SURAT UNTUK PEREMPUAN (9)

Spread the word!

Assalamualaikum wbt,

Salam kerinduan sesetia bintang di dada malam, buat adinda yang sedang menikmati keindahan Laut Cina Selatan. Hati-hati adinda, ombak dua tiga musim ini garang-garang, membadai tanpa amaran.

Bagaimana keadaanmu di samping nakhoda yang baru dilantik dua tiga purnama lampau? Kudoakan kesejahteraan terus mendamaikan mahligai yang telah didirikan. Moga-moga kalian dikurniakan pahlawan kecil dan bidadari cilik untuk melangsungkan perjuangan budi yang susah payah kita pertahankan, walau di benua berasingan.

Adinda,

Akhir-akhir ini aku diasyikkan keindahan bahasa syurga. Tambahan pula, terlempar di sini membuat aku lebih peka akan setiap hal kecil yang terjadi di sekeliling karavan. Aku mulai dapat memahami perubahan kedudukan bebintang. Perlahan-lahan, aku bagai terdengar-dengar bisikan alam. Kadang-kadang, ketika seluruh karavan sedang enak dibuai mimpi, aku menyarung jubah hitam dan penutup muka, memacu Firnas ke tengah sahara lalu berteduh di bawah cakerawala yang terbentang sambil berborak tentang Rumi dengan mereka.

Kau pasti sedang risaukan aku – masih waraskah atau sudah gila akibat terlalu lama meninggalkan kota?

Adinda,

Janganlah dikhuatirkan yang bukan-bukan tentang kakandamu ini. Masihkah kau ingat, aku selalu bertanya, setiap kali kenderaan yang kita naiki membelah lebuh raya? Tanyaku, “andai kita mampu mendengar dan memahami butir bahasa kejora dan belantara, purnama penuh dan awan teduh, sedang apakah mereka? mungkinkah ada bencana yang dapat kita elakkan dengan memahami tanda-tanda yang disampaikan?” sambil mataku akan melekap erat ke luar jendela.

Kau akan selalu membalas,”Sayangnya kita telah dicemarkan pembangunan.”

Dan soalan aku tenggelam dibawa semilir metropolitan yang tajam.

Aku kira di sini ialah peluang aku bertemu jawapan. Dan aku bahagia sekali kerana diajarkan ilmu cerapan alam oleh orang-orang lama. Pesan mereka, “kita ini datang ke dunia sebagai orang dagang, maka wajarlah kita memesrakan diri dengan bahasa semesta, mudah-mudahan sejahtera kita berpedoman sehingga tiba masa pulang.”

Berbalik tentang bahasa syurga.

Baru-baru ini aku bagaikan terkesima mendengar syarahan dari guru kami yang telah menyebut, “Seorang wanita itu perlu menjaga auratnya, walau di hadapan bapa dan saudara lelakinya, kecuali kepada suaminya sahaja”. Kami sedang membahaskan sepotong hadis palsu yang disandarkan kepada Baginda junjungan mulia ketika ayat tersebut terpacul dari bibir murabbi. Hadis apa? Ah, aku bahkan tidak ingin menumpahkan dakwat pena untuk menukilkan pendustaan jijik itu, celakalah ke atas manusia yang mereka-reka cerita ke atas sosok suci Rasulullah SAW!

Kita kembali kepada bahasa syurga.

Sebenarnya bukan aku tidak pernah mendengar pesanan-pesanan begitu, apatah lagi ketika negara digemparkan berita-berita haruan makan anak dan pagar makan padi, banyak mesej-mesej advokasi disebarkan untuk memberi peringatan kepada masyarakat.

Apapun, kali ini bukan tentang jenayah yang ingin aku perkatakan.

Tetapi tentang keutamaan seorang lelaki yang dinamakan suami.

Ketika menyebut pesanan tersebut, guru kami menggunakan kalimah ‘hatta‘ dan ‘illa‘ yang membuatkan aku lebih tersentak. Dua butir kalimah yang telah menegaskan betapa pentingnya memilih lelaki yang akan diserahkan seluruh kehormatan hawa, kerana seorang perempuan tidak berhak berkongsi jiwa raganya kepada sesiapa sahaja, melainkan, kepada insan yang diberi amanah sebagai suami, hatta kepada bapa yang membesarkan dari tapak kakinya sekecil dua jari sekalipun!

Bayangkanlah betapa mustahaknya kedudukan seorang suami di sisi isteri dan sebaliknya, kerana tidak ada yang akan lebih mengetahui cacat cela , keaiban dan keburukan kita melainkan orang yang telah diikat dengan akad suci, di hadapan wali. Betapa tingginya kepercayaan yang perlu diberi, dalam meniti pelayaran ke destinasi syurga abadi.

Justeru, wajarlah batasan yang digariskan agama dihormati, bagi menjaga maruah seorang perempuan.

Lalu setelah perjanjian termeterai, pentinglah kedua-dua pihak menghargai sesama sendiri agar terpelihara keharmonian keluarga.

Adinda,

Kau pasti lebih mengerti hal ini kerana kakimu telah mengukir langkah ke sana, sedang aku masih mengambil masa menyusun kesedaran demi kesedaran, setelah kelelahan di kaki takdir. Semalam aku dikunjungi mimpi kelat, tentang semangat yang tidak lagi kuat lalu dikalahkan pujuk rayu zaman yang tak pernah bosan mempertaruhkan saat.

Barangkali satu waktu nanti aku akan menemukan pencerahan baru tentang soal peredaran masa pula.

Buat masa ini, aku senang begini.

Mengalirkan tenaga untuk merakam makrifat kepada anak muda, walau tanpa dikenali sesiapa.

Dan sesekali terbuai oleh petikan tanbur dan oud mengalunkan puisi Rabi’ah.

‘Araftul-hawā mudh ‘araftu hawāk
Wa-’aghlaqtu qalbī ‘alā man ‘ādāk  

Semoga keberkatan melimpahimu di sana, dinda. Sehingga ke surat seterusnya inshaAllah.

 

 


Spread the word!

Related Post