Pesawat MAS yang disewa khas untuk para pelajar Intec tajaan Kementerian Pertahanan (MINDEF), Jabatan Pengajian Awam (JPA) dan Bank Negara Batch 2009 selamat mendarat di Lapangan Terbang Queen Alia, Jordan selepas singgah di Mesir untuk menghantar sebahagian dari kami yang akan menyambung pengajian di universiti-universiti sekitar Mesir.

Debu-debu sahra’ yang berterbangan menyambut kedatangan kami saat melangkah keluar dari lobi lapangan terbang untuk menaiki bas ke Irbid. Terletak lebih kurang 70km dari utara Amman, merupakan bandar kedua selepas Amman, ibu negara Jordan. Batch MEP’O9 terdiri dari pelajar-pelajar yang bakal menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran dan pergigian di Jordan University of Technology( JUST). Cuma saya seorang yang akan mengambil jurusan fizik gunaan.

Setibanya di Irbid, kami dibawa terus ke Sakan Jami’ah, atau lebih dikenali sebagai Sakan Kuning. Sakan Kuning terletak di Syari’ Jami’ah, merupakan penempatan sementara pelajar-pelajar perempuan tahun satu JUST seramai lebih kurang 40 orang. Ketibaan kami disambut oleh para pelajar senior yang telah pun bersedia untuk membantu dan membimbing kami, adik-adik yang baru hendak belajar. Masih  berbaki tiga hari di bulan Ramadhan sebelum kami menyambut hari raya Aidilfitri. Tiga hari pertama kami di Sakan Kuning, segala makan minum untuk sahur dan berbuka disediakan oleh pelajar-pelajar senior. Kami juga dibawa untuk melawat kawasan sekitar dan membeli belah barang-barang keperluan.

“Syu ismuk?”

“Syu akhbarak?”

“Geddeish haza?”

Saya membiasakan diri dengan patah-patah kalimah Arab ‘Ammi yang dipelajari di Intec. Kadang-kadang tergelak sesama sendiri apabila pakcik-pakcik Arab mula bercakap dengan laju. Terkial-kial cuba memahami apa yang disampaikan.  Saya difahamkan oleh kakak-kakak senior, bahawa di sini, orang Arab sangat menyukai orang Melayu kerana kebanyakan pelajar yang datang sangat baik akhlaknya. Tambahan pula, pada waktu itu bilangan pelajar Melayu tidak ramai dan keadaan masih lagi terkawal.

Hari raya yang tiba disambut dengan sayu. Pertama kali berjauhan dari keluarga, dan menyambut lebaran tanpa insan-insan tersayang yang sudah hampir 18 tahun di sisi, mengundang air mata. Takbir dilaung mendayu-dayu oleh kumpulan pelajar lelaki. Ada sendu kedengaran di balik tirai, di mana pelajar-pelajar perempuan berkumpul. Aidilfitri disambut sederhana dengan menganjurkan rumah terbuka di Sakan Kuning. Masing-masing menunjukkan skil dan kepakaran memasak, ada yang membantu menyiapkan tempat, dan sebagainya. Kami bergotong-royong dan menyibukkan diri bagi melupakan sekejap kerinduan terhadap keluarga di kampung. Kemudian kami beramai-ramai menziarahi rumah-rumah terbuka yang diadakan oleh para senior.

Kenangan di Jordan telah hampir empat tahun berlalu. Namun, saya masih mampu mengingat banyak detik yang saya lalui di sana. Batch MEP’09 ialah kawan-kawan pertama saya, selepas meninggalkan dunia persekolahan. Hari ini, kebanyakan mereka telah pun graduasi. Di mana pun mereka berada, saya doakan semoga Allah berkati perjalanan mereka. 

(Artikel diterbitkan di Varsiti BH, edisi 23 Oktober 2014)

Atas angin
Sakan Kuning
JUST