Saya menekan butang nombor giliran lalu mengambil tempat duduk yang kosong berhadapan kaunter.

Sedang saya asyik menyentuh skrin telefon, kedengaran suara bising-bising di ruang menunggu. Seorang nenek yang memegang tongkat dipimpin oleh seorang wanita 30-an dan diikuti oleh anak-anak kecil berjalan masuk tanpa menghiraukan keadaan sekeliling di bank berkenaan. Di tangan wanita tadi, kelihatan baucer BR1M yang dipegang kemas.
Mereka sekeluarga bergurau senda dan berborak dalam bahasa Mandarin yang tidak saya fahami.
Saya sedikit kehairanan, kerana hanya nenek yang bertongkat sahaja yang berwajah Cina sedangkan wanita dan anak-anak kecil bersama-samanya langsung tidak ada iras bangsa Cina. Sekiranya saya hanya melihat mereka tanpa mendengar perbualan mereka, pasti saya akan menyangka bahawa mereka ialah orang Melayu. Telatah mereka bukan sahaja menarik perhatian saya, bahkan pengunjung lain.
Tiba-tiba, seorang kanak-kanak perempuan kecil, barangkali berumur enam atau tujuh tahun, berlari dengan teruja ke arah keluarga itu sambil membawa bungkusan ayam KFC. Hati saya tersentuh. Dia bergilir-gilir menyuap isi ayam dan roti ke mulut wanita dan nenek tadi. Dia turut memberikan sebahagian makanan itu kepada anak-anak kecil yang lain, yang saya teka adalah adik beradiknya.

Angka giliran mereka dipanggil, lalu wanita itu memimpin nenek yang bertongkat ke arah kaunter. Saya teka keluarga itu datang ke bank untuk menukarkan baucer BR1M kepada tunai. Mata saya masih terpaku kepada mereka sekeluarga. Ada satu rasa yang tidak dapat dijelaskan. Giliran saya dipanggil dan saya berjalan ke meja pegawai bank yang sedang menanti. Saya menyelesaikan urusan berkaitan sambil mencuri pandang ke arah mereka.

Ketika urusan saya selesai, mereka masih di situ. Saya berdiri di belakang kerusi menunggu. Gelagat mereka masih saya perhatikan. Ketika keluarga itu melangkah untuk keluar, seorang daripada anak kecil bergurau sambil memukul adiknya. Saya hampir menjerit untuk menegahnya daripada berbuat demikian, tetapi bagai ada sesuatu yang menghalang di kerongkong. Adiknya menangis kuat, sehingga menarik perhatian orang ramai. Wanita tadi memujuknya sambil meneruskan perjalanan keluar. Saya mengira, ada tujuh orang semuanya.

Saya tidak tahu perkataan apa yang boleh saya gunakan untuk menggambarkan situasi ini. Mungkin saya boleh sebut sebagai satu penyaksian terhadap sudut kehidupan yang berlainan daripada apa yang saya biasa lihat dua, tiga tahun ke belakang. Saya membayangkan dugaan yang dilalui oleh wanita pertengahan 30-an tadi, sehingga membawanya ke tahap ini. Saya pasti, beliau ialah seorang wanita besi, cekal mengharungi duri dan ranjau dalam kehidupannya.

world is prison
Penyaksian ini menyedarkan saya untuk bersyukur dengan apa yang ada. Alhamdulillah.
Saya juga memahami keterujaan anak perempuan tadi yang berlari dengan kotak KFC di tangannya, kerana saya satu ketika dahulu juga seperti dia. Barangkali, mereka telah menahan keinginan untukmenikmati ayam goreng KFC berbulan lamanya.

Walaupun sekarang saya juga bukan lagi pengkagum makanan segera, dan seandainya saya mempunyai kemampuan untuk setiap hari menjamah ayam goreng KFC, tetap saya tidak akan sewenang-wenangnya memenuhi keinginan itu kerana menyedari mana yang berkhasiat dan mana yang tidak.

Apa yang cuba saya sampaikan hanyalah sebuah manifestasi kepelbagaian corak hidup yang ada di dunia ini. Allah SWT berfirman bahawa hidup ini tidak lain dan tidak bukan adalah medan untuk menguji manusia. “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya” (Al- Kahf:7)

Sekadar ingatan buat diri sendiri, kadang kala apabila diuji, kita selalu merasakan bahawa kitalah manusia yang paling malang di dunia ini. Kita terlupa untuk melihat sekeliling dan merenung kembali ke dalam diri, bahawa Allah SWT sebenarnya sudah memberikan kita banyak nikmat yang kita tidak hargai. Dengan lupanya kita terhadap semua nikmat ini, kita akhirnya terpedaya oleh bisikan jahat syaitan supaya berputus asa dan mengambil jalan mudah untuk keluar daripada kesulitan yang kita alami.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH, 26 Mac 2015)