Kami melepaskan pelukan terakhir. “Jaga diri baik-baik,” seorang ahli rumah menitipkan pesan. Saya mengangguk, dan membuka langkah untuk menaiki bas National Express yang sedang menanti. “Sekejap,” seorang kakak, juga teman yang paling rapat dengan saya di sini menahan. Dia membuka jam tangan yang dipakainya. “Ambil ni,” dia menyuakan jam tangan kegemarannya kepada saya. Saya terkejut. “Janganlah, inikan jam akak,” saya menolak. Memang saya pernah memuji jam tersebut, unik dan cantik. “Tak apalah, awak kan suka jam ni? Tak ada apa saya boleh beri, ambillah, untuk kenangan kita,” Dia meletakkan jam tersebut ke dalam tapak tangan saya. Saya kehilangan kata-kata. “Pergilah naik bas, dah lewat,” Saya akur. “Terima kasih, kak.”Sebak.

Saya memilih tempat duduk yang berhampiran tingkap. Bas bergerak sejurus saya melabuhkan kedudukan. Sambil menahan air mata yang mulai bertakung di kolam mata, saya melambaikan tangan, tanda selamat tinggal kepada rakan-rakan yang menghantar ke stesen bas Nottingham.

Tidak sampai setahun saya di bumi Robin Hood. Ketika musim sejuk berganti kehangatan musim panas, saya justeru mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia. Terharu rasa hati apabila mengenang kebaikan keluarga di Nottingham. Majlis perpisahan yang tidak saya jangka, dan air mata sebak melepaskan pemergian, membekaskan kenangan bermakna di dalam lembaran perjalanan hidup.

ALLah is all u have

Saya juga tidak pasti apa yang bakal saya tempuhi selepas pulang nanti, tetapi saya telah bertekad akan menghadapi dengan berani. Menjadi makhluk yang dianugerahkan jiwa dan fikiran, tidak dapat tidak akan memaksa kita untuk bertanya kepada diri, “untuk apa aku di sini?” dan “apa sebenarnya yang aku cari?” Tidak seperti robot, kita bukan mesin bergerak yang terhasil dari kemajuan teknologi yang jadual hariannya sudah ditentukan. Makan,minum kerja, solat, masuk universiti, bukan kerana terpaksa, atau kerana “semua orang buat, jadi aku pun kena buat.”

Kita manusia, dikurniakan jiwa. Merasai kebahagiaan, ketenangan, keperitan, dan sebagainya di sepanjang kehidupan sehingga matlamat yang kita sendiri tetapkan untuk diri dapat dipenuhi.
Dan dalam proses mengenali diri, jangan terkejut sekiranya kita menemui pelbagai perkara yang diluar jangkaan. Ada orang memilih untuk mengabaikan perkara ‘luar biasa’ yang ditemui kerana takut dilabel oleh masyarakat ; gagal, lemah, pelik, sia-sia, dan pelbagai lagi. Lalu dia meneruskan kehidupan hariannya seperti biasa. Demi memuaskan hati masyarakat, dia tinggal dalam persoalan dan penafian kepada diri.

Tetapi orang yang percaya bahawa dia hidup tidak lain tidak bukan, hanya untuk memuaskan Allah SWT, dia akan berani menghadapi apa sahaja. Sekalipun terpaksa menentang arus masyarakat, dia tidak akan gentar untuk menjadi dirinya selagi mana dia meyakini bahawa Allah SWT bersama.

“Baliklah, kalau itu yang kak long rasa lebih baik,” ayah dan umi tidak pernah memaksa. Saya diberi kebebasan penuh untuk menentukan hala tuju hidup. “Along baliklah, kalau memang tak suka,” adik saya menghantar mesej. Mereka sumber kekuatan saya. Saya tahu, sekurang-kurangnya kalau satu dunia menentang, saya masih ada mereka.

Hampir seminggu selepas tiba di Malaysia, saya mendapat panggilan dari pihak penaja yang memanggil saya untuk perbincangan. Tiba-tiba, pada pagi yang sepatutnya dijadualkan penerbangan ke Kuala Lumpur, umi berasa tidak sihat. Saya dan ayah cuma berdua meneruskan perjalanan sementara umi tinggal di rumah. Adik lelaki saya membawa umi ke hospital.
Saya berdebar. Semoga umi baik-baik sahaja. Memang dia sering batuk-batuk dan sakit dada sejak saya pulang, tetapi saya harap itu simptom biasa. Saya menggagahkan diri bertemu penaja tanpa kehadiran umi.

Saya berterus terang mengenai keadaan sebenar. Penaja kelihatan terbuka untuk mendengar penjelasan. Mereka mencadangkan agar saya terus tinggal di Malaysia dan habiskan ijazah di dalam negara. Saya tidak bertegas dengan hasrat asal untuk ke universiti di Jordan atau Mesir sebaliknya berdoa agar perbincangan ini akan menjadi petunjuk dari Allah tentang perjalanan saya selepas ini. Usai perbincangan, saya diberi peluang untuk mengambil masa bagi mempertimbangkan cadangan tadi.

Sebaik melangkah keluar, saya menelefon ke rumah. “Umi ditahan di wad,” saya gugup. Telefon saya letakkan. Saya pejam mata dan berdoa di dalam hati “Cepatlah sampai.”