Kata Rumi, “jiwa telah dianugerahkan telinganya yang tersendiri, untuk mendengar apa yang tidak dapat dicerna oleh minda”. Buat ibu, dan bapa yang sedang kecewa kerana gagal ke syurga, kerana sungguh aku sudah kehilangan segenap suara dan tenaga untuk berbicara.

Ibu, dan bapa..

Hari ini terik sekali. Mentari memancarkan cahayanya betul-betul tepat di atas ubun-ubunku. Dahiku terasa terbakar. Kulitku melecit. Hangat sekali ibu. Dahi ini yang pernah sekali kau kucup sewaktu aku mula melihat dunia. Hanya sekali itu.

Kulihat kau sayup-sayup di hujung sebuah teduhan, bersama bapa. Apa yang kalian lakukan tanpa aku di sana?

Mengapa hanya aku dibiarkan sendirian di sini merenangi lautan manusia yang penuh sesak dan busuk baunya?

Aku dahaga, sungguh-sungguh dahaga. Tidak adakah sedikit air padamu buat menghilangkan perit tekakku yang sudah gersang ini?

Dunia apakah ini ibu, yang tak pernah kau ceritakan kepadaku? Hari apakah ini bapa, yang tak pernah kau berikan amaran padaku?

Kulihat ada segerombolan makhluk yang berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di atas, ada pula yang menaiki sejenis kenderaan begitu laju, ada juga yang merangkak, juga ada yang diseret wajahnya.

Keadaan apakah ini ibu? yang tak pernah kau beritakan kepadaku?

Ibu, teganya kau meninggalkan aku keseorangan di tengah lautan yang sehangat api bergelegak ini?

Tidak ada lagi air mata yang dapat kukeluarkan dari kedua kelopak ini.

Kemudian, tanpa semena-mena, aku ditarik laju oleh satu kuasa menuju ke arah kalian berdua.

Barulah dapat kulihat dengan jelas, perhimpunan apakah ini yang sedang berlangsung.

Amalanmu ditimbang satu persatu, dan penimbang kebaikanmu begitu berat sekali. Manakan tidak? ibu dan bapaku terkenal sebagai dermawan, hartawan yang tak pernah lokek memberi ihsan tanpa perlu diminta. Ibadahmu juga tidak kurang kencang, bapa sentiasa menjadi imam di masjid, sementara ibu mengajar Al-Qur’an, solat wajibmu sentias bersulam nafilah, isnin khamismu selalu berhias puasa sunat, malammu sentiasa dihidupkan dengan tasbih memuji Tuhan.

Tuhan?

Tuhan itu, ada ya, ibu?

Kukira kau hanya bercanda saat mengatakan Tuhan mendengar setiap doa yang kita pohonkan.

Jika begitu, kenapa Tuhan tidak pernah mengabulkan doaku agar ibu dan bapa mencurahkan perhatian dan kasih sayang??

Sejak kecil aku dibiuskan dengan telefon pintar setiap kali aku merengek manja meminta ihsan. Kau bilang penat dan kelelahan, lihatlah skrin kecil ini yang ada banyak kartun dan permainan. Kau berikan aku sejenis alat bersegi empat yang bisa disentuh-sentuh dan mengeluarkan bunyi-bunyian. Aku terpesona dan kehairanan, lalu tenggelam dalam keasyikan.

Dari skrin itu aku belajar tentang keseronokan; seronok apabila tembakan aku mengenai sasaran, apabila musuh aku kalahkan, apabila harta karun berjaya aku kumpulkan. Aku belajar tentang nyawa dan keabadian, bahawa untuk menang kita memang harus kejam. Aku belajar melupakan geram dan tekanan dengan lagu memuja setan. Setan? Syaitan? Aku juga tidak mengerti tentang syaitan. Yang kutahu makhluk yang kau gelar syaitan itu adalah pejuang, wira keabadian.

Dan aku temukan penghargaan dan perhatian dalam semua hal ini, sesuatu yang tak pernah kau tawarkan.

Kau kira aku akan mendapat segala pengetahuan yang diperlukan di tempat pengajian. Lalu kau hantarkan aku ke sekolah terbaik di pusat bandaraya. Ada pelajaran agama, sains, sastera, ekonomi, seni dan semuanya. Tetapi kau lupa, jiwa yang telah kau hancurkan semenjak pertama kali kau berikan aku dadah teknologi, telah gagal menyerap segala maklumat yang dihidangkan di sekolah.

Sekolah menyebut-nyebut tentang Tuhan, syaitan, syurga dan neraka, dosa dan pahala, tetapi apalah gunanya semua perkataan mereka yang sia-sia??

Aku hidup sekarang dan aku mahukan bahagia, sekarang!

Jiwa remaja aku memberontak dan aku merapati rakan sebaya yang juga senasib denganku. Yang tidak mengerti mengapa ibu dan bapa mengejar kemewahan untuk dihiaskan dari kepala ke kaki, sedangkan yang sedang ketandusan adalah belaian dan perhatian.

