Pandangan sayup dilepaskan ke jalan raya yang terbentang di bawah. Kereta lalu lalang kelihatan kecil seperti semut menghurung gula di lampu merah.

Semalam hujan mencurah-curah membuat padang lecah. Larian entah berapa kali dalam deras hujan mengeliling padang membuat dada turun naik menahan mengah.

Pil-pil bertaburan di atas meja dibiar terdedah. Baunya menyengat, memutih seperti serbuk dadah.

Nafas dihela mencari selesa di celah amukan perasaan yang tak reti sudah.

Sekarang mengertilah, bahawa ketenangan fikiran adalah kurniaan Allah SWT yang pernah singgah. Lalu ia hilang, jatuh di mana-mana, mungkin semasa menaiki KTM menuju panggung wayang di tengah malam, atau dirobek semasa berdiri di atas pentas megah, atau juga tercicir semasa berusaha keras setiap malam sampai lelah.

Penat?

Mahu keluar?

Tenang.

Mari.

Tiga racun fikiran

Setiap orang pernah melalui cabaran masing-masing dalam mempertahankan kewarasan akal fikiran dan kesejahteraan hati dan perasaan.

Ada yang tewas, ada yang berjaya.

Tetapi pertarungan ini barangkali juga tidak pernah akan berakhir, selagi jasad masih dikandung usia. Kerana hakikatnya, dalam diri kita ada musuh yang tidak akan berputus asa selagi kita tidak menyertainya ke lembah derhaka.

Kita harus berani, tampil lebih gagah daripada apa yang ia telah buat kita percaya.

Berani melawan setiap yang dibisik di telinga. Berani membuktikan bahawa kita tidak akan berputus asa, kerana kita ada Allah SWT yang menyayangi kita lebih dari sesiapa sahaja.

Ada 3 perkara utama yang akan ia racunkan ke dalam minda separa sedar atau minda sedar, dan kita harus serius menghadapinya.

Fikiran pertama: Orang lain tak pakai kasut saya, tak ada siapa tahu apa saya rasa. Orang lain cuma menghukum sahaja tanpa usul periksa.

Fikiran ini bahaya. Kerana ia membuat kita benci semua orang yang ada di sekitar – baik yang rapat atau yang jauh, yang dekat atau yang asing. Kita tidak dapat berhubung dengan insan lain, meskipun mereka menunjukkan keprihatinan atau mengambil berat. Setiap pandangan ihsan kita anggap sebagai pandangan jahat. Setiap sapaan tanya khabar, kita dengar sebagai sinisan tajam yang menyirat. Setiap kata nasihat, kita ambil sebagai hukuman tanpa siasat.

Pernah kita bertanya ke dalam diri – adakah masyarakat yang menghukum saya, atau saya yang sebenarnya menghukum masyarakat?

Fikiran kedua: Saya seorang selfless, dan saya utamakan orang lain. Sebab meskipun dalam hati saya terseksa dililit duka dan lara, saya tetap senyum dan ketawa. Saya menyembunyikan lemah, agar orang lain mendapat semangat dari saya yang nampak gagah.

Fikiran ini memperdaya. Kerana ia membuat kita rasa orang lain semuanya mementingkan diri, hanya kita yang peduli. Kadang-kadang ia membuat kita rasa mulia dalam senyap tersembunyi. Apatah lagi hanya itu yang kita punyai. Hanya kepura-puraan itu yang mampu memberikan kita sebab untuk terus teguh berdiri.

Jika kita berhenti sejenak, kita akan dapati kenyataannya adalah kita yang mementingkan diri. Tetapi kenyataan itu terlalu pahit untuk ditelan, maka kita tidak berminat untuk terus memperhatikan.

Sedangkan, siapakah yang kita tipu dalam setiap lakonan kita, kalau bukan diri sendiri dahulu?

Dan kalau pun ada di sana sebarang kebaikan, siapakah yang mendapat keuntungan dari setiap kegagahan kita, kalau bukan jiwa sendiri yang sedang lemas dan merayu-rayu memohon udara?

Kita tidak pernah berniat memuaskan hati sesiapa pun, kita hanya memuaskan hati sendiri.

Kita tidak memasang senyum di bibir untuk orang lain mendapat motivasi, melainkan untuk diri sendiri yang mahu dihargai.

Jangan takut. Jangan serba salah lagi.

Katakan padanya, ya saya telah mementingkan diri, mungkin saya telah tersilap membezakannya dengan menghargai diri.

Mulai hari ini, detik ini, belajarlah memposisikan diri antara berlaku jujur dan keperluan berterus terang. Kita tidak memperdaya orang luar dengan topeng-topeng yang kita pakai, hanya diri sendiri yang terus terancam.

Fikiran ketiga: Orang lain yang berada di luar tak faham situasi saya yang lemas dan tak berdaya. Cuba masuk dan rasa, tengok boleh tak terus bertahan seperti saya.

Fikiran inilah yang paling membinasa.

Keadaan kita yang sedang bergelut dengan kestabilan emosi dan mental boleh diumpamakan seperti sedang terperangkap dalam pasir jerlus. Orang yang terjatuh ke dalam pasir jerlus akan terkorban bukan disebabkan lemas ditelan, tetapi disebabkan bahang matahari yang panas dan membuatkan tubuh dehidrasi. Semakin dia melawan tanpa arah, semakin dia menggelupur, semakin dalam dia ditelan. Lama kelamaan dia kepenatan, hilang tenaga. Suffocating. Hanya dua tiga hari dengan ketidakmampuan untuk bertenang, akan membuat nyawa melayang.

Bayangkan ada orang datang menghulur tangan. Kemudian kita katakan, “awak tak faham, saya penat. Awak masuk dahulu baru saya sambut pertolongan.”

Kita sendiri tak mahu berusaha dan enggan memberi percaya.

Apa yang kita jangka?

Dalam keadaan terperangkap oleh pasir jerlus ini, sekalipun ada orang datang menghulur tangan atau melontar tali, orang lain tetap tak boleh bantu banyak. Diri sendirilah yang perlu berusaha dengan cara yang betul; angkat kaki dengan teknik yang betul, posisikan badan dengan betul, barulah kita akan berjaya keluar dari perangkap ini.

It has to come from ourselves.

Begitulah juga keadaan kita yang sedang lemas dalam masalah-masalah yang berkaitan dengan kesejahteraan mental dan spiritual. Kita tidak sepatutnya mengharap orang terjun ke dalam ‘pasir jerlus’ kita kemudian bergelut bersama-sama, untuk keluarkan kita dari konflik yang dilalui. Bersyukurlah kerana ada yang datang, tetapi jangan berpeluk tubuh dan hanya tunggu diselamatkan. Bersyukurlah kerana ada sokongan dari luar, tetapi jangan sia-siakan dengan terus menggelepar. Bersyukurlah, dan perlahan-lahan, betulkan kaki, angkat kaki, jangan rentap memaksa, takut nanti ligamen terkoyak, hati-hati, atur langkah, atur pernafasan, dan keluar perlahan-lahan dari keadaan tersebut.

Dan sebaik sahaja keluar, tukar pakaian, jangan duduk diam. Bersihkan diri, kerana lubang tadi telah menyalutkan lumpur yang bukan sahaja jijik, bahkan membahayakan kulit.

Tiga penawar percuma

Ada 3 perkara yang boleh dibuat, dan bergegaslah:

Satu, mulakan aktiviti menanam. Gardening. Get connected with the soil, the Earth. Kita datang dari tanah, kita akan kembali ke dalam tanah.

Tanamlah apa sahaja, pokok bunga, sayur, buah, herba, apa sahaja. Bercucuk tanam, baik di belakang kondo, atau di dalam rumah, di mana sahaja. Usahakan. Carikan tempat.

Pagi, petang, waktu lapang, carilah masa luang. Kalau tak ada yang terluang atas dasar kesibukan, kurangkan kesibukan. Entahkan salah satu kegiatan yang kita panggil ‘sibuk’ itulah yang telah membunuh jiwa dalam diam.

Dua, untuk beberapa waktu tinggalkan semua yang atas talian. Buat kerja-kerja tangan. Tulislah dengan pena, lukislah dengan pensil warna, lakarlah dengan cat minyak di atas kertas kanvas. Masak dan beri kawan-kawan makan, buat biskut, roti dan kek yang sihat-sihat untuk hidangan minum petang. Ajarlah anak-anak kecil membaca dan mengira, kenalkan mereka kepada Rasul dan Tuhan.

Tetapi sepanjang melalukan kegiatan di luar talian ini, tahan diri dari mengemaskini di media sosial. Jangan ambil gambar selfie atau apa sahaja bentuk fotografi untuk dimuat naik ke mana-mana status.

Betulkan niat.

Kita nak beritahu kepada siapa sebenarnya? Kita nak tunjuk kepada siapa?

Tiga, pilih 2-3 orang sahaja kawan atau ahli keluarga terdekat yang paling terpercaya, untuk bersama-sama dalam perjalanan ini. Hanya mereka yang perlu kita kemaskini sentiasa – tentang apa yang kita rasa, apa yang kita buat, ke mana kita, dengan siapa kita berada. Hanya mereka. Strictly, hanya mereka sahaja.

Dalam kalangan 2-3 orang ini, ibu bapa sendiri jangan dilupa.

Kalau ada pun beberapa orang yang berhak tahu tentang keadaan diri kita yang sedang dalam bahaya, tidak ada yang lebih berhak berbanding ibu bapa yang telah besarkan kita.

Tidak ada, maka jangan nafikan hak mereka.

Kerana dalam diri mereka, ada kurniaan mustajabnya doa.

Dalam proses ini, watak yang paling utama adalah kita. Dan kita tidak dapat bergantung kepada sesiapa kecuali Allah SWT. Dan doa adalah persiapan paling mustahak yang tak boleh kita pandang sebelah mata.

This is a process of healing.

Maka kita perlu fokus, jangan terganggu dengan mainan-mainan dunia seperti media sosial, tidak kira atas nama menyebar dakwah whatsoever. Kita mahu dakwah, ini dakwah yang lebih utama. Dakwah kepada diri agar kita dapat keluar dengan sejahtera.

Get in touch with yourselves, be near to your parents, be close to nature, internalize the great mercy of Allah SWT.

Fokus, fokus, dan fokus, bahawa kita mahu sembuh.

Jangan jadikan media sosial sebagai tempat meluah perasaan kita. Walau apa pun tetapan atau konfigurasi privasinya.

Sedih? Ingat Allah SWT dahulu. Kemudian call ibu bapa, call kawan terdekat yang paling terpercaya tadi. Call, bukan mesej atau PM macam nak beli barang. You’ve gotta take your life seriously first, before anyone else does. Bercakap, borak, luahkan dan uruskan, sehingga perasaan-perasaan itu pergi.

Ulang latihan ini sehingga mampu berdiri dan keluar dari cengkaman ‘pasir jerlus’ tadi. Sehingga kita mampu cakap “I am not afraid anymore!” straight to its face whenever it comes and haunts again.

Kemudian teruslah melangkah dengan jaya.

Semoga Allah SWT sentiasa bersama, dan semoga tidak lagi alpa menghadirkan ingatan kepada Sang Pencipta setiap kali kejahatan tiba dan mengintai peluang mencuit jiwa.

Pendek kata

Kita sedang hidup di tengah-tengah khalayak yang sangat bingit pada zaman ini, jangan tenggelam dalam arus kebisingan yang memekakkan telinga. Ketika semua orang sedang berlari tak cukup tanah mengejar dunia, kita masih punya pilihan untuk berhenti sejenak dan mengingatkan diri tentang tujuan kita diciptakan dan ke mana destinasi yang mahu kita tiba.

Kita hanya perlu berani. Berani bersiasat ke dalam diri.

Berani memperbetulkan diri, berani mendengar teguran dan kritikan, berani memperbaiki.

Berani menundukkan nafsu diri.

Hal ini tidak akan jadi mudah. Sudah tentu, kerana kita akan berlawan dengan ego yang telah sebati dalam diri. Tetapi percayalah, ambil langkah pertama, kita akan bersyukur nanti kerana tenangnya setelah ego dapat kita kalahkan, adalah tenang yang memutikkan bahagia.

Pejam mata, temukan diri.

Allah SWT tak pernah sia-siakan kita, hanya kita yang enggan percaya.