Kami sekeluarga tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih kurang jam 6 petang. Saya dan ayah menyelesaikan beberapa urusan sebelum berlepas.

Saya akan terbang jauh lagi. Pengalaman kali pertama berlepas ke Jordan saya jadikan iktibar. Tidak mahu lagi tersangkut dalam kekecohan dan kekalutan urusan bagasi dan sebagainya. Saya mahu penerbangan kali ini berjalan dengan baik. Umi dari awal berpesan, “Kak long jangan kelam kabut nanti, rancang baik-baik apa yang perlu buat. Gunakan masa-masa yang tinggal ini dengan baik.” Terpancar rasa berat hati dari raut wajahnya.

Tidak banyak barang yang dibawa. Hanya satu bagasi besar dan satu beg kecil yang dimasukkan ke kargo, dan saya cuma menggalas beg laptop di bahu. Usai urusan penerbangan dan solat di surau, kami berkumpul di restoran makanan segera. Mesej dan panggilan mulai menghujani telefon bimbit saya, mengucapkan selamat tinggal, menyampaikan pesan dan bertanya kedudukan kerana hendak berjumpa sebelum saya bertolak.

Akhirnya ruang makan restoran dibanjiri kenalan-kenalan saya. Dan saya hampir tidak menang tangan melayan semua yang hadir. Setiap mereka menitipkan pesan dan harapan yang tinggi, “Moga Madihah kembali membawa kejayaan. Tiga tahun bukan tempoh yang lama.”

Suara pengumuman melantun di udara. Para penumpang MH002 dipanggil untuk menaiki pesawat. Kenalan-kenalan yang datang mulai bersurai. Saya dan ahli keluarga melangkah ke balai pelepasan.

Umi melepaskan saya dengan sebak. Perlahan-lahan, saya menapakkan kaki ke tangga bergerak, mengorak langkah, tidak lagi menoleh ke belakang. Ada pedih di lelangit tekak yang cuba saya telan. Melalui tingkap kaca, saya melepaskan pandang ke langit malam tanah air buat kali terakhir sebelum memasuki perut pesawat.

Penerbangan mengambil masa hampir 13 jam. Jauh beza suasananya berbanding penerbangan pertama saya ke Jordan, di mana pesawat dipenuhi dengan suara gurau senda rakan-rakan Intec. Kali ini saya seorang diri, hanyut dalam monolog sendiri.

“Tidak pernah aku berurusan dengan sesuatu yang lebih sukar dari jiwaku sendiri, yang kadang-kadang menolongku, dan kadang-kadang menentangku,” kata Imam Al-Ghazali. Saya pejam mata erat-erat. Cuba menelan bait seorang ulamak sufi, yang juga mencari jawapan melalui kembara.

Barangkali, manusia adalah makhluk yang penuh keajaiban. Padanlah, Allah mengutuskan rasul untuk setiap ummat, kerana persoalan manusia banyak yang tidak mampu dicerna oleh akal semata-mata. Bukankah manusia adalah makhluk penyoal? Bertanya itu dan ini, sebagaimana kisah Bani Israel apabila diarahkan untuk menyembelih seekor lembu betina.

Seorang insan lumrahnya perlu menghadapi pertarungan di dalam diri. Ada ketika, kehendak nafsu begitu mencengkam, sehingga menggugah iman. Maka, kepercayaan dan pegangannya akan memandu, samada perlu atau tidak menurutkan keinginan diri itu. Berfirman Allah SWT di dalam surah Al-Furqan,” Tidakkah engkau memperhatikan orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai Tuhan? Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara ke atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar dan memahami, mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.”

Suara pramugari memecahkan lamunan, pesawat bakal mendarat.

Saya mendapatkan kakak senior yang sedang menunggu di balai ketibaan. Kami berbalas senyum. Dia membantu saya mengambil bagasi, dan kami bertolak ke kaunter tiket bas untuk membeli tiket bas ke Nottingham.

Dingin bayu musim sejuk menampar wajah sebaik keluar dari bangunan Lapangan Terbang Heathrow. Pagi yang agak cerah. Saya menggosok-gosokkan tangan untuk memanaskan tubuh. Wap sejuk berkepul keluar dari mulut apabila bercakap. Saya senyum, sudah dua tahun meninggalkan kesejukan musim dingin.