Julai selalu akan jadi bulan yang ditunggu-tunggu, kerana Julai adalah bulan yang paling sesuai untuk mengambil peluang menunjukkan penghargaan, kepada sebuah pengorbanan hati dan perasaan seorang perempuan. Kebiasaannya dua tiga bulan sebelum, perhitungan telah dibuat, perbelanjaan harian telah diatur (kadang dicatu), agar apabila tiba masanya, perancangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Tapi  selepas kegagalan demi kegagalan, akhirnya hasrat membuat kejutan dipadamkan, kerana lebih baik dan mudah berterus terang.

Tahun ini tahun ke lima tanpa semua hal-hal itu, yang pernah mewarnai zaman awal kedewasaan. Kerana sosok yang sudah dipulangkan semula kepada Pemilik tidak lagi kelihatan.

Tetapi sebagaimana kekuatan yang diwariskan tidak akan ditelan waktu, begitulah kali ini tinta akan ditumpahkan untuk mengabadikan sebuah penghargaan yang tidak mungkin lagi disambut seperti dulu.

Pilihan kesibukan 

Usia adalah anugerah Tuhan yang tidak wajar disia-siakan. Sekurang-kurangnya, itulah yang paling mengesankan. Nafas yang kita hirup saban detik adalah milik Tuhan, yang berhak diambil pada bila-bila masa.

Lalu, bagaimanakah kita menghargai kurniaan Tuhan?

Dengan memberi makna kepada setiap hirupan nafas yang dipinjamkan.

Kita, adalah apa yang kita sibukkan. Setiap pilihan; pekerjaan, pelajaran, perkahwinan, pemakaian, pemakanan, pengumpulan harta mahupun hutang, adalah sebuah pertanggungjawaban yang akan ditanya Tuhan.

Setiap hari kita melalui rutin masing-masing. Kadang-kadang, disebabkan kesibukan berlumba-lumba di kota metropolitan, kita jadi terlupa, apa sebenarnya yang kita kejarkan?

Kita terlalai dari bertanya, “adakah apa yang aku sibukkan setiap hari ini akan dapat dipertahankan apabila dihisab kelak?”

Jika setiap hari kita terpaksa melakukan sesuatu yang pada prinsipnya bercanggahan dengan apa yang kita percaya, apa yang membuat kita terus tunduk kepada manusia?

Sedangkan banyak tempat di dalam Al-Quran yang telah menggambarkan bagaimana kita akan saling berlepas diri apabila tiba Hari Pembalasan.

Dan orang-orang yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya”. Dan  kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): “Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman”.

Orang-orang yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? Bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa”.

Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: “Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.

(34: 31-33)

Banyak orang pada hari ini gemar menggunakan keluarga sebagai alasan. Anak, isteri, suami, dan ibu bapa. Tetapi tidak banyak yang sebenarnya berlaku jujur pada diri. Benarkah cinta itu ukurannya pada kepuasan duniawi?

Apakah nilai sebuah pengorbanan yang menafikan hak dan keperluan yang lebih utama terhadap mereka yang kita cinta?

Cinta yang bertepatan

Sebuah pusara, sekalipun tidak bernisan, adalah tanda ingatan bahawa yang akan kekal ialah 3 hal sahaja ; amalan baik di dunia, sedekah yang berterusan, dan doa anak-anak yang soleh.

Usia kita sekejap sahaja, purata umur umat Rasulullah SAW rata-ratanya enam ke tujuh dekad cuma. Dekad-dekad inilah, yang telah kita dedikasikan untuk menjadi rutin perbuatan yang akan kita bawa pulang ke kampung halaman.

Tanpa menafikan zarah-zarah kecil yang mampu mengubah banyak nasib tanpa diduga, tetapi wajarkah kita terus selesa tanpa berbuat apa-apa?

Kerana itulah pekerjaan dan pembelajaran di sisi Islam adalah ibadat.

Apabila namanya ibadat, sudah tentulah ada ruang dan garisan yang perlu dipatuhi. Seperti, tidak menzalimi hak orang lain, tidak menipu, tidak melakukan perbuatan yang diharamkan, tidak membawa kepada maksiat, tidak bermegah-megah, dan tidak mensia-siakan. Senarai semak yang panjang, perlu kita teliti sebelum menyerahkan diri, tenaga, dan masa kepada sesuatu yang akan jadi sebahagian besar dari pelaburan masa hadapan; Kehidupan Selepas Kematian.

Benarkah?

Bukankah kita selalu mengatakan bahawa kita memilih atas nama cinta, berkorban saban hari demi kehidupan yang sejahtera?

Jika orang-orang yang kita cinta, telah terpaksa melingkungi hari-hari mereka tanpa kita; tanpa kehadiran, keselamatan, kepedulian, keberadaan yang sepatutnya kita berikan, apa yang membuat kita fikir mereka akan terus mengenang selepas kita tiada? Kemewahan yang kita tinggalkan?

Sebuah cinta itu terbitnya dari jiwa, yang tak akan dapat disuburkan dengan harta.

Juga tidak akan mekar dengan siraman-siraman plastik di media sosial.

Jika kita telah gagal membasahkan gersang di hati mereka yang tersayang, disebabkan tuntutan materialistik yang lebih menghimpit, barangkali kita harus bersiap untuk benar-benar bersendirian.

Belum terlewat

Seperti dedikasi yang telah terpahat di muka depan Noktah Terjahit, refleksi ini juga adalah dedikasi buat beliau yang telah menumpahkan titisan kelembutan ke atas kedegilan anak  yang tak pernah mahu serik selagi dahi tidak melanggar dinding batu. Ya, katanya, nampak sahaja kayu tapi hati tisu.

Sepertimana kecintaan yang beliau tinggalkan terhadap ombak dan laut; yang setia menghempas pantai dan meninggalkan kebasahan ke atas tanah. Sesementara lukisan yang diukir di atas tanah kemudian dibasuh oleh air laut yang bergelombang, sekejap itulah realiti kehidupan dunia. 

Tuhan tidak pernah kejam, hanya kita yang enggan meluaskan pemandangan.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.

(28:77)

Selagi hayat dikandung badan, kita masih ada peluang.

Namun, tidak bermaksud kita harus melengahtangguhkan.

Bergegaslah membuat perubahan, agar tidak menyesal kemudian.