkan pula?

Sejarah telah menukilkan betapa agama kita telah berkembang pesat, juga dari kepintaran perempuan. Tarikh Islam mengabadikan kisah cinta Rasulullah SAW dan tonggak perjuangan baginda, Sayyidah Khadijah radhialLahu ‘anha yang menginfaqkan seluruh harta dan jiwanya untuk agama Allah.

Jangan kita lupa, ucapan Zaynab Al-Kubra yang telah menggoyangkan istana tirani yang menghisap darah tanpa ihsan!

Apakah itu tidak cukup membuktikan bahawa kita adalah golongan mulia yang telah Rasulullah amanatkan untuk dijaga sebaiknya?

Adinda,

Dunia ini penuh tipu daya. Tetapi kita tidak akan dibutakan oleh usaha-usaha menutup mata kita dari memahami identiti sendiri.

“Apa ertinya saya menjadi perempuan?”

Aku mampu menyenaraikan berkajang-kajang jawapan untuk meluahkan betapa aku menghargai sebuah kejadian Hawa.

Namun, kukira cukuplah di sini dahulu, kerana kertas kerjaku menyeru-nyeru untuk disentuh semula.

Aku akan menanti jawapan balas darimu- Apa ertinya saya menjadi perempuan?


Spread the word!

Related Post

One Comment