Melihat Kebaikan Di Sebalik Setiap Keburukan (Mahupun Kezaliman)

Ada banyak cara untuk kita mengenang hal-hal yang tidak menyenangkan, seperti hak yang diambil tanpa kerelaan atau janji yang dilanggar orang. Kita boleh menyumpah seranah sambil menghitung kerugian sampai penat, atau boleh mengucap alhamdulillah sambil membayang keuntungan akhirat.

Juga begitu banyak ruang untuk kita berbaik sangka kepada takdir yang kadang-kadang di luar kawalan.

Tetapi hati kita yang telah berselaput noda selalu menghalang kita dari menerima dengan damai, atau sekurangnya pada pukulan pertama, kita tewas oleh tipisnya kesabaran. Kita manusia biasa, secara fitrahnya mudah geram dengan segala hal yang membayangkan penindasan, pencabulan hak, atau penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh orang lain. Seperti Nabi Musa ‘alaihissalam yang dua kali mempersoalkan tindakan Khidir ‘alaihissalam merosakkan perahu orang dan mencabut nyawa seorang kanak-kanak yang tampak tidak berdosa.

Kita terlupa mengembalikan kejadian-kejadian buruk yang muncul di hadapan mata, baik ke atas diri sendiri atau ke atas orang terdekat, kepada Allah SWT. Bagaikan semuanya dalam kawalan kita yang masih banyak kurang, yang perlu digasak lebih kasar umpama sekeping cermin yang dikelabui titik hitam. Begitulah juga Al-Jilani pernah menulis tentang hati – bahawa hati adalah cermin yang perlu digilap dan dibersihkan dari kumpulan debu dan habuk agar dapat memantulkan Cahaya; Kebenaran.

Semakin kita dihenyak, semakin kita bangkit lebih kuat. Kuat bererti kita mampu mengawal nafsu marah yang bergelojak, untuk memulangkan keburukan dengan kebaikan. Membalas penindasan dengan keadilan. Mengembalikan hak yang telah direnggut kasar, dengan teliti di tempatnya semula.

Kerana kita berupaya melihat sesuatu yang jauh menjangkaui kekurangan manusiawi; Tuhan dan izin takdirNya yang sering disalaherti insan.

Setiap makhluk adalah asbab; punca kita ditimpa musibah dan ujian. Tetapi di sebalik mereka ada keizinan Tuhan yang mahu menguji sejauh mana kita beriman.

Kita harus belajar dari kejadian antara Nabi Musa dan Nabi Khidir ‘alaihimassalam. Perhatikan dengan teliti, sebenarnya ketiga-tiga episod yang menguji kesabaran Nabi Musa ‘alaihissalam adalah sesuatu yang kita dapat hubungkaitkan dengan realiti hidup kita setiap hari.

Perahu yang dilubangkan oleh Nabi Khidir ‘alaihissalam umpama kita yang diuji secara material, kehilangan harta atau sesuatu keperluan yang menjadi nadi kehidupan; kenderaan rosak dilanggar orang, laptop hilang dicuri orang, duit yang tidak dibayar orang, telefon pecah dihempas anak kecil yang masih hingusan dan lain-lain bentuk lagi.

Bukankah dalam hal perahu ini, Nabi Khidir ‘alaihissalam akhirnya memberitahu bahawa di belakang mereka ada raja yang akan merampas perahu-perahu yang baik keadaan? (Al-Kahfi:79)

Tetapi kita selalu terburu-buru menyalahkan keadaan, atau apa sahaja asbab yang nampak di mata kasar.
Tanpa kita ketahui, rupa-rupanya ada bala lebih besar yang Tuhan mahu lindungi kita darinya di hadapan.

Kanak-kanak yang dicabut nyawa oleh Nabi Khidir ‘alaihissalam umpama kita yang ditimpa ujian emosi dan perasaan saat orang tercinta dijemput Ilahi. Kematian adalah lumrah kehidupan. Kita tak pernah tahu bila, atas alasan apa, di mana, dengan cara apa, maut akan datang mengetuk pintu dan sedar-sedar, mereka sudah tiada lagi di sisi.

Kepedihan hati merelakan cinta di bawa pergi ke alam lain dimensi, bukan mudah untuk diubati. Tetapi jika kita percaya bahawa Tuhan ada perancangan yang lebih baik, kita akan lebih tabah meneruskan perjalanan. Bukankah dalam hal kanak-kanak tersebut, Nabi Khidir ‘alaihissalam menjelaskan bahawa Tuhan mahu menggantikan anak itu dengan anak yang lebih baik dan penyayang terhadap kedua orang tuanya? (Al-Kahfi:80-81)

Kita tak pernah lebih tahu dari Tuhan.

Sesuatu yang Tuhan izin untuk pergi dari kita, barangkali itulah yang terbaik untuk kita.

Sememangnya, sebagai pencinta kebenaran dan pejuang keadilan, adalah sangat sukar untuk kita mendiamkan sahaja apabila melibatkan banyak pihak; menindas dan tertindas. Di sinilah titik kerapuhan. Salah sikit sahaja pendekatan, dengan kita sekali terjatuh ke perangkap syaitan.

Telah diceritakan, dalam sebuah pertempuran, Sayyidina ‘Ali karramaLlahu wajhah hampir-hampir menewaskan lawannya; sang penentang agama tauhid yang dibawa Rasulullah SAW. Pedang sudah dileher, tinggal tetakan terakhir. Kafir Quraisy yang sedang terlentang tidak lagi berdaya, meludahi muka Sayyidina ‘Ali karramaLlahu wajhah, dengan niat menghina memandangkan sudah jelas-jelas tanda kekalahan di pihaknya. Sayyidina ‘Ali tidak jadi menghabiskan musuhnya, dan berlalu pergi. Orang-orang jadi bingung. Jawab Sayyidina ‘Ali karramaLlahu wajhah ketika ditanya, “Ketika aku melawannya, aku memang benar-benar ingin menewaskannya demi menegakkan agama Allah dan cinta kepada RasulNya. Tetapi ketika dia meludahi mukaku, aku bimbang aku akan membunuhnya disebabkan kebencian atau amarah.”

Begitu halus perbezaan antara jatuh ke perangkap iblis dan perjuangan demi kebenaran.

Sedikit sahaja tersalah langkah, kita bisa rebah ke jurang kebatilan.

Perjalanan menyucikan hati ini tidak mudah, tetapi tidak bermaksud kita perlu berputus asa, bukan?

Beratnya yang terpaksa kita tanggung, biarlah jadi rahsia antara kita dengan Tuhan.

Tersepitnya kita dihimpit keadaan; tidak ada jalan ke kiri mahupun ke kanan, biarlah Allah SWT yang lorongkan kepada cahaya kepastian.

Tenanglah hati yang sedang meronta-ronta mahu melepaskan dari belenggu kesulitan – setiap kepayahan kita tidak mungkin dibazirkan sia-sia tanpa perhitungan.

Dan tentang episod ketiga dari kejadian Nabi Musa dan Nabi Khidir ‘alaihimassalam, kita tinggalkan untuk renungan di kala sendirian.

Selamat menemukan kasih sayang Tuhan dari setiap hal buruk yang tak mampu kita bendungkan.

Share: