Surat untuk Perempuan

Spread the word!

Assalamualaikum,

Ke hadapan adinda yang sering diingati. Bagaimana khabarmu di tanah air? Semoga tenang-tenang sahaja di sisi keluarga. Pada saat warkah ini ditulis, kanda telah pun tiba di negara empat musim yang kita sering khayalkan dalam mimpi-mimpi sewaktu kecil. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Orang-orangnya pun ramah dan mesra, tidak lokek dengan senyuman ketika berpapasan di pasar-pasar. Kau tahu dinda, orang-orang Britain ini sangat gemar membaca, di mana-mana sahaja, pasti ada yang membaca. Pesta bukunya pula tidak kira masa, di pasar-pasar minggu, di car boot sale, ada sahaja yang menjual buku dengan harga yang sangat murah jika dibandingkan dengan tempat kita.

Buku bacaan mereka pula terdiri dari pelbagai jenis.

Tetapi, yang aku perasan, di sini buku yang mengisahkan peperangan sangat mudah didapati. Berdasarkan pemerhatianku, memang mereka sangat gemar membaca kisah-kisah peperangan, baik fiksi ataupun non fiksi.

Satu lagi topik yang sering digulati oleh penulis-penulis mat saleh tetapi jarang disentuh oleh penulis kita di tanah air ialah, perempuan. Pernah satu ketika, aku berjalan-jalan seperti biasa di pekan Dunkirk, kulihat ada beberapa kotak besar buku yang dilambakkan. Aku terpandang sebuah buku, yang tajuknya tertulis perkataan woman, lalu aku belek isi kandungnya. Terkejut, membaca satu persatu bab yang terkandung di dalamnya merupakan setiap inci tubuh wanita! Kaki, tangan, mata, hidung, telinga, segala-galanyalah. Buku tersebut membincangkan dengan terperinci mengenai bahagian tubuh wanita dari perspektif seorang lelaki, lantas aku cepat-cepat menutupnya dan berlalu pergi. Terasa mukaku begitu tebal. Begitu murahan menilai perempuan dari sudut fizikalnya semata-mata!

Aku tergelak kecil di dalam hati.

Adinda, Islam datang mengangkat darjat wanita. Jahiliyyah yang memandang wanita hanya sebagai objek seksual, menjadikan wanita hanya pemuas nafsu binatang mereka, membunuh anak-anak perempuan hidup-hidup demi menjaga maruah keluarga kononnya. Hari ini, tidakkah kau melihat kejahilan yang sama bermaharajalela, walaupun tidak lagi dalam bentuk yang sama?

Maka, aku kira, perempuan perlu punya identiti sendiri. Lantas, dari jalur yang manakah dapat kita kutip sebanyak mungkin mutiara mengenai perempuan? Apakah ada yang lebih indah dari ajaran Islam yang telah muncul dengan begitu lengkap bagi menghuraikan identiti seorang perempuan?

Bahkan, Al-Qur’an sendiri telah mendedikasikan sebuah surah khusus untuk perempuan! Tidakkah kau merasa terhormat? Menjadi salah satu elemen yang disebut oleh Tuhan, dalam kalamnya yang sepanjang 176 ayat?

Dalam khutbah terakhir, Rasulullah SAW juga berpesan kepada umat manusia supaya berlemah lembut kepada perempuan.

“Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

Adinda, Menjadi perempuan itu anugerah. Percayakah kau, bahawa tidak semua perempuan yang dilahirkan ke dunia ini berjaya membesar menjadi seorang perempuan dengan sebenar-benar makna? Kerana perempuan sebenar adalah hiasan terindah di ranah duniawi. Sudah tentu ada sahaja tangan-tangan durjana yang akan cuba menghalang keindahan ini dari terus menyinari kelesuan bumi.

Menjadi perempuan tidak bererti menjadi golongan yang lemah dan sentiasa memerlukan pergantungan kepada seorang lelaki. Perempuan yang bermaruah harus pandai meletakkan batasan dalam pergaulan, tahu beza mana realiti mana fantasi.

Pegang ini erat-erat dalam hatimu, dinda; perempuan perlu bijak mendefinisikan diri, tak perlu sibuk cari populariti. Perempuan perlu pandai jaga identiti, jangan sampai jadi komoditi. Perempuan harus berani memecut sendiri, jangan mudah dijual beli.

Adindaku Hawa, perempuan yang dikasihi,

Seorang perempuan, melengkapkan dirinya dengan budaya keilmuan adalah wajib. Tidak kurang sedikit pun berbanding lelaki. Sekali pun seumur hidup bakal dihabiskan di dapur, memasak menyediakan makan minum suami dan anak-anak, mencuci basuh pakaian, menyiapkan keperluan seisi rumah, tidak bererti proses mencari ilmu harus berhenti.

Aku tahu, kau pasti mahu berhujah bahawa tugasan-tugasan ini sebenarnya bukan di atas bahu wanita semata-mata, bukan? Aku mengerti. Soal ini, masih terbuka untuk perbincangan. Dan aku tidak bermaksud untuk meleret panjang tentangnya kali ini. Mungkin, dalam warkah akan datang?

Siapa kata hanya perempuan yang diarak ke tempat umum ialah perempuan yang berkualiti? Siapa kata cuma perempuan yang bermain mikrofon ialah perempuan pemberani?

Biarpun bukan pendebat terbaik di mana-mana persidangan, biarlah dirimu jadi pendebat terbaik untuk sang suami. Bijak menyusun hujah, berhikmah menyampaikan fikiran, biarlah bukan untuk meraih undi, tapi agar kau bisa muncul seteru keilmuan untuk nakhoda famili.

Iya, sepertinya Khadijah r.a, saat Rasulullah SAW pulang ke rumah sambil gementar saat menerima wahyu pertama, Khadijah r.a malah setia menjadi pendengar, lalu menenangkan Baginda SAW dengan kata-katanya yang meyakinkan.

Atau seumpama Ummu Salamah r.a, yang cadangannya telah berjaya menyelesaikan situasi Rasulullah SAW. Juga segigih bonda Imam Syafie r.a, yang membesarkan anak ketika suami dijemput Ilahi, lalu melepaskan dengan berat hati, bukan kerana si anak bakal meninggalkannya seorang diri, tetapi kerana tidak punya harta untuk dibekali.

Bukankah mempersiapkan seorang perempuan itu umpama mempersiapkan sebuah madrasah? Syair Arab menyebut, “Ibu adalah madrasah pertama. Jika engkau mempersiapkannya, maka engkau mempersiapkan generasi terbaik. “Begitu bedanya kita berbanding lelaki. Kerana, dari ibu yang baik, akan terhasil anak-anak yang soleh dan solehah, pejuang buat agama.

Malah Rasulullah SAW ketika ditanya siapakah yang paling layak untuk diberikan layanan terbaik, baginda lantas menjawab, “Ibumu” dan mengulangi jawapan yang sama sebanyak tiga kali.

Nah, tidakkah seorang ibu itu tidak dapat tidak ialah seorang perempuan?

Sampai di sini sahaja coretan kanda kali ini buatmu, adindaku, perempuan yang akan terus setia berada dalam kuntuman doaku saban hari. Semoga Allah SWT membantu kita untuk menjadi perempuan berharga, mawar agama.

tumblr_nbq5w6t6YE1qmahalo1_1280


Spread the word!

Related Post