Bumi Irbid telah mengenalkan saya kepada erti putus asa. Aneh bukan? Bagaimana belajar erti putus asa? Apa maksudnya? Malah, untuk apa belajar tentang putus asa? Bukankah penceramah-penceramah motivasi selalu mengatakan bahawa ‘kita tak boleh kenal erti putus asa?’

Senyum.

Percaya atau tidak, sebelum saya ke Jordan, dan selama 11 tahun di alam persekolahan, saya tak dapat ingat satu waktu pun yang saya rasa lemah semangat atau ingin berputus asa. Walau kami serba kekurangan, semangat saya sentiasa membara. Setiap hari melihat jerih payah ayah, menatap wajah lembut umi, membakar semangat saya untuk terus melangkah bagi mencapai impian. Pernah seorang kawan bertanya sewaktu saya di tingkatan lima, “Madihah, awak tak pernah rasa malas ke belajar?” Spontan saya bertanya semula, kehairanan, “Ada ke orang yang rasa malas belajar?” Dia terpinga-pinga. Saya juga. Tapi, jujur, saya akui, sepanjang tempoh itu, saya rasa sangat seronok belajar dan menekuni buku-buku, sehingga makan pun mahu berteman buku. Tak pernah rasanya dihantui putus asa, atau kalau ada sekalipun, tak lama dan tidak sampai memakan diri.

Di Jordan, saya belajar; apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh putus asa, dan bagaimana perasaannya.

Putus asa, apabila seluruh dunia bagai menghimpit. Putus asa, apabila setiap hari ulang alik ke kelas, rasa seperti orang bodoh dan tak belajar apa-apa. Lemah semangat, apabila melihat kawan-kawan lain yang senasib, sekurang-kurangnya ada tempat mengadu dan meminta tolong. Sedangkan saya tak ada senior Melayu untuk diminta nasihat atau pedoman berkaitan pengajian. Saya yang masih lagi anak mentah, hampir tenggelam dihanyutkan perasaan putus asa. Terngiang-ngiang di telinga sendiri ayat suci al-Qur’an yang sering saya ulang: “dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah”. Namun, entah kenapa, kali ini saya gagal memujuk diri.

Orang kata, manusia akan sentiasa menjadi musuh kepada apa yang tidak diketahui. Pertama kali saya dikunjungi perasaan putus asa, saya tidak dapat mengecamnya, dan tidak tahu bagaimana untuk menguruskannya.

Lama juga saya mencari kekuatan. Saya luangkan banyak masa bersama kakak-kakak senior dengan harapan beroleh semangat dan motivasi diri. Pada semester pertama saya, keputusan peperiksaan agak tidak memberangsangkan. Cuti selama dua minggu, saya pulang ke Malaysia untuk mendapatkan kekuatan.

Alhamdulillah, saya mulakan semester kedua dengan positif. Saya belajar dari kesilapan-kesilapan semester sebelumnya dan mula mengatur strategi untuk melalui semester kedua. Alhamdulillah, setelah berakhir semester kedua, saya berjaya memperoleh keputusan yang memuaskan.

Saya bersyukur kerana akhirnya saya mengenali apa yang dimaksudkan dengan putus asa dan belajar untuk menguruskannya, sekalipun tarbiyah yang saya terima kali ini agak pahit untuk ditelan. Seorang anak kecil yang baru belajar berjalan, sudah lumrahnya kalau dia terjatuh. Tetapi anak kecil yang jatuh tadi, akan cepat-cepat menyapu luka dan meneruskan langkah kakinya. Bayangkan, kalau dia terus berhenti dan serik untuk berjalan, sudah tentu dia tidak akan dapat merasai nikmat berlari dan bermain kejar-kejar bersama rakan-rakan.

Kegagalan yang sebenar bukan apabila kita terjatuh, tetapi apabila kita enggan bangkit setelah terjatuh. Perasaan ingin berputus asa juga biasa, dan akan sentiasa membayangi setiap insan, lebih-lebih lagi apabila insan tersebut mempunyai impian. Cuma, apa yang membezakan ialah cara kita menerima dan menguruskan perasaan tersebut.

Saya menemui ubat kepada rasa putus asa, iaitu percaya. ย Percaya yang tidak dibuat-buat, percaya dengan sebenar-benarnya bahawa di sana ada kuasa yang lebih besar yang mampu mengeluarkan kita dari kegelapan putus asa. Maka, sentiasalah kembali kepada-Nya yang merupakan sumber kekuatan. ‘Worry ends when faith begins’, bak kata Sami Yusuf.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH 30/10/14)