Tanggal 28 Julai selalu ialah tarikh yang istimewa dalam kamus hidup saya sebagai seorang anak. Dari era sekolah menengah, saya akan mula merancang dua tiga bulan lebih awal untuk menyambutnya. Setiap syiling adalah berharga bagi mendapatkan sebiji kek untuk dinikmati bersama. Pertama kali buat projek, saya bersembunyi di belakang rumah lengkap dalam uniform sekolah, ketika mentari mulai jatuh di ufuk Barat, dengan sebiji kek coklat yang ditempah dari seorang rakan sekolah.

Dengan hati-hati, saya mengintai kelibat umi di tangga rumah, sedang mengangkat kain di ampaian agaknya (lupa) atau mungkin baru pulang dari kedai. Menunggu masa sesuai untuk lari masuk ke rumah dengan kek.

Tiba-tiba kelibat saya ditangkap oleh umi. “Kak long buat apa di belakang rumah tu?” Jerit umi dari depan, kehairanan. Saya gelabah tak tahu nak jawab apa. “Oh tak ada apa” sambil buat muka bersahaja dan naik ke rumah. Saya kemudian minta adik lelaki menunggu di dapur, sementara saya menyeludup kek untuk dibawa masuk.

Projek kami berjaya. Kek selamat tiba ke dalam peti ais tanpa dihidu umi.

Namun surprise gagal juga, sebab umi buka peti ais dan nampak kek coklat, lalu bertanya, “Siapa punya kek ni?”

Fail.

Tahun-tahun seterusnya saya masih bersemangat mengaturkan surprise, tapi apabila percubaan demi percubaan gagal, saya akhirnya menyerah kalah dan menyambut dengan terbuka sahaja.  Everybody knows when 28th July’s coming. Percuma saja nak main sembunyi-sembunyi.

bday cake

Ini kek 4 tahun lepas, sebelum saya ke Nottingham. Kek bulan Ramadhan, hari yang meriah dengan kerabu kegemaran arwah.

Hari ini 28 Julai lagi. 2 tahun telah berlalu. 6 takah tangga yang telah kami adik beradik daki, lewat himpitan kota metropolitan. Pesan arwah kali akhir, jangan kami berpecah.

Blog pertama saya telah menghujankan air jernih ke pipi beliau. Entah kalau beliau masih ada, banjir lagi agaknya.

Umi wanita lembut yang menentang. Persis angin, kata ayah. Dan saya wajar memulangkan kredit keras kepala kepada beliau. Cuma, barangkali saya lebih beruntung, dibekali mutiara-mutiara pesanan yang disusun antara waktu Maghrib dan Isya’, saya menapak lebih berani. “Biar berdikari, jangan diambil kesempatan atas kelemahan diri.”

Saya harap umi akan tersenyum melihat perkembangan kami adik beradik yang sedang meniti jambatan kedewasaan. Meskipun sulit tanpa ditemani orang tua seperti kebanyakan rakan, umi meninggalkan legasi ketabahan yang perlu diwarisi.

Sepertimana kecintaan yang beliau tinggalkan terhadap ombak dan laut; yang setia menghempas pantai dan meninggalkan kebasahan ke atas tanah. Sesementara lukisan yang diukir di atas tanah kemudian dibasuh oleh air laut yang bergelombang, sekejap itulah realiti kehidupan dunia.

Sebentar sahaja. Sekelip mata.

Al-fatihah.