Cuti musim sejuk telah bermula. Ramai pelajar Malaysia yang memilih untuk jalan-jalan ke negara berdekatan seperti Ireland, Republik Czech, Paris dan tidak kurang juga yang melawat ke negara-negara Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan. Saya pula tidak membuat apa-apa perancangan untuk bersiar-siar, sebaliknya telah mengatur masa cuti dengan beberapa program lain.

“Ilmu boleh menjaga kamu, sedangkan harta itu kamu yang menjaganya,” kata Saidina Ali r.a. Saya bertanya sendiri, ilmu bagaimana yang akan menjaga kita?

Ketika Allah SWT menciptakan Adam as, Allah SWT mengajar baginda untuk mengenal nama-nama. Dengan mengenali nama-nama, manusia akan tahu dan seterusnya faham akan letak duduk sesuatu perkara. Ya, ada ilmu yang merosakkan, dan ada juga yang memajukan. Tetapi dengan ilmu, manusia akan tahu ke mana untuk dituju. Ilmu yang benar akan memandu manusia untuk memilih kebaikan, dan menjauhi keburukan.

Selepas tahu, jika manusia masih sombong dan masih angkuh tidak mahu mengikut kebenaran yang dia tahu, maka terpulanglah. Buatlah kemungkaran semahunya. Walaupun mungkin terlepas bebas di atas dunia, Allah SWT yang Maha Tahu pasti akan menghitungnya di Hari Hisab. Tidak ada satu pun yang akan terlepas.

Yang penting, kuncinya adalah tahu. Tahu terlebih dahulu.

Jika manusia tahu tanda-tanda akhir zaman, manusia akan dapat mengenali setiap peristiwa di sekitarnya. Dia tidak akan terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki datang mengaku sebagai Imam Mahdi, dia akan dapat kenal, itu palsu atau sebaliknya.

Jika seorang perempuan tahu, bahawa nilai dirinya lebih berharga dari segunung emas permata, dia tidak akan sanggup membiarkan walau seinci tubuhnya disentuh oleh tangan lelaki entah siapa-siapa. Jika seorang anak Adam tahu nama-nama dan istilah yang benar, dia akan tahu bagaimana untuk menjadi khalifah yang baik di dunia.

Sudah hampir empat tahun saya menggunakan masa untuk belajar bidang Sains. Sejauh manakah telah saya aplikasikan pengetahuan ini untuk menjawab persoalan-persoalan yang saya sendiri kemukakan? Saya menilai diri. Membelek semula lipatan memori, dan menjejaki kronologi yang membawa saya sampai ke sini.

Alhamdulillah sepanjang hampir separuh semester yang saya lalui, tak pernah lagi saya tidak menghantar kerja rumah yang diwajibkan setiap minggu. Markah yang diperoleh bagi setiap kerja rumah juga memberangsangkan, alhamdulillah.

Walaupun begitu, ada satu rasa kosong yang tidak dapat dijelaskan. Sebelum tamat cuti semester, saya mengambil keputusan saat akhir untuk menziarahi Jordan. Siapa tahu saya akan mendapat ilham di sana?

Urusan penerbangan dan penginapan dilakukan serta merta. Saya menghubungi rakan-rakan yang masih lagi berada di Jordan untuk mengatur jadual.

Kebetulan para pelajar di Jordan masih lagi berada dalam fasa akademik dan belum mula bercuti, jadi saya memang tidak bersiar ke mana-mana. Sebaliknya saya menggunakan kesempatan ini untuk menghadiri kuliah-kuliah di Universiti Yarmuk, Irbid dan Universiti Jordan, Amman.

Tak banyak yang berubah di sekitar Irbid. Sakan kuning, syari’ jami’ah, duwar jami’ah, masih seperti dulu. Cuma ada beberapa tempat yang saya lupa nama, walaupun masih segar dalam ingatan akan rupa bentuknya.

Sepanjang permusafiran seorang diri ini, saya banyak mendidik diri untuk berani. Berani berlaku jujur kepada hati. Seminggu di sini, akhirnya saya kembali semula ke Nottingham dengan azam baru; saya akan berterus terang kepada semua orang.

Matahari malu-malu menjengah ke ufuk langit. Salji mulai mencair. Pohon sakura di University Park menghadiahkan bunga-bunga indigo muda. Saya melabuhkan duduk di atas bangku menghadap tasik. Baru sahaja menerima emel dari Bank Negara. Saya akan pulang segera ke Malaysia. “Berani buat, berani tanggung,” begitu saya bulatkan tekad.

roadnottaken
credit image: here