Tribut Untuk Tahun Penuh Kesedihan

Spread the word!

Saya masih mengingati tahun yang saya gelar ‘amul hazn. Tahun saya pertama kali belajar tentang kematian. Mengalami sendiri pemergian insan-insan penting dari hidup, tidak lagi mampu dicaritemukan . Hilang terus dari pandangan. Tanpa sepatah ucapan dan amaran.

Tribut ini untuk mereka, yang telah meninggalkan legasi yang selamanya membekas di petak kenangan.

Untuk seorang pensyarah yang mengajar dan mengenalkan erti sains dan tauhid berpisah tiada.

Untuk seorang sahabat yang dengan sebab beliau saya punya keluarga di timur negara. Yang tak pernah mengecewakan di saat saya perlu telinga untuk bercerita. Yang telah berjanji bahawa bagaimanapun tanggapan saya terhadapnya, dia senantiasa bersedia, sedaya upaya.

Untuk seorang bapa saudara yang wajah dan suaranya masih terngiang-ngiang di telinga. Baru-baru saya mimpikan dia. Untuk dia yang dijemput pergi ketika saya ber’perang’ dengan kelasakan di sebuah pulau terpencil; ketika saya mengah menyudahkan ekspedisi juga dengan semangat yang dibekal dia. Untuk sebuah kisah yang tak sempat disampaikan, kerana takdir lebih dahulu menyayanginya.

Saya masih menghafal keramahannya melayani karenah kami anak-anak saudara, masih mengulangtayang senyum tampannya setiap kali menyeru nama saya, masih mengingati perbualan-perbualan akhir kami di sudut katil tak bermaya.

Saya tahu dia pemuda luar biasa. Walau tak selalu bertukar cerita. Cintanya kepada alam terlalu jelas menghangatkan jiwa. Sehingga waktu-waktu sela kesakitannya, masih mencuri redah melepas rindu ke belantara.  Saya cuma membesar dengan perasaan kagum akan kebijaksanaannya, dengan keterujaan melihat foto-foto yang dirakam lensanya, tanpa benar-benar memahami cita-cita besarnya.

Rupa-rupanya ada sebuah pengabadian lukisan alam yang dia perjuangkan.

Akhir-akhir ini Tuhan mentakdirkan saya bertemu jejak-jejak yang ditinggalkan. Cebisan-cebisan jasanya bertaburan, belum berjaya saya cantumkan. (Ini salah satu tribut yang dikongsikan kepada saya: klik) Mempelajari kegemarannya terhadap karya HAMKA, bahawa dia menikmati Ebit G Ade, juga sempat menulis beberapa catatan atas talian.

Ya Tuhan, suratan apakah ini yang perlu saya selesaikan? Atau adakah ikrar yang perlu saya lunaskan?

masa-beban

Enam tahun telah berlalu.

Dulu saya suka bertanya, jika saya tiada siapa yang peduli?

Hari ini saya mengerti, dan tidak lagi berminat untuk mengetahui.

Mereka yang telah pergi ini tidak semuanya dikenali. Tetapi masing-masing memahat memori dengan cara tersendiri. Kita tak perlu risau tentang apa yang bakal orang ingati, asalkan kita hidup dengan penuh erti.

Serta, maut tak pernah peduli berapa pun umur yang diarahkan pulang oleh Ilahi.

Mereka kembali ketika taman impian sedang mekar berkembang, kelincahan mereka dimamah kesakitan yang melumpuhkan, apakah yang lebih mengilukan dari melihat pudarnya sebuah harapan?

Tetapi dari mereka, kita belajar erti kekuatan. Dan hidup, hanyalah pinjaman. Yang tak mungkin mampu ditebuskan. Walau apapun yang datang, hadapilah dengan tenang.

Untuk kita, yang masih mengenang mereka di sela-sela kesibukan harian, yang masih menyeka air mata kerinduan di sudut hati terdalam, yang kadang-kadang berharap waktu dapat diundurkan; ingatkanlah diri untuk terus meniti perjalanan dengan langkah yang paling sempurna. Hakikatnya kita memang akan bersatu semula.

Suatu saat nanti kita akan meleraikan segala rahsia dan menuntut penjelasan terhadap senarai persoalan yang hendak ditanya. Juga melepaskan rasa yang terlalu lama terbuku di dalam dada.

Kita tak pernah kehilangan disebabkan kematian. Tak pernah terpisah oleh jemputan malaikat Izrail ke kampung halaman.

Ikatan kita berkekalan dengan sekuntum Al-Fatihah yang setia kita sedekahkan, juga doa-doa yang tulus kita titipkan.

Dunia ini sementara. Juga sudah sangat tua. Kita tak perlu digundahkan mereka yang sudah tidak bernyawa. Kerana nyawa juga, kurniaan yang bukan milik kita. Apalah sangat dunia dipisah jarak dan kata, dicerai jasad dan nyawa, dibandingkan akhirat yang dipisah syurga dan neraka?

Oleh itu, selagi punya kesempatan, kita berusaha untuk ke syurga, moga-moga di sana nanti, kita akan disatukan semula dan berkongsi syafaat terbaik buat mereka.

Agar kita tidak akan dibezakan taman Firdausi dan maraknya api yang menyala.


Spread the word!

Related Post