11 bulan yang lepas, saya adalah  seorang yang tidak pernah terbayang akan memegang stereng kereta. Jun 2014, hari itu cerah sekali, saya akhirnya lulus ujian memandu, dan umi juga dibenarkan keluar dari wad. 2 khabar gembira.

“Ceh, Cuma ujian memandu? ”

*senyum*

Mungkin bagi ramai orang, lulus ujian memandu tidak bererti apa-apa. Tapi buat saya, yang pernah berjanji pada diri tidak akan memandu kereta sekalipun ada lesen suatu hari nanti, adalah satu pencapaian.

LESEN P

Suatu waktu dahulu, saya adalah seorang yang sangat takjub melihat orang memandu kereta. Saya kehairanan, bagaimana seorang pemandu dapat mengukur berapa jarak yang sesuai ketika membelok ke kiri dan ke kanan, bagaimana juga melihat kereta yang datang dari pelbagai arah. Tambah kagum apabila melihat pemanduan di malam hari; di saat saya yang duduk di kerusi sebelah silau menutup mata setiap kali ada kenderaan dari arah bertentangan.

Saya justeru, tidak dapat membayangkan adakah saya mampu berada di kerusi pemandu. Membawa orang-orang tersayang ke destinasi tertentu, saya tidak fikir saya mampu.

good driver

Saya begitu selesa berada di kerusi penumpang, tutup mata di sepanjang perjalanan, buka mata hanya setelah tiba. Sehingga suatu hari, umi menyuruh saya mengambil ujian memandu. Saya separuh hati menurutkan sahaja. Sejurus selepas saya memulakan kelas memandu dan bersiap untuk mengambil ujian komputer, adik lelaki saya yang kedua juga disuruh untuk mengambil ujian memandu. Saya tidak faham- kenapa umi, begitu bersungguh menyuruh kami adik beradik mengambil ujian memandu?

Sehingga terpacul dari mulutnya yang menjawab persoalan saya itu, pada suatu pagi. Kurang lebih maksud kata umi, “kalau ada lesen nanti, rasa bertanggungjawab itu bisa hadir. Moga-moga, anak remaja yang mentah, bakal merasakan bahwa mereka semakin menghampiri kedewasaan”.

Saya termangu-mangu mendengar kata-kata umi. Tidak pernah saya melihat dari sudut itu.

Dengan membawa lesen memandu, kita sebenarnya menggalas tanggungjawab yang  besar. Malah menjadi simbol kematangan. Tiba-tiba saya teringat kata-kata seorang guru memandu yang memberikan ceramah semasa sesi pertama- beliau seorang wanita lewat 40-an saya kira, tampak dari lagaknya sebagai seorang wanita yang pantang menyerah. Kata beliau, “saya ini orangnya bongkak. Angkuh. Tetapi bila di jalan raya, saya tanggalkan dahulu perangai bongkak dan angkuh saya. ”

Sewaktu di sekolah rendah, satu-satunya aktiviti kokurikulum yang saya sertai ialah Lalulintas Shell. Kami, murid-murid sekolah rendah dilatih dengan peraturan jalan raya. Kami berlakon seolah-olah berada di jalan raya yang sebenar. Ada tiga posisi: pejalan kaki, penunggang basikal dan pemandu kereta. Saya sempat membawa dua posisi; pejalan kaki dan penunggang basikal. Saya masih ingat, menggoyangkan tangan kanan dan kiri sebagai isyarat ke kanan dan kiri, dan pada hari pertandingan, begitu banyak saman yang dikumpulkan.

Tak tahu apa jadi dengan aktiviti ko-kurikulum itu sekarang- masih wujudkah atau telah dimansuhkankah?

Kini saya harus menjadi pemandu. Kebanyakan hari yang saya lalui sebagai pemandu, membuat saya semakin memahami apa yang umi maksudkan, dan apa yang guru itu sampaikan.

Saya sudah boleh bicara dengan kosa kata pemandu, saya sudah faham stress ketika terperangkap di dalam traffic jam, dan saya juga sudah mengerti kira-kira yang perlu dilakukan ketika di jalan raya- jalan mana yang kena ambil supaya boleh cepat sampai ke destinasi. Kalau dahulu minda saya cepat sahaja berehat dan melayang ke angkasa sebaik menaiki kereta, kini saya perlu ligat berkira-kira dan membuat bayangan; jalan mana nak ambil, laluan mana yang kena elak dan sebagainya.

happiness-is-driving-your-car-after-the-car-wash

Saya masih bukan pemandu yang cemerlang, kadang-kadang ditengking di jalanan, masih terkial-kial ketika parking kereta, tetapi setiap pemanduan adalah satu galasan yang mahu tidak mahu, harus diteruskan. Sama seperti usia, yang suka atau tidak, akan bertambah setiap hari.

Saya masih ingat dengan jelas, angan-angan sewaktu kecil, (sebelum saya ada rasa tak nak pegang stereng kereta); saya mahu bawa umi bersiar-siar dengan kereta apabila saya pandai memandu nanti. Saya nak bawa umi keluar menghirup udara malam, bawa dia ke mana sahaja yang dia mahu. Ada ketika, sedikit rasa sendu menjenguk. Umi tidak sempat melihat saya memandu kereta di jalan raya. Umi pergi seminggu selepas saya lulus ujian tersebut, setelah 2 kali sebelumnya saya terkandas di bahagian bukit dan saya hampir putus asa.

Saat membaca kisah sedih yang menimpa nasib 2 orang puteri kecil yang kehilangan ibu bapa dan adik kecil mereka dalam nahas ngeri antara Myvi dan Pajero di lebuh raya Duke, saya kehilangan kata-kata. Andai benar kecelakaan itu berlaku disebabkan sikap manusia, maka tragedi tersebut adalah satu lampu merah buat semua. Berada di jalan raya, bukanlah satu peluang menunjukkan kehebatan ataupun melepaskan tekanan. Kita bukan sendirian. Ada ramai orang turut menggunakan jalan raya yang sama- hormatilah sesama kita. “Tukar lane, jangan lupa beri signal “. Begitu pesan kakak yang setia memarahi setiap kali saya berbuat silap di jalan raya.

driving quote

Semoga Allah SWT merahmati ruh mereka. Semoga Allah menjaga dua beradik tersebut yang kehilangan orang-orang tercinta sekelip mata.