Tinta Tertumpah di Hujung Ketika

Spread the word!

Saya meneliti wajah bersih di hadapan saya satu persatu. Ada riak teruja dan mahu berceloteh sama.
Anak-anak kita hari ini, saya kira memang menyimpan banyak cerita.
Terlalu lama rasanya tak buat kerja seperti ini – bertemu ibu bapa dan anak-anak di desa.

Alhamdulillah, di atas sesi perkongsian yang diberikan jalan oleh Allah SWT di ambang merdeka.
Ketika orang ramai berkumpul di stadium dan dataran mengibar bendera, kami mengisi makna dengan cara yang berbeza.

Hubungan ibu bapa dan anak
Dalam banyak perkara yang berkaitan proses kematangan anak-anak, ibu bapa memang memainkan peranan yang sangat mustahak.

Ada satu gambar yang pernah membuat negara terkejut satu ketika dahulu, gambar saya diapit umi dan ayah, di hadapan pondok buruk yang kelihatan hampir roboh yang kami sewa berbelas tahun lamanya. Gambar itu bagai membuka mata Рbahawa anak orang miskin juga mampu berjaya. Tetapi ada satu sisi yang tak terlihat dari potret yang terpapar di dada akhbar. Satu sisi bahawa saya sebenarnya kaya dengan kasih sayang umi dan ayah, juga kepercayaan mereka.

Seorang anak yang cukup dengan kasih sayang dan perhatian ibu bapa, adalah anak yang lengkap, meskipun tanpa limpahan harta dan kemewahan dunia.

Apatah lagi dalam keadaan dunia kita semakin bising dan hingar bingar, anak-anak kita mudah terpengaruh dan terasa kosong. Hidup bagai tiada makna. Oleh itu, ibu bapa perlu lebih memahami. Sentiasa ada untuk anak bercerita, dan berkongsi suka duka. Biar jadi orang yang paling mereka percaya, agar mereka tidak sentiasa mencari rakan sebaya di saat konflik melanda.

Arwah umi saya tak tinggi pun pendidikannya. Dan sebagai anak, saya tak perlu pun untuk umi bantu saya selesaikan masalah Fizik, Matematik Tambahan dan Kimia di sekolah, saya cuma sangat bersyukur dan bertuah dengan perhatian, ambil berat, empati yang beliau tunjukkan sepanjang saya di zaman persekolahan.

Setiap orang punya latar belakang keluarga masing-masing. Tidak ada keluarga yang terlepas dari ujian dan kemelut. Tidak ada keluarga yang sempurna tanpa sebarang cacat cela, tetapi ibu bapalah yang memainkan peranan utama dalam mencorakkan penerimaan anak-anak terhadap kekurangan yang kadang-kadang tidak dapat dibetulkan, selain diuruskan dengan bijaksana.

Jika ibu bapa gagal, runtuhlah institusi keluarga, hancurlah masyarakat dan agama. Begitu besarnya impak peranan ibu bapa, sebab itu perkahwinan bukan permainan suka-suka nak bermanja, kerana sekali bergelar ibu bapa, selamanya tanggungjawab di pundak akan dipersoal di akhirat kelak – anakmu kau bentuk dengan acuan apa?

Begitu juga anak-anak harus menitik beratkan soal yang sama. Saya cuma tinggalkan dengan satu persoalan yang dijawab – macam mana pun kita sebagai remaja suka berkongsi dengan rakan sebaya, ada satu perkara yang rakan tak mungkin beri kepada kita, walau rapat bagaimana sekali pun. Apakah perkara itu?

Keberkatan doa ibu bapa.
Doa ibu terutamanya.

Jadi janganlah sia-siakan sementara mereka masih ada di hadapan mata.

Permusafiran panjang
Hidup ini benar-benar tentang bagaimana kita memberikan ia makna. Tentang kita mengenali apa sumbangan yang mahu kita berikan, bagaimana kita memanfaatkan anugerah yang Tuhan kurniakan.

Kerana terlalu mudah hidup di hujung zaman ini terasa sunyi dan keseorangan tanpa tujuan, meskipun ada banyak hal yang boleh kita lakukan untuk mengisi kebosanan ; media sosial, hiburan puisi, lagu, filem, bahan bacaan, hakikatnya semua itu adalah solusi yang tidak kekal, sementara dan bersalut kepalsuan. Selagi kita tidak mengubati punca permasalahan dari akar umbinya.

Tentang kita mencari Tuhan.

Hanya kerana kita dilahirkan Islam, tidak bermaksud kita telah menemui Tuhan.
Hanya kerana kita sembahyang dan menutup aurat serba lengkap, tidak bermaksud kita telah selesai dalam pencarian.

Cuma kita yang tahu keadaan dan kedudukan diri sendiri.
Oleh itu, kita tak perlu hanyut dibawa arus dan berteguhlah dengan prinsip untuk mencari kebenaran.

Selalulah kembali kepada apa yang damai di hati- fitrah suci yang Tuhan bekalkan; meneliti dan mempelajari, memahami apa yang Al-Qur’an dan Sunnah tunjukkan.

Dan proses pembelajaran ini tidak terhenti dengan selesainya graduasi dari universiti. Ia akan terus berlangsung, sehinggalah maut menjemput kita kembali.

Proses ini pula bukan proses yang mudah dan ringkas – sudah tentu ada kerumitan, kekeliruan, ketidakfahaman dan ketidakselesaan yang perlu kita tangani.

Tetapi janganlah kesukaran-kesukaran itu menghalang kita dari mencari erti yang hakiki, kerana setiap kesukaran yang kita tempuhi demi mencari Ilahi tidak sesekali akan dipandang sepi.

Anak-anak kita bukan hanya perlu diajar tentang bagaimana untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi bagaimana untuk mengemudi bahtera kehidupan mereka di zaman yang penuh godaan licik dan tipuan keji.

photo6098309933880682520

photo6098309933880682521

photo6100346199350552609

 

Semoga Tuhan mengira niat tulus kita untuk saling mengenalkan satu sama lain kepada kebenaran, lalu memberkati kita dengan kebaikan yang berpanjangan.

Amiin..


Spread the word!

Related Post