Sedar tidak sedar, sudah hampir sebulan saya berada di Nottingham. Kesibukan harian adakalanya menyebabkan saya tidak menang tangan juga. Di sini, komuniti rakyat Malaysia adalah antara yang terbesar berbanding beberapa bahagian lain di UK. Disebabkan itu, kami boleh menganjurkan Nott’s Game, yang merupakan acara tahunan di mana semua pelajar-pelajar Malaysia dari seluruh UK akan berkumpul.

Di samping itu, bilangan orang Islam juga sangat ramai, terdiri dari pelbagai negara, seperti Bangladesh, India, China, dan negara-negara Arab lain seperti Palestin, Jordan, Arab Saudi, Mesir dan sebagainya. Setiap minggu, ada pelbagai kelas dan seminar yang dianjurkan untuk komuniti Islam sendiri.

Malah, pihak universiti juga menyediakan surau bagi menampung keperluan pelajar-pelajar
Islam. Surau ini terdiri dari dua tingkat, tingkat bawah untuk muslimin dan tingkat atas untuk muslimah. Setiap hari Jumaat, surau akan dipenuhi oleh para jemaah, baik lelaki mahupun perempuan yang berkumpul untuk mendirikan solat Jumaat.

Charity week- aktiviti tahunan.

Universiti Nottingham merupakan sebuah universiti yang dipenuhi dengan kehijauan, antara kampus yang indah dan penuh warna di bumi bekas kolonial tanah air sendiri. Ironi, bukan? Satu ketika dahulu, betapa nenek moyang kita membenci orang putih, dan hari ini, generasi muda kita duduk semeja, tidur sebilik dengan mereka.

Kata orang lama, buang yang keruh, ambil yang jernih. Barangkali pepatah itu sesuai untuk menjelaskan keadaan semasa.

Saya percaya, setiap orang dilahirkan dengan keunikan dan keistimewaan masing-masing. Seharusnya, dalam mempertahankan identiti, tidak perlu sampai memandang rendah terhadap yang lain. Kadangkala, ada perkara baik yang ditunjukkan oleh budaya lain, maka apa salahnya kita ambil contoh yang baik dalam membangunkan kehidupan sendiri?

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Analogi yang mudah- walaupun terpaksa mengembek apabila masuk ke kandang kambing, atau menguak apabila singgah ke kandang lembu, jangan sampai lupa kokok sendiri bila kembali ke kandang ayam. Dalam kita mengasimilasi budaya lain, jangan sampai kita kehilangan jati diri dan buta budaya sendiri.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.” (Surah Al-Hujurat: 13)

Dalam bas, ziarah di Cardiff

Umat manusia paling tidak pun boleh bersatu atas dasar kemanusiaan, sekalipun kita dibezakan oleh ras, bangsa, bahasa dan agama. Sayangnya, sejarah telah membuktikan jatuh bangun bangsa manusia dalam menegakkan ketamadunan masing-masing. Ada golongan yang mampu bergembira di atas penderitaan dan tangisan yang lain. Ada makhluk yang boleh tidur lena dengan perut yang kenyang, di atas kelaparan dan kesakitan jiwa yang lain.

Untunglah, kehidupan di dunia ini sementara cuma. Setiap seorang dari kita suatu hari nanti akan dihadapkan ke mahkamah Allah yang penuh keadilan, dan kita akan diberi bahagian masing-masing. Andai derita yang dirasakan di dunia, ketahuilah derita di akhirat, beribu ganda azabnya. Andai bahagia dinikmati di dunia, ketahuilah bahagia di akhirat tidak terungkap oleh kosa kata manusia.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH edisi 18 Disember 2014)