“Ini apa macam ni?!” Suaranya bak halilintar memecah hening. Kelas kami terasa dingin, seram sejuk. Saya menunduk kelu. Lesu.

“Patutlah semua orang tak nak bangun hantar kertas jawapan lagi…” saya berbisik di dalam hati.

Saya mencongak di dalam fikiran, entah apa jawapan untuk membela diri. Lidah tidak mampu menuturkan apa-apa pembelaan.

Saya tak berani menentang wajahnya yang menyinga, pandangan saya jatuh ke atas kertas yang baru sahaja saya letakkan di atas mejanya.
Kertas jawapan saya dibelek antara hendak tak hendak, pen merah dilorekkan di atas kertas, satu angka ditulis. Kurang dari 3 markah. Barangkali 0. Saya antara lupa. Kejadian terlalu pantas, debaran kencang di dalam dada.

“Ini jawapan budak sekolah menengah macam ini!” Wajah saya terasa merah menyala menahan segan. Rakan-rakan yang lain menikus di meja masing-masing. Saya yang hampir melangkah keluar dari kelas tadi, telah tertahan dari pergi.

Hancur.

Kuiz pertama saya hancur. Carry mark bakal teruk. Saya tahu nasib saya sedang buruk.

Saya menahan sebak, mengingat umi yang sedang sakit di rumah, mengira markah yang telah hangus, menghitung detik waktu yang berbaki untuk saya bangkit, mengenepikan maruah dan ego diri yang telah tercalar. Saya jadi terlalu keliru.

Selesai dimarahi, saya dibenarkan pergi.
Barulah rakan-rakan lain menyusul.

Seorang kawan sekelas kemudian menghampiri saya di luar kelas. “Beliau memang begitu. Sebab itu semua orang takut nak masuk kelas dia. Memang biasa bagi markah kosong kepada pelajar. Pernah hampir separuh kelas gagal di tangan dia. Ramai yang kena repeat subject.”

Saya teringat seorang teman berpesan sebelum saya daftarkan subjek ini, supaya jangan ambil kelas dengan beliau. Tapi saya teruskan juga, sebab hanya kelas ini yang sesuai dengan jadual masa saya. Saya harus pastikan masa yang saya luangkan di kampus adalah seoptimum yang mungkin, supaya setiap hujung minggu saya boleh balik kampung, menemankan adik-adik jaga umi di rumah.

Saya menghembuskan keluhan berat.

Perasaan malu yang tadinya memberatkan jiwa sudah saya padamkan. Pertama kali menadah muka diherdik di hadapan semua, tidak lagi saya hiraukan. Saya sudah tak peduli orang fikir apa, nak kata apa, yang saya khuatir, bagaimana caranya untuk saya dapatkan balik carry mark yang telah rentung. Tinggal dua sahaja lagi kuiz selepas ini, sebelum final exam. Kalau saya mahu selesa, saya perlu dapatkan markah penuh bagi kedua-dua kuiz, mampukah saya?

Kawan saya sempat memuji keberanian saya menjadi orang pertama yang menghantar jawapan. Semua orang takut akan kejadian beginilah. Dalam hati saya tercuit, menggelakkan diri sendiri, “Dah kenapa semua orang tahu kecuali saya?”

Saya terdiam seribu bahasa.

Cuba meneruskan rutin harian di kampus seperti biasa.

Tetapi saya tak putus berdoa, agar saya diberi peluang kedua. Saya sudah tahu apa yang dicari oleh beliau dari jawapan pelajar, dan hasil dimarahi sewaktu menghantar jawapan tersebut, sekurang-kurangnya saya tahu jawapan begitu memang tidak memuaskan hati beliau. Saya tak akan ulanginya lagi, begitu saya berazam.

Saya cuma mahukan peluang kedua.

Saya terfikir mahu berjumpa dan meminta keizinan menduduki semula kuiz pertama, tetapi saya terlalu berkira-kira. Bimbang permintaan saya akan menggelojakkan lagi marahnya yang sukar dijangka.

