Tuhan Manusia

Spread the word!

Saya mengemaskan beg dan alatan. Alhamdulillah, selesai satu lagi eksperimen sebelum berakhir minggu pengajian yang memenatkan. Matahari telah pun berganti bulan di luar. Saya menyarung baju tebal saat menapak keluar dari kehangatan dalam bangunan. Keadaan universiti sudah lengang, hanya beberapa orang sesekali kelihatan muncul dari bangunan kuliah berdekatan.

Projek terakhir sebelum bermula cuti semester

Saya menyertai kegelapan malam dan berjalan untuk kembali ke rumah yang terletak tidak jauh dari Fakulti Fizik. Perjalanan cuma memakan masa 10-15 minit sahaja. Ada juga pelajar yang menaiki basikal untuk ke kelas. Saya sendiri pun pada awalnya pernah berkira-kira mahu membeli basikal.

Tetapi, lama-kelamaan, saya semakin suka berjalan kaki. Untuk ke pekan Dunkirk pada setiap pagi Sabtu pun, saya sering memilih untuk tidak menggunakan bas tetapi berjalan kaki. Tambahan pula, keadaan jalan di UK memang mesra pejalan kaki. Kemudahan pengangkutan awam di sini juga sangat efisien dan selesa.

Berjalan sambil menghirup udara nyaman ialah satu terapi yang bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, bahkan dapat menyegarkan fikiran yang lelah. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk terus menjadi seorang pejalan kaki dan membatalkan hasrat untuk membeli basikal.

“Aku percaya Tuhan itu ada. Aku adalah sebahagian dari Tuhan, dan Tuhan sebahagian dari aku. Bagi aku, agama cuma ciptaan manusia,” Teringat perbualan bersama kawan saya, Dominick, tempoh hari. Rupanya, ada hikmah kelas Fizik Kuantitatif yang saya ingin hadiri pada petang itu dibatalkan. Saya terserempak dengan Dominick dalam perjalanan pulang, dan dia tiba-tiba membangkitkan persoalan tentang agama. Dominick, seorang lelaki kulit putih yang berasal dari sebuah negara yang saya tak pandai sebut, seorang yang bersemangat dan meminati Fizik. Dia ialah antara kawan pertama saya semasa memasuki kuliah, dan sering duduk di sebelah saya dalam kelas. Kami biasanya duduk di barisan pertama dalam dewan.

Pernah sekali saya terserempak dengan dia bersama seorang kawannya. Lalu, dia memperkenalkan kepada saya. Kawannya itu kelihatan begitu kagum apabila mengetahui yang saya juga mengambil jurusan Fizik. Dia bertanya, “kenapa kau ambil bidang Fizik?” “Kenapa tak boleh?” saya berseloroh. “Maksud aku, iya lah, kau kan perempuan. Bagaimana seorang perempuan boleh berminat untuk ambil bidang Fizik?”

Beberapa kali juga Dominick bertanya tentang tudung labuh saya. Saya hampir tergelak apabila dia bertanya, “berapa warna tudung yang kau ada?” dengan wajah kehairanan. Agaknya dia ingat orang perempuan Islam cuma dibenarkan pakai pakaian berwarna hitam.

Saya perasan kadang-kadang dia begitu ingin tahu tentang agama Islam, cuma tidak pernah dizahirkan, sehinggalah pada petang Selasa yang mendung itu. Dia seorang Kristian, tetapi dia menafikan konsep triniti dan Nabi Isa sebagai anak Tuhan. “Tidak, Isa itu sama sahaja seperti kita. Kau tahu, aku pelik, bagaimana mereka mengatakan Tuhan boleh mengutuskan banyak rasul dan nabi? Kenapa tidak turunkan satu sahaja rasul? Ini menggambarkan satu kelemahan di pihak Tuhan.”

Saya membiarkan dia memuntahkan segala buah fikiran. Menjadi pendengar yang setia, dan cuba menganalisis setiap bait katanya.

“Kau rasa, kenapa agaknya kau wujud di dunia?” saya bertanya.
“Untuk buat baik, tolong orang lain”

“Jadi, menurutmu, apa untungnya kepada Tuhan, kalau kau buat kebaikan?” saya melanjutkan tanya. “Hm..mungkin..Tuhan juga gembira jika aku berbuat kebaikan” Dominick kelihatan semakin keliru dengan kata-katanya sendiri. Saya tidak banyak membentangkan tentang agama Islam, kerana saya dapat lihat yang dia sedang membuat pembacaan sendiri tentang Islam. Sebaliknya, saya cuba membangkitkan persoalan mengenai apa yang dia sendiri percaya.

Hari melabuhkan tirai dan saya meminta izin untuk pulang memandangkan saya harus berbuka puasa dan solat Maghrib. Beberapa hari selepas itu, saya menghadiahkannya dua buah buku mengenai Islam.

Semoga Dominick dikurniakan nur Islam suatu hari nanti. Dan semoga Allah menetapkan hati semua Muslim di atas jalan kebenaran.

always-light


Spread the word!

Related Post

2 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>