Surat Untuk Perempuan (8)

Spread the word!

Assalamualaikum wbt,

Salam ketabahan buat adinda yang diingati selalu, walau warkah tidak lagi sekerap dahulu.

Apa khabar dirimu ? Bagaimana persiapan menanti hari kebesaranmu tidak lama lagi ?

Semoga baik-baik semuanya.

Kanda menghantar senyuman dan pelukan mesra dari kejauhan agar kau tidak terlalu merasakan ketiadaanku di saat-saat mustahak begini. Terima kasih kerana memahami dan merestui, bahawa pemergianku kali ini bukan membawa dendam, hanya merawat luka yang terlalu dalam.

Aku baik-baik sahaja di sini, tenang di padang pasir yang gersang. Cuma mengambil masa menyesuaikan diri, dengan keterhadan sumber air. Banyak waktu perlu menyelesakan diri dengan tayammum sahaja. Mandi pun apabila terdesak melekit seluruh badan. Mujurlah udara di sini tidak berwap melembapkan seperti di garisan khatulistiwa sana, tak perlu terlalu bermandi peluh jantan.

Adinda,

Aku doakan kau terpelihara dengan penuh kehormatan, di sisi pilihan hatimu. Aku yakin kau telah membuat pilihan yang terbaik, berpandukan pedoman yang ditunjukkan Ilahi, seperti selalu kau pesankan padaku yang selalu degil keanak-anakan.

Meski rutin harianku disibukkan dengan menguliti buku-buku tebal falsafah dan undang-undang, menulis kertas-kertas kerja untuk pembentangan yang sering mengisi jadual bulanan, ada bahagian ketidakmatangan yang tak kelihatan di pandangan awam, tetapi terlalu jelas untuk kesembunyikan darimu yang membesar bersama semenjak di buaian.

Adinda,

Barangkali ini adalah balasan untuk setiap keras kepala yang sering aku pertahankan. Aku mengambil waktu untuk menoleh ke belakang dan melihat satu demi satu kesilapan yang aku lakukan. Beberapa hari ini, aku belajar menghargai setiap titisan air yang aku ibaratkan seperti jongkong emas yang tak terbelikan. Yang selama ini aku butakan dari penglihatan.

Kau pernah mengingatkan. Bahawa jika aku kerap mengulang kecuaian, aku akan mencederakan diri sendiri.  Dan aku tidak akan dapat disembuhkan, kecuali dengan usaha keras yang bakal terlalu menekan. Tapi aku mengabaikan setiap patah kalimatmu yang aku anggap keterlaluan.

Dan untuk itu, aku perlu menelan akibat yang telah menikam ke relung paling dalam.

Ketika lafaz menyiat seluruh harapan, bukan lagi darah merah yang menitikkan kesedihan tetapi bungkam yang telah lumpuh perasaan.

Aku tak berharap untuk mencari penawar.  Biarlah pencarian ini dihentikan tanpa berlabuh di daratan. Aku akan terus berlayar dan memikul kenangan. Di sini, di sebuah khemah yang disimbahi terik mentari setiap pagi, dan dihias bintang malam yang bersinar terang, aku akan berusaha mendalami wirid-wirid penyerahan.

Kau tahu dalam banyak keadaan, aku selalu gagal ditewaskan hujah berjela-jela huraian, justifikasi logik fikiran sebab aku perempuan yang terlalu teguh pada perasaan. Dihempap batu prinsip, dihantuk ke dinding peraturan pun aku masih mampu berdiri tegak tak terkesan. Walau darah mengalir likat, kau tahu aku masih bisa bertahan. Sehinggalah sebaris kalimat tepat, beracun yang terpacul.

Sebaris sahaja.

Cukup untuk melonglaikan lutut dan menyebabkan aku tersungkur.

Sembam semalam adalah tanda silang berwarna merah untuk mengkhatamkan pendirian yang selama ini aku perjuangkan. Kusangkakan pelabuhan paling baik untuk aku dirikan kediaman, rupanya hanyalah semata-mata mainan khayalan. Tali ikatan yang aku pegang kemas, rupanya cuma tergantung di kabus angan-angan. Sedangkan pelabuhan itu sebenarnya disiapkan untuk kehadiran yang lain. Mungkin lebih wajar begitu. Mungkin kehadiranku bukan jawapan yang tepat dan lebih menyulitkan keadaan.

Aku tak apa-apa.

Kemarau panjang akan menyejatkan setiap tangisan yang beresakan.

Bukan telah aku katakan?

Aku akan meneruskan pelayaran, dan nekad untuk tidak berlabuh di mana-mana lagi.

Aku akan belajar untuk berkelana ditemani samudera yang bergelora, berlindung di bawah langit realiti, dan berjanji tidak akan lagi hanyut dibuai mimpi.

Kita akan bertemu nanti. Sekali sekala akan kukirimkan berita untuk menghilangkan kerisauanmu di tanah air. Usahlah kau geringkan pemergianku.

Aku akan jalani nafas yang berbaki dengan berani.

Sehingga ke surat seterusnya, andai masih dikurniakan nyawa dan pena.

 


Spread the word!

Related Post