Tidak lama kemudian, beliau membuat pengumuman yang terlalu memeranjatkan saya. Beliau bercerita, keretanya dipecahkan orang. Penyamun membawa lari beg yang ditinggalkan di dalam kereta. Disangka ada laptop barangkali, tetapi sebenarnya hanyalah kertas peperiksaan pelajar. Lesap semuanya. Termasuk kertas-kertas jawapan kelas saya pada kuiz pertama tempoh hari. Jadi, kuiz terpaksa diadakan semula.

MashaAllah!

Saya mendengar separuh percaya.

Diadakan semula? Kuiz diadakan semula?

Saya tumpang takziah di atas kemalangan yang menimpa. Tetapi, peristiwa ini membuka mata saya, juga memberi harapan baru buat saya yang telah hampir hilang daya.

Sebaik sahaja diberitahu tarikh baru untuk kuiz pertama yang perlu diadakan semula, saya mempersiapkan diri sebaik yang mungkin. Saya benar-benar bersyukur kerana langkah yang tersungkur sebelum ini, tidak membuat saya mundur. Bahkan menjadi pelajaran tambahan buat saya, kerana saya sudah tahu apa yang boleh dan apa yang tidak, di nilaian beliau. Saya memasuki kuiz dalam keadaan lebih yakin, dan alhamdulillah, setelah keputusan diumumkan, markah yang saya perolehi antara yang paling tinggi dalam kelas. Ia menjadi permulaan yang sangat baik bagi saya.

MENYEBAK NOKTAH, MENGURAI RESAH

Peristiwa ini adalah antara peristiwa yang masih kekal di ingatan saya, antara episod kejadian yang mewarnai diari hidup sebagai pelajar di universiti yang perlu berusaha keras menyeimbangkan pelajaran dan tanggungjawab sebagai anak.

Oleh yang demikian, untuk adik-adik mahasiswa yang sedang melalui waktu-waktu perit di kampus, jika boleh saya titipkan beberapa pesanan, saya ingin katakan;

Pertama, urusan akademik tak perlu lebih utama dari tanggungjawab kepada ibu bapa, apatah lagi tanggungjawab kepada Allah dan RasulNya.
Kita sudah dewasa, dan kita berhak membuat penilaian sendiri mengikut neraca pertimbangan yang didasari tanggungjawab dan hak sebagai manusia merdeka.

Kita tak perlu ikut-ikutan, menurut acuan zaman yang memudaratkan. Tetapi sebagai insan yang dikurniakan akal dan perasaan, beranilah mendahulukan yang lebih berhak, walau apa pun yang orang kata.
Selagi kita yakin kita memilih dengan ikhlas kerana kebenaran, jangan takut kecundang.

Kedua, jangan berhenti berharap kepada Allah SWT. Seluruh dunia kita bisa hancur berantakan, tetapi selagi pergantungan kepada Tuhan kita pertahankan, percayalah akan ada jalan.

Tidak ada keburukan yang menimpa orang beriman, melainkan semuanya dibawa menuju Tuhan.

Jangan gentar kehilangan harapan, gentarlah jika kita kehilangan kepercayaan terhadap Tuhan.

Ketiga, ego adalah musuh insan. Kadangkala usia kita bertambah dan membawa bersama keegoan, tetapi keegoan adalah lawan yang harus kita kalahkan.

Jangan biar ia menguasai pandangan dan penilaian kita terhadap sesuatu. Tetapi jangan juga sampai kita gadaikan prinsip dan kepercayaan. Maka kita lah yang harus menguasai ego, bukan ego yang menguasai kita.

Saya menoleh ke belakang, dan menyaksikan ini sebagai antara detik-detik sukar yang telah terlewati, sebelum umi saya pergi selamanya, dan kemudian menjadi titik mula untuk saya kembali mengangkat pena.

Noktah Terjahit lahir dari noktah-noktah ini, yang tidak pernah saya ceritakan secara langsung di dalam tulisan tersebut. Yang ternukil hanyalah refleksi yang lebih utama. Saya sedang berkira-kira untuk duduk bersama-sama pembaca dan berkongsi sudut pandang. InshaAllah jika ada rezeki ruang dan masa, saya akan umumkan perinciannya nanti, ya, kalau benar jadi.

Doakan!