Manusia adalah makhluk sosial. Secara fitrahnya, manusia saling memerlukan sesama sendiri. Bahkan awal kewujudan seorang manusia selepas penciptaan Adam dan Hawa juga tidak mungkin terjadi tanpa manusia lain. Hubungan satu sama lain yang sejahtera dan harmoni bakal menghadiahkan kebahagiaan dan keberkatan, lantas mewarnai pelangi kehidupan.

Selain hubungan yang terjalin disebabkan pertalian darah ataupun perkahwinan, satu lagi hubungan yang sangat signifikan dalam kehidupan manusia adalah persahabatan. Persahabatan boleh terbina antara insan yang langsung tidak mempunyai hubungan kekeluargaan, tetapi terbit dari rasa kasih sayang dan ambil berat terhadap satu sama lain.

Di dalam Islam, hubungan persahabatan mendapat tempat yang tinggi, malah dibicarakan dengan teliti. Sebagai contoh, Rasulullah SAW menyebut ketika ditanya, “Siapakah teman yang paling baik?” Baginda bersabda, “Orang yang membantu kamu mengingat Allah dan  mengingatkanmu apabila kamu melupakan Allah SWT”

Saya melalui pelbagai fasa kehidupan, berpindah dari satu dugaan ke dugaan yang lain. Secara tidak langsung, keadaan-keadaan ini telah mendedahkan kepada saya siapa yang benar-benar tulus dalam persahabatan dan sebaliknya.

Usai menyelesaikan urusan-urusan selepas ketiadaan umi, saya mengisi cuti semester dengan pelbagai aktiviti. Salah satu aktiviti yang saya lakukan, memerlukan penglibatan saya dengan beberapa orang yang lain. Di sini, saya terdedah kepada sisi kehidupan yang tangkas dan pantas, lalu mengakibatkan persaingan yang sengit sehingga ada yang sanggup mengorbankan nilai sebuah persahabatan demi keuntungan diri sendiri.

Mother-Teresa-Friendship-Quotes

Imam Ali ra berpesan, seorang kawan tidak boleh dianggap sebagai kawan sehingga dia diuji dalam tiga perkara; ketika waktu memerlukan, di belakang kita, dan selepas kematian kita. Saidina Umar pula mengajar kita bahawa sebuah persahabatan tidak boleh dikira sebagai persahabatan sejati, kecuali setelah bermusafir atau berniaga bersama-sama.

Betapa benar kata-kata dua orang khalifah Ar-Rasyidin, sahabat Rasulullah SAW ini.

Persahabatan tidak akan terbentuk kecuali apabila pihak yang terlibat memberikannya secara sukarela. Syarat utama dalam memastikan kelangsungan sebuah persahabatan ialah amanah. Amanah dalam bersahabat terlebih dahulu tidak akan wujud jika persahabatan yang dibina hanyalah disebabkan sesuatu kepentingan material atau fizikal yang dimahukan dari pihak yang lain.

Pasca peristiwa pahit yang berlaku telah mengetuk kesedaran saya bahawa tidak semua orang ikhlas dalam bersahabat. Kurniawan Gunadi dalam karyanya yang bertajuk Mempertanyakan Kehidupan Kita Sendiri menulis, “Bila ada pertanyaan tentang hidup kita, jawablah dengan senyuman. Meski ada yang benar peduli, lebih banyak orang yang sekedar hanya ingin tahu saja. Tidak untuk membantu. Setiap manusia memiliki langkahnya masing-masing. Memiliki jalannya masing-masing. Kita tidak perlu sibuk memikirkan bagaimana langkah orang lain, tapi kita tidak boleh terus melangkah tanpa membantu mereka yang tertatih. Karena sudah banyak orang yang berlalu di depan kita, meninggalkan kita. Kita pernah terjatuh, tidak ada yang menolong. Kita jangan seperti itu.”

Rasulullah S.A.W bersabda , daripada Ibn Umar bahawa: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Semoga Allah SWT membantu setiap dari kita untuk menjadi sahabat yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik sahabat.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH, 5 Mac 2015)