“Madihah, awak diminta pulang ke base camp, sekarang juga!” Suara garau Mr.B, yang merupakan instructor kumpulan kami memanggil saya keluar dari barisan yang telah bersedia untuk memulakan pendakian hari kedua.

Saya tercengang sambil memandang rakan-rakan yang lain, “Kenapa?” salah seorang dari mereka bertanya. “Entah,” saya mengangkat bahu tidak tahu. “Kenapa, Mr. B?” saya bertanya sebaik sahaja berhadapan dengan Mr. B. “Saya pun tak tahu. Alish, bawa dia ke kembali ke bot,” Mr. B mengarahkan Alish yang sedang menanti arahan lanjut. Saya cuma mengikut.

“Kenapa saya dipanggil pulang, Alish?” saya cuba bertanya lagi. Ternyata Alish juga tidak tahu apa-apa. Hati saya berdebar-debar, tetapi separuh gembira juga, kerana tidak perlu menghabiskan pendakian tiga puncak pada hari ini. Badan saya sudah terasa begitu penat.

Setibanya di kawasan pantai, ada bot yang sedang menunggu. Salah seorang instructor menghulurkan saya telefon bimbit. Ketua instructor yang berada di base camp mahu bercakap dengan saya.

“Hello, Nik Nur Madihah ke?”

“Ya, saya”

“Pak Cik kau, sudah meninggal. Bapa kau telefon, panggil balik,” straight to the point, beliau memberitahu.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”

Saya terduduk. Teringat perbualan sebelum saya mengikuti kursus Outward Boundary School (OBS), “Nanti kak long nak pergi OBS di Lumut. Ayah Ji tahu? Bila balik nanti, kak long cerita semua yang kak long buat di kursus tu ya?” Saya tersenyum sambil bercerita di sebelah katilnya semasa pulang ke kampung melawat beliau yang dimasukkan ke hospital. Saya bahkan telah bersedia dengan catatan dari mula program untuk ditunjukkan kepadanya sebaik sahaja pulang nanti.

Beliau seorang penggemar aktiviti lasak, selalu bawa orang daki bukit ketika waktu sihatnya, seorang pencinta alam sekitar. Saya pula seorang pengkagum setia yang sentiasa akan terpegun tatkala melihat banjaran bukit yang tersergam indah. Sewaktu kecil, saya melihat bukit batu dengan pandangan yang penuh ketakjuban lalu saya bertanya soalan mentah, “Ayah Ji, bukit batu itu, boleh ke kita daki?” sambil menunjuk ke arah bukit batu kapur yang berdiri teguh di hadapan kami. Beliau menjawab, “Boleh, nanti Ayah Ji bawa kak long daki bukit tu eh.”

Di Kolej Tuanku Jaafar (KTJ), saya mula mendapat pendedahan terhadap kegiatan-kegiatan lasak yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Tatkala saya menceritakan kisah-kisah saya mendaki Gunung Datuk, fox-flying dan sebagainya, beliau berseloroh, “Kak long ni, Ayah Ji dah sakit macam ni baru nak buat semua benda tu.” Saya faham apa yang dimaksudkan lalu berkata,”Cepatlah sembuh kalau macam tu.”

Perjalanan ke base camp terasa sangat panjang. Setibanya di daratan, saya bercakap dengan ayah melalui telefon bimbit seorang guru pengiring. “Dia pergi dengan baik, inshaALLAH. Kak Long nak balik ke? Kalau balik pun, tak sempat juga,” Ayah bertanya. Saya memejam mata. Bagai ada satu suara yang berbisik, “You better finish this, for him” Saya kuatkan hati dan memberitahu ayah bahawa saya mahu meneruskan ekspedisi ini.

Saya lap air mata yang membasahi pipi dan memaklumkan kepada guru pengiring bahawa saya mahu menamatkan OBS dan meminta supaya dibawa pulang ke Pulau Pangkor. “That’s a very brave decision,” kata mereka sambil menghantar saya ke mother boat.

untangle circumstance

Selang tiga bulan selepas itu, saya sekali lagi diuji dengan kehilangan seseorang yang sangat rapat dengan saya. Antara sahabat terbaik yang pernah saya ada, setia di setiap jatuh bangun saya. Seorang teman yang tidak pernah jemu memberi dorongan kepada saya dan sentiasa mengambil berat keadaan saya.

Tidak pernah gagal membalas setiap pesanan saya, sehingga beliau tiba-tiba jatuh sakit. Saya menyimpan harapan sehingga ke saat akhir, agar beliau kembali sihat dan menghantarkan khabar gembira. Pemergian beliau tidak ada siapa yang menduga. Satu tamparan hebat buat saya yang baru hendak bangkit, meninggalkan kesan yang hanya segelintir tahu. Umi memujuk, “Allah lebih sayangkan dia. Jangan menangis lagi.”

Saya mengambil masa yang lama untuk pulih. Sebagai seorang remaja yang masih bergelut dengan emosi dan perasaan, saya sangat terasa dengan kehilangan-kehilangan ini. Saya berusaha sedaya upaya untuk menyembunyikan kesedihan dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Dalam tempoh ini, saya banyak belajar; belajar untuk menguruskan perasaan kehilangan, sehingga saya akhirnya dapat menempuhi kehidupan waktu itu dengan baik, alhamdulillah. Kata Umi, “Kalau kak long begini sekarang, bagaimana nak hadapi kalau umi tak ada nanti?”

“Barangkali Allah SWT mahu mempersiapkan awak untuk kehilangan yang lebih besar,” kata seorang kawan.

Dan benarlah telahan mereka. Episod kehilangan orang-orang yang sangat bermakna dari sisi, rupa-rupanya ialah persediaan yang diaturkan oleh Allah SWT untuk diri saya sendiri.

test

(Artikel disiarkan di Varsiti BH, 19 Feb 2015)