Kau selalu mengulang perkataan, ibu dan bapa bekerja keras siang ke malam, untuk kesenanganmu, nak. Aku selalu senyum kelat, dan kau selalu akan kehairanan. Aku sudah putus asa membuatmu faham, bahawa yang sedang kau sembah itu adalah keegoan, dan bukan kebaikan untuk diriku sebagaimana yang kau selalu ucapkan.

Aku memutuskan bahawa semua yang keluar dari mulutmu berdua, hanyalah dusta dan tipu daya, sama seperti saat kau menjauhkan aku dari mengganggu waktu rehatmu dengan sekeping skrin berpetak yang bercahaya.

Ibu, dan bapa..

Aku tidak pernah minta dilahirkan ke dunia. Tidak pernah. Kalau kutahu yang aku cuma membebankan, dan memang ditanya oleh sesiapa, mahukah lahir ke dunia atau sebaliknya? Akan aku katakan tidak, percayalah.

Kalau kehadiran aku cuma membuat kalian berdua terpaksa berusaha keras mencari belanja lebih sehingga tidak punya masa untuk memenuhi keperluan aku yang lebih hakiki, aku sanggup mati sebaik sahaja terbit dari rahimmu ibu. Aku akan lupakan cahaya bahagia yang memenuhi bilik kelahiran sebaik aku melihat dunia, aku akan lupakan penatnya kita berdua bertarung dengan kematian sewaktu aku harus keluar dari perutmu.

Tetapi kalian telah membuat keputusan untuk menghadirkan aku ke dunia. Sekurang-kurangnya akal cetekku mengatakan kalian yang memilih, apa yang aku tahu tentang takdir Tuhan?

Lalu kenapa, kau tidak mengajarkan aku tentang apa yang sepatutnya aku tahu?

Kulihat di satu sudut, ada manusia bercahaya yang sungguh indah wajahnya. Benar-benar berseri, dan membuatku jatuh hati. Aku ingin dekat dengannya tetapi itu tidak mungkin. Begitu ramai manusia yang berkerumun mengelilinginya. Siapakah itu.. ibu, bapa?

Kudengar perkataan yang tidak dapat aku cam, apa..sall..sall…sallallahu..sallam? apakah itu, ibu? suara apakah itu, bapa?

Tetapi yang ajaibnya semua orang yang menyebut perkataan itu, kesakitannya bagai dihilangkan, ia terselamatkan. Aku ingin menyebutnya juga, tetapi tak mampu. Lidahku kelu. Aku tak tahu. Kenapa kau tidak pernah mengajarkannya kepadaku?

Dan aku malu melihat keadaanku. Di dunia dahulu kau berikan aku pakaian indah-indah dan wangi-wangi, tetapi sekarang aku lebih teruk dari pengemis jalanan.

Aku telah membesar tanpa kehadiran jiwa kalian, walaupun fizikalnya berhadapan. Aku terpukau oleh berhala kemajuan, dan mabuk dibuai arak kemodenan. Sesuatu yang kau hadiahkan sewaktu ulang tahunku yang ke sepuluh. Kau fikir aku tak mampu hidup jika tidak mengikut perubahan zaman, padahal kalian yang ego kerana tidak mahu dikatakan kolot dan ketinggalan. Sedangkan aku tidak apa-apa, jika sahaja kalian sudi meluangkan masa melihat aku meningkat remaja dan kemudian, dewasa.

Ibu, dan bapa..

Maafkan aku kerana menyeretmu bersama. Ketika suara itu bergema dan mempertanyakan hal-hal tentang mu kepadaku, aku harus berterus terang dan menceritakan semuanya. Segala kekesalan dan kekecewaan yang tidak dapat aku hilangkan semenjak aku mengenal dunia. Satu demi satu kulihat objek di atas timbangan amalanmu pecah dan meletus, sebaik sahaja aku mengadukan setiap sendu terhadap perilaku kalian berdua. Hal apa kah ini ibu, bapa? Entahlah, tetapi buat pertama kalinya, aku lega kerana kesedihanku didengari seseorang walaupun tidak dapat kulihat dengan mata.

Tetapi riak di wajahmu memancarkan kepahitan dan kesebalan. Justeru, bagaimana? Aku juga tidak berdaya mengubah apa-apa. Kulihat bayangan sebuah dunia yang sungguh indah, redup dengan sungai yang mengalir jernih, mulai kabur dari pandangan. Ditelan kabus atau lebih tepat, wap panas dari api yang sedang marak menyala-nyala. Entah dari mana.

Sekarang, harus ke manakah kita, ibu, bapa…?

Hadis Sahih Al-Bukhari : Rasulullah SAW bersabda : Setiap anak dilahirkan di atas fitrah, lalu ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.

Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa lah yang mencorakkan warnanya; hitam, putih, kelabu, biru, hijau, jingga dan sebagainya. Dan setiap titisan warna akan ditanya di akhirat kelak, lebih dari tanggungjawab dunia, kepada manusia dan masyarakat umum, yang boleh dipilih untuk dilepaskan. Sebab anak, adalah amanah Tuhan yang tidak boleh ditolak.

Tetapi Tuhan tidak pernah zalim. Siapa yang minta, dan bertindak, dari awalnya kalau bukan diri sendiri?

Allāḥumma ṣalli ʿala Muhammad
Waʿala āli Muhammad