Surat Untuk Perempuan (6)

Spread the word!

Assalamualaikum,

Salam sejahtera untuk adinda yang telah membisik risau di cuping telingaku. Aku mengesani kebimbangan yang kau hantar dari tajamnya angin semalam yang tiba dari jihat Timur.

Usahlah kau gundahkan keadaanku lagi.

Aku baik-baik sahaja.

Ok, tipu.

Ya, tahu.

Adinda, tebarkan sahaja benih-benih doa ke langit yang terbuka, moga berputik dan mekar sebagai kuntuman yang akan menyerikan hariku. Kau tahu aku sedar bahawa aku tak akan bisa menyembunyikan apa-apa darimu.

Luka kakiku tidak apa-apa. Tidak perlu pun berjahit. Usah kau terpengaruh dengan laporan sahabatku, mereka cuma melebih-lebih kerana mahu kau memujukku (atau mendesak) bertandang ke rumah sakit. Ah, kau tahu aku benci jarum sedari kecil.

Balang kaca itu aku langgar dengan tidak sengaja, terjatuh ke atas kaki yang tak sempat aku elak. Semuanya sangat pantas. Tahu-tahu kaca telah mengoyakkan kulit.

Kau tahu dinda, kadang-kadang ada perkara yang tak perlu diucaplafazkan. Aku telah nekad. Mungkin ada bahagian kesedihan yang tak mungkin aku ubatkan. Tapi aku harus melalui kehidupan selagi nafas di tenggorakan.

Tuhan sedang mengajar aku tunduk.

Aku faham kau khuatir aku ditewaskan lagi. Perempuan emosi yang selalu bertindak ikut hati. Yang sering kalah dengan pujukan nurani. Tetapi ujian tidak diturunkan ke atas hamba melainkan dengan kemampuan mereka, bukan? Aku akan melepasi tempoh-tempoh kesakitan ini, sebagaimana telah aku lepasi badai-badai sebelum ini, dengan izin Tuhan.

Ya, ujian kali ini sekali lagi bukan sembarangan. Aku kira, kau boleh maafkan insiden-insiden tidak keruan yang gagal aku sembunyikan.

Dan aku akhirnya harus berani berhadapan kenyataan – bahawa aku telah membesar terlalu biasa dengan pergolakan. Aku mengukir langkah dengan kedegilan dan penentangan, penuh ketidakpuasan dan persoalan yang enggan disenyapkan. Tidak ada yang akan menyangka di sebalik ketenangan yang terzahir, adalah gelora mendidih menuntut letusan yang jika tak dikawal akan meranapkan wilayah kewarasan dan membinasakan sungai kepercayaan.

Kau benar. Aku sebenarnya beruntung dengan setiap kemahuan yang tidak pernah tidak  kucapai. Tuhan memberikan semua yang aku minta, tanpa tertinggal. Mungkin kali ini aku harus belajar untuk menahan keinginan terhadap apa yang aku mahu dan mampu dapatkan. Kerana hidup, pada hakikatnya bukan milikku. Belajar untuk tidak meminta, dan menyerahkan semuanya ke tangan Tuhan. Melepaskan diri dan bebas menerawang, di angkasa kawalan Ar-Rahman. Yakin bahawa Dia ada untuk menyelamatkan dan mengutuskan jalan.

Dalam pejam aku masih menyimpan kalung asa yang belum kusimpulmati pengakhiran. Biar samudera kata beralun dilukis takdir dan aku akan belajar memaknakan ketaatan. Aku telah kepenatan memperjuangkan keinginan – padahal tidak ada lebih tahu akan kebaikan atau keburukannya melebihi pengetahuan Tuhan.

Adinda,

Kali ini tidak ada butir perbincangan jelas yang hendak aku lontarkan. Cukuplah warkah ini menjadi burhan bahawa kakandamu ini masih manusia yang bertarung setiap masa. Iklim di sini tidak mengubah apa-apa, tidak juga membekukan rasa, tidak melumpuhkan deria. Darah merah yang menitis dari hirisan kaca semalam akan kuabadikan sebagai dakwat yang mengisi larikan pena. Bukti kekecewaan dan kesedihan adalah bahagian kehidupan, untuk membawa kita lebih dekat kepada kebenaran. Kau percaya ?

Telah kutahan air mata dari menjatuhi pipi, untuk kubentuk sebagai kolam yang menyimpan mutiara paling misteri. Sehingga satu hari nanti, akan ada yang mampu mengerti.

Aku baik-baik sahaja.

Betul, jujur.

Sehingga ke surat seterusnya.

Salam kesejahteraan buat semua.


Spread the word!

Related Post

One Comment