Suasana sunyi menyelubungi kedinginan musim sejuk. Malam ini sungguh gelap tanpa sinaran rembulan. Hanya ada cahaya lampu samar-samar di bangku menunggu. Kami berdua rancak berborak sambil menunggu ketibaan tren, menghilangkan rasa takut yang mulai menjalar dalam diri. Kawasan sekitar yang dikelilingi belukar mengingatkan saya kepada stesen KTM Batang Benar yang sering saya singgahi semasa di Kolej Tuanku Jaafar (KTJ). Ini kali pertama saya mengunjungi stesen tren yang tidak mempunyai kaunter tiket. Di situ cuma ada saya dan seorang kawan. Tiket juga perlu dibeli di dalam tren nanti.

Dari jauh kelihatan cahaya tren menghampiri. Alhamdulillah, saya menarik nafas lega. Kami berdua menaiki tren bersama-sama. Setibanya di stesen pertukaran tren, kami berpisah dan menaiki tren yang berbeza untuk ke destinasi masing-masing. Dia kembali ke Plymouth, dan saya harus pulang ke Nottingham. “Ada kerusi kosong,” saya bersyukur lalu bergegas menuju ke tempat duduk.

Keadaan agak hingar bingar dengan pelbagai karenah manusia. Malam hujung minggu sebegini memang ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke ‘kampung’ setelah seminggu sibuk dengan aktiviti harian. Tidak kurang juga yang menggunakan kesempatan ini untuk berseronok dengan kawan-kawan.

Tren berhenti mengambil penumpang. Saya berdoa di dalam hati, “Janganlah ada yang mabuk duduk di kerusi kosong depan saya ini.”

Kedengaran suara riuh sekumpulan pemuda dari belakang. Dua tiga orang memegang botol arak. Mabuk. Saya sedikit gemuruh. Mereka menghampiri tempat duduk saya. “Ah sudah, ” saya kerisauan. Mereka terus duduk di kerusi kosong di hadapan saya sementara yang lain berdiri mengelilingi petak kerusi tersebut. “Maafkan saya, boleh tak awak alihkan beg itu?” Salah seorang anak muda yang separa mabuk berkata kepada saya sambil memandang beg di sebelah. Saya tambah kaget. Spontan saya mengangkat beg dan melarikan diri dari kerusi tersebut.

Tidak ada kerusi kosong lagi. Kebanyakan penumpang yang lain juga terpaksa berdiri. “Tak apa lah, kejap je kot, nak sampai dah,” saya memujuk diri. Lebih baik berdiri dari dikelilingi pemuda-pemuda yang sedang khayal.

Mata saya masih melilau melihat sekeliling kalau-kalau ada tempat kosong. Saya memerhati dari jauh karenah kumpulan pemuda itu lalu terpandang pasangan yang saya teka sebagai suami isteri duduk tidak jauh dari kumpulan pemuda tersebut. Kelihatan mereka berdua bercakap-cakap sambil melihat kepada saya. Kami berbalas senyum.

Tiba-tiba, lelaki separa abad itu bangun dari tempatnya dan berjalan ke arah saya. “Kami nampak kamu tadi. Kamu bangkit dari tempat duduk dan lari ke sini kerana mereka telah menakutkan kamu, kan? Ambillah tempat duduk saya, sebelah pasangan saya di situ,” sambil menunjuk ke arah ruang kosong yang ditinggalkannya.

Subhanallah, dalam hati saya kagum dengan ketinggian budi mereka. Saya sedikit teragak-agak. Tapi beliau bertegas agar saya duduk di sebelah pasangannya itu. Sambil mengucapkan terima kasih, saya menerima niat baik beliau dan pasangannya.

“Saya faham perasaan kamu. Kalau saya jadi kamu pun, saya pasti akan berasa takut,” wanita itu bagai mententeramkan saya.

Perjalanan kali ini agak lama rupanya, memakan masa hampir dua jam. Tak dapat bayangkan kalau saya terpaksa berdiri sepanjang perjalanan. Lelaki separuh abad tadi menegur kumpulan pemuda mabuk yang duduk di sebelah kami kerana telah menyebabkan saya tidak selesa. Beliau meminta salah seorang dari mereka yang masih sedar untuk meminta maaf kepada saya.

Saya bersyukur kerana Allah SWT telah menjaga saya melalui insan sebaik mereka.

Ya, keluhuran pekerti itu tidak sewajarnya dinilai dari penampilan mahupun luaran manusia. Malah, tidak juga diterhadkan oleh bangsa atau agama. Allah SWT menciptakan fitrah manusia untuk mencintai kebaikan dan membenci keburukan. Manusia yang kembali kepada fitrah akan menemui erti sebenar sebuah kehidupan.

Sebelum meninggalkan tren, salah seorang pemuda tersebut menghulurkan tangan untuk menyatakan permintaan maaf. Saya senyum, tanda maaf diterima, sambil menolak dengan baik dan menjelaskan bahawa saya tidak bersalam dengan lelaki.

sumber: sini