Hujan yang turun rintik-rintik tidak menghalang saya menghabiskan larian. Padang yang basah berbau segar. Kawasan kolej telah pun lengang sebaik sahaja siren dibunyikan. Di sini, setiap kali hujan turun, siren akan dibunyikan dan para pelajar tidak dibenarkan berada di luar bangunan.
Dari jauh kelihatan seorang pengawal keselamatan melambaikan tangan ke arah saya. “Habislah aku,” saya berkata kepada diri sendiri. Dia melaungkan arahan agar saya kembali ke ‘house’ sambil memberi isyarat dengan tangannya. Saya cepat-cepat berjalan menghala ke kawasan ‘house’. Tapi, saya mendapat idea nakal. Saya tidak balik ke Jawahir, sebaliknya saya terus duduk di tangga yang menuju ke padang sebelah bawah, sambil gelak kecil dalam hati. Saya yakin pengawal takkan nampak saya di situ. Degil.

Saya dah lama tak bertemu hujan. Lagipun, sudah hampir waktu makan malam, sekejap lagi saya akan ke kantin pula. Malas pula nak balik ke bilik.

Di dalam hujan, saya membiarkan fikiran bebas berlayar menerobos masa. Mengimbau pengalaman silam dan cuba memahami sebaik mungkin hikmah yang tersimpan. Seorang kawan pernah berkata, “apa yang berlaku pada hari ini, awak tak akan dapat hikmahnya sekarang, tapi hikmahnya akan tersingkap barangkali 20 tahun akan datang”

Saya yang berada di fasa transitif, antara remaja belasan tahun dan pemudi berangka dua, bertemu dengan pelbagai perkara baru yang sering menarik perhatian untuk dicuba. Tidak jarang, perkara-perkara ini bertentangan dengan prinsip sedia ada. Maka saya harus bersikap, sebagaimana kata seorang penulis, “Hanya dengan bersikap, remaja dapat mengenal letak dirinya, sama ada di tengah hedonisme melanda ataupun di tengah gelodak pluralisme menduga. Untuk bersikap, seseorang perlu menggali jati dirinya kembali.”

Remaja harus bijak menguruskan diri, harus tegas dengan identiti. Apatah lagi, menjadi seorang Muslim, adalah kewajipan kita untuk menggunakan ‘aqal dan naqal dalam mengemudi nafsu dan membina benteng dari anasir-anasir luar yang negatif.

Saya suka gambar ni. Sumber: klik sini

 

Di mana pun kita berada, walau dicampak ke tengah lautan, benih yang baik akan menjadi pulau. Usah terbawa-bawa oleh pengaruh keseronokan sementara yang melalaikan, tetapi memberi kebinasaan yang kekal selamanya.

Begitu saya sematkan ke dalam hati.

Saya tak nak tertipu oleh fatamorgana dunia. tak mahu tenggelam dengan keasyikan berpoya-poya, lepak sini sana seolah-olah dunia sudah cukup sempurna.

Dengan evolusi kecenderungan yang berdikit-dikit, saya keluar mengenal kelainan yang ada di sekeliling saya. Jumpa pelbagai ragam manusia, aneka latar belakang manusia, bagai ada magnet yang menarik saya ke laluan yang berbeza. atau sekurang-kurangnya saya boleh kata cara fikir yang berbeza. Tidak lah sampai ke tahap saya gadaikan prinsip mandatori agama, insyaAllah selagi saya masih saya, biar mati jadi taruhannya, saya takkan jual akidah dan syariat agama.

Kenapa kita perlu beragama? Di era sains mula mengambil alih konsep bertuhan, agama jadi konotasi yang dianggap tidak lagi relevan untuk dibawa ke hadapan. Ketika manusia sudah merasakan syurga di dunia, untuk apa lagi membayangkan syurga di akhirat sana? Agama jadi bahan gelak ketawa, dipilih-pilih mana yang suka untuk diguna.

Saya bersyukur dilahirkan sebagai manusia yang beragama, lebih bersyukur kerana dilahirkan sebagai Muslim. Kerana saya percaya, tanpa kesedaran akan kewujudan Allah, barangkali hidup saya telah berantakan.

Agama memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang tidak dapat dicapai oleh akal insani. Dan agama mengisi lompang yang tidak dapat dipenuhi oleh sains empirikal. “Untuk apa hidup ini? Ada apa selepas ini?” adalah soalan yang hanya boleh dijelaskan oleh agama. Manusia yang gagal menjawab soalan-soalan tersebut, kebiasaannya akan berakhir dalam kesengsaraan. Meskipun tampak senang pada luaran, tapi dalam jiwanya berkecamuk oleh keserabutan dan kegersangan. Rasa kosong dan hidup bagai tiada makna, walaupun dikelilingi pangkat dan harta.

Allah telah memberikan perumpaan di dalam Al-Quran mengenai hujan dan kehidupan dunia. “Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah, Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Kahfi: 45)

Hujan renyai-renyai tadi mulai reda, dan saya pun berlalu.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH edisi 20 Nov 2014)