Penat menyiapkan kira-kira Matematik, saya merebahkan belakang ke atas katil. Dari balik langsir, cahaya bulan menembusi sehingga ke dalam kamar.

Saya menyelak sedikit langsir dan mengintai ke luar jendela. Malam begitu cerah dengan kerlipan bintang dan sinaran bulan. Jarum jam semakin menghampiri angka 12. Masih kedengaran suara anak gadis yang sedang berbual dalam keadaan separuh berbisik entah apa di tingkat bawah.
Selepas waktu ‘lights off’, kami tidak sepatutnya berjaga lagi sebagaimana peraturan di kebanyakan sekolah berasrama, selepas pukul 11.30 malam, lampu perlu dipadamkan. Hanya lampu di meja belajar sahaja yang dibenarkan.

Sekiranya kami ditangkap masih berkeliaran di luar bilik, atau di pantri, esok pagi tunggulah nama naik di papan putih dengan satu demerit.

Saya menapak keluar dan menuju ke beranda. Bilik saya terletak di tingkat atas dan betul-betul di tengah-tengah bilik yang lain. Bilik ini saya kongsi dengan seorang dayborder berbangsa India yang jarang sekali ada di bilik. Dayborder ialah pelajar asrama yang tinggal di luar dan berulang-alik ke kolej. Bilangan pelajar ini tidak ramai dan hanya mereka yang tinggal berdekatan sahaja yang dibenarkan untuk menjadi dayborder

Saya mengukir senyum sebaik melihat langit malam yang bertaburan bintang. Subhanallah! Cantik sekali. Suatu ketika dahulu, saya pernah memasang angan mahu menjadi ahli astronomi kerana terlampau asyik menatap kejora ajaib ini. Ya, kejora yang banyak sekali kisahnya di dalam al-Quran.
Saya melabuhkan duduk dan bersandar di dinding beranda. Angin malam bertiup dingin. Kata Ibn Taimiyyah, “Jangan kamu bergantung kepada sesiapa di dunia, kerana sedangkan bayang-bayangmu sendiri pun meninggalkanmu di dalam kegelapan.”

Nah, di waktu malam yang gelap gelita, mana mungkin wujudnya bayang? Kata-kata Ibn Taimiyyah itu semakin bergema.

Manusia secara fitrahnya saling memerlukan antara satu sama lain, atau setepatnya perlu kepada tempat bergantung. Manusia akan sentiasa mencari pautan atau tempat pergantungan sama ada kepada insan lain ataupun perkara lain bagi memberi ketenangan atau kelegaan dalam hidup.
Ada orang yang menemui locus standi melalui hubungannya bersama ibu bapa, suami atau isteri, anak-anak, kawan baik dan tidak kurang juga orang yang mendapatkannya melalui kareer, cita-cita dan kekayaan material.

Sehingga satu hari, kita tersentak apabila diuji dengan segala pergantungan ini kerana pada hakikatnya, pergantungan yang paling tinggi seharusnya diletakkan kepada Allah SWT.
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal:28)

Saya semakin memahami betapa sulitnya meloloskan diri dari ruang pengharapan yang kadang-kadang membuatkan diri lalai dari pegantungan yang sebenar.

Selain kepada Allah, segala bentuk pergantungan yang lain hanyalah sementara dan tidak boleh dijadikan sandaran paling utama. Pelbagai kekangan dan kekurangan yang ada pada diri manusia akan mengehadkan keupayaan untuk menawarkan kebahagiaan abadi. Natijahnya, apabila gagal mendapat apa yang diharapkan, manusia akan jatuh ke dalam gaung kekecewaan.

Walaupun setelah mencurahkan semua keringat, kita masih tertakluk pada takdir yang Maha Berkuasa. Di sinilah pentingnya kesedaran bertuhan memainkan peranan, bahawa di luar sana, ada kuasa yang lebih hebat dari perancangan rapi manusia.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan memberikannya jalan keluar. Dan (Allah) akan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Dia akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

“None of you can be a true believer until your trust in Allah is stronger than that which you have in the palm of your hand”

“Tiada di kalangan kamu yang boleh mengaku beriman, sehingga kepercayaannya kepada Allah lebih teguh dari apa yang dia ada di dalam tapak tangannya”

(Aisyah r.a)

(Artikel disiarkan di Varsiti BH edisi 28 November 2014)