“Ustazah sangat cadangkan setiap orang untuk milik kamus ini,”

“Boleh saya tengok ustazah?” Saya mengangkat tangan. Ustazah menyerahkan kamus Arab-Melayu tersebut kepada saya. Saya membelek helaian-helaian kamus yang tak berapa tebal itu.

“Hm..macam menarik je..” Saya berkata sendiri. Tapi saya tak punya kewangan yang mencukupi untuk membeli kamus tersebut. Saya bertanya, “Ustazah, kalau saya fotostat boleh tak?” Saya membuat kira-kira pantas. Kalau fotostat, kos akan jadi hampir separuh sahaja dari harga asal kamus tersebut. Harapan berbunga di dalam hati. “Tak apalah, kalau tak dapat kamus betul, dapat yang salinan pun jadilah,” Sudah kebiasaan saya, kalau ada sesuatu buku yang saya rasa sangat bagus tetapi tidak dapat saya miliki, saya akan usaha juga supaya kandungannnya dapat saya ambil manfaat.

“Erm.ustazah tak berani nak benarkan. Sebab buku ini ada penulisnya. Penulis pun cari rezeki dari hasil jualan dia kan..” Jawapan ustazah meleraikan angan-angan saya. Bagai meretakkan harapan yang baru hendak terbina. Saya diam. Tapi tiba-tiba saya mendapat akal yang lain. Saya perhatikan kamus itu tidaklah tebal mana pun, mungkin saya boleh menyalinnya dengan tangan! Ya, pasti boleh! Saya mula mencongak berapa muka surat sehari yang saya perlu salin untuk menghabiskan sebuah kamus.

Lalu, saya pun memulakan projek menyalin kamus tersebut. Saya meminjam kamus tersebut dari seorang kawan untuk dibawa pulang. Di rumah, umi terpandang saya yang sedang terbongkok menyalin sesuatu, lalu bertanya, “Salin apa tu, kak long?” Saya menjawab ” Salin kamus, ustazah kata tak boleh fotostat.” “Oh .. tak ada kerja rumah lain ke nak buat?” Dia duduk di sebelah saya. “Ada juga.”

“Mari sini nak tolong salin” Umi menawarkan diri. Saya teruja. “Nah, boleh juga, boleh buat kerja lain.” Kami gelak sama-sama.

rain fall

Ini cerita di tingkatan lima, antara kenangan yang mewarnai zaman persekolahan saya. Saya mungkin tidak termasuk dalam kalangan pelajar yang sentiasa belajar bersama rakan-rakan di waktu petang, atau lepak mengulangkaji pelajaran di mana-mana kedai makan di hujung minggu. Untuk keluar hujung minggu dan balik petang, saya perlu mengambil kira kos pengangkutan, belanja makan dan sebagainya. Maka, waktu belajar saya banyak dihabiskan di rumah.

Justeru, teman belajar saya ialah umi. Walaupun umi mungkin tidak mengerti apa yang saya pelajari di sekolah, kehadiran umilah yang memudahkan setiap urusan pembelajaran saya. Umi memberi kepercayaan penuh dan ruang yang cukup untuk saya menekuni pelajaran. Ini adalah perkara yang sangat saya syukuri.

Betapa umi memberi kepercayaan kepada saya, beliau tidak pernah mendesak untuk bertanya berapa subjek yang saya ambil untuk Sijil Pelajaran Malaysia. Saya sentiasa mengelak. Walaupun beliau pernah ternampak buku teks subjek Perdagangan, lalu bertanya, “Eh, kenapa ada buku Perdagangan? Ambil perdagangan juga ke? Saya lupa apa yang saya jawab, tapi akhirnya saya berjaya menyembunyikan hasrat bahawa saya bakal mengambil 20 subjek.

Sehingga suatu petang, selepas tamat Ujian Percubaan SPM, umi sekali lagi mengajukan pertanyaan, “Kak long sebenarnya ambil berapa subjek? Tadi ada mak cik tanya, umi baru teringat kak long tak pernah bagitahu, kan? “Saya pun menyerah kalah, memandangkan peperiksaan sebenar makin hampir. Saya rasa saya perlu berterus terang kepada umi supaya umi dapat doakan saya dengan jelas. “Ambil 20..” saya jujur. Umi terkejut.

“Percubaan tempoh hari dah ambil 20 subjek ke? Macamana keputusan?”

“Tak dapat A semua pun, ada C lagi,” saya gelak. Umi ikut gelakkan saya.

Hampir sebulan saya menduduki kertas-kertas peperiksaan SPM, tempoh paling panjang berbanding rakan-rakan seangkatan yang lain. Umi selalu ada, memerhati keperluan saya sepanjang tempoh tersebut.

Kadangkala, perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu-bapa untuk membantu perkembangan anak-anak bukan dengan mencurahkan kenikmatan material semata-mata. Tetapi, dengan berada di sana untuk mereka, dalam jarak yang boleh dilihat oleh anak-anak, supaya mereka tahu bahawa mereka tidak keseorangan. Kehadiran ibu bapa sewajarnya lebih dihargai berbanding kemewahan yang dilimpahkan. Mungkin kadang-kadang, kita perlu menyengajakan kesusahan demi sebuah kesenangan; pengajaran yang lebih berharga.

(Artikel disiarkan di Varsiti BH, 12 Feb 2015)