Surat Untuk Perempuan (7)

Spread the word!

Assalamualaikum wbt,

Salam seribu kekuatan buat adinda yang tak lekang dari ingatan.

Apa khabar dirimu, jiwamu, akal dan imanmu? Semoga sejahtera semuanya.

Kanda menghulur salam kekuatan, sementara menanti kepulanganku tidak lama lagi.

Jarak yang memisahkan kita akan dipadamkan, dan aku sedang menghitung hari.

Adinda, aku butuh pertolongan kali ini. Tanpa tangguh, aku mohon perhatian darimu, untuk cerita yang bakal aku kisahkan.

Tanggal 8 Mac yang lalu, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, aku bertemu seorang hawa yang terluka. Terduduk lesu menghadap mentari terbenam, terhinjut menahan esak sendirian, kulihat dia menggigil kesejukan lalu kubawa pulang.

Aku mengesani rayuan di sebalik sepasang mata beningnya yang telah kehilangan sinar harapan. Usai menguruskan diri, aku menghidangkan makan malam; pasta dan coklat panas. Dia makan separuh terpaksa. Tidak banyak bicara, kecuali ucapan terima kasih, namun aku bagai mendengar suara sukmanya yang bercerita.

Adinda,

Cerita itu cerita kelemahan. Kisah kelukaan bersalut noda kedegilan dan keegoan. Gurindam pendosa yang tak serik jatuh, calar balar dan tercarik kulit, terpalit lumpur maksiat yang kotor dan jijik.

Cerita itu cerita kelemahan yang merangkak menuju kekuatan. Bertatih tapak demi tapak untuk senafas kesucian di celah-celah keserabutan hawa nafsu dan desakan syaitan. Kisah itu kisah air mata yang telah gersang dikeringkan terik mentari kekecewaan. Kisah hitam yang terlalu kelat untuk ditelan, menyentap jantung jika diluahkan.

Gurindam tanpa irama yang mendamaikan. Gurindam kejam yang menyirat sekepal daging yang berdegup kencang, meninggalkan biratan kesengsaraan, tak terzahirkan.

Mahukah kau mengerti adinda?

Bahawa kisah itu tanpa kalimah dan kata. Bisu tidak bernada.

Kau akan mengerti adinda.

Aku tahu kau akan mengerti, betapa jiwa yang telah remuk tidak lagi akan terselamatkan, melainkan dengan doa; aku mohon untuk kau sama panjatkan. Solat hajat dan tawassul yang selalu kau amalkan. Aku mohon atas nama persaudaraan yang diikat syahadah, walau tidak saling mengenali, bergabunglah dengan kanda untuk mengirim doa kekuatan.

Untuk seorang hawa yang tidak perlu aku perkenalkan.

Aku tahu kau mengerti.

Salam kekuatan dari jiwa yang sedang berusaha teguh dan meneguhkan.


Spread the word!

Related Post