Ada ketikanya, saya memandang ke belakang dan tersenyum-senyum sendiri, mengenangkan kenakalan diri. Ada waktunya, saya melihat masa kini dan saya tertanya-tanya, ke mana saya selepas ini? Ada juga masa, saya lelah oleh badai yang melanda, dan saya tewas oleh bisikan syaitan. Lalu saya bermimpi untuk kembali ke masa silam dan terus menjadi anak kecil- anak kecil yang tidak punya beban dan tanggungjawab. Atau kadangkala, saya berkhayal untuk terus melompat ke masa hadapan, tanpa melalui perjalanan yang panjang untuk tiba ke destinasi impian.

 

Ada kalanya saya melihat sekeliling dan menimbangbanding ke atas diri. Terutama sekali, apabila muncul suara-suara yang cuba menyatakan kekesalan untuk pihak saya. “Sayang sekali, andai sahaja awak tidak berpindah randah, awak sekarang mungkin sudah…” Begitu, beberapa suara yang meletakkan perkataan ‘kalau’ ke dalam diari peribadi saya.

 

“Kalau awak teruskan di Jordan, barangkali awak sudah graduasi dan sebagai-bagainya”

 

Anehnya, sejak tiga empat tahun ke belakang, saya jarang sekali akan terusik oleh perkataan-perkataan ini. Bagai ada kekuatan lain yang meniupkan, “Allah lebih tahu, lebih dari mereka yang berkata-kata”

 

Saya percaya setiap perjalanan adalah mutiara pengalaman yang berharga. Saya tidak mungkin akan memperoleh setiap butir pelajaran yang saya raih hari ini tanpa perjalanan panjang yang telah saya lalui.

 

Orang ramai melihat saya dengan pandangan kasihan dan rugi kerana saya telah menghabiskan masa lompat situ sini. Tapi saya secara peribadi mensyukuri setiap yang berlaku, tanpa membayangkan apakah kehidupan saya akan lebih baik kalau saya memilih pilihan yang lain.

 

Saya berpindah dari Jordan, kemudian ke Nottingham dan akhirnya balik semula ke Malaysia adalah dengan sebab yang jelas. Saya bukan melarikan diri dari dugaan, tapi saya memilih untuk berhadapan dengan ujian. Saya tidak menafikan terdapat begitu banyak kelemahan di pihak saya sendiri, tetapi saya juga percaya, Allah telah mendidik saya dengan didikan yang cuma Dia mengerti.

 

Untaian pengalaman saya tidak akan terhasil jika saya selesaikan apa yang pertama kali saya mulai. Ia sebaliknya akan membentuk pengalaman yang berbeza. Saya tidak akan berani untuk mengatakan pengalaman manakah yang lebih bermakna, kerana saya yakin, tidak ada yang lebih mengetahui dan berhak menilainya melainkan Allah SWT sendiri. Dan kita sebagai manusia, yang terhad ilmunya, harus sentiasa merendah diri tanpa mencampuri urusan Tuhan.

 

Sejujurnya, saya mengambil masa yang panjang untuk tiba ke tahap ini. Jatuh bangun rebah dan keliru. Suatu ketika dahulu, ketika saya masih di usia belasan tahun, saya juga sering terasa dan cemburu melihat rakan-rakan yang lain. Barangkali, begitu lumrah kehidupan yang berkembang dari hari ke hari.

 

Setiap orang punya cerita ketabahan mereka sendiri. Syeikh Hamza Yusuf menyebut, “Every single person on this planet that has reached any age of maturity, has a best-selling novel of their life, if they could just write it down in good language.”

Ada banyak kisah yang tersembunyi di sebalik setiap individu yang kita temui setiap hari. Seberapa ingin tahu pun kita terhadap kisah mereka, tidak semua yang bisa diungkapkan oleh kata-kata. Seberapa ambil berat pun kita terhadap mereka, pasti ada sudut yang tidak mungkin terluah oleh bicara. Apatah lagi, jika kita bukan siapa-siapa dengan mereka. Maka hormatilah setiap batasan yang telah digariskan oleh mereka, dan jauhkan menghukum dengan pelbagai andaian liar. Be kind, always.

Saya, akan terus berpindah ke cabaran-cabaran baru, selama nafas masih di tenggorakan. Saya masih lagi tersungkur, masih lagi tidak kuat untuk mengatakan “Aku telah melepasi semuanya”- boleh jadi sampai bila-bila pun saya tidak akan mampu berkata begitu, tetapi saya mengumpul keberanian untuk menulis agar jika ada sedikit manfaat yang boleh dikongsi, biarlah ia jadi kiraan di sisi Tuhan, dan supaya tulisan ini boleh menyalurkan doa kekuatan buat saya sendiri.

do not be a slave