Bismillah.

Jadi, lebih setahun saya berehat dari menulis di laman web ini. Saya kembali semula dengan nama baru, dan layout baru.

Pertama sekali, terima kasih kepada semua yang tak jemu menghantar pesanan melalui emel dan bertanya tentang bila blog ini akan diaktifkan semula. *senyum*

Terima kasih, kerana membaca dan menjadi sebahagian dari cerita yang entah di mana penghujungnya, terima kasih kerana setia.

Maaf kerana terpaksa menunggu lama.

Noktah terjahit

Dunia ini terbina dari susunan noktah yang indah, dilukis oleh Allah SWT sehingga kita mampu menatap kagum setiap karya Nya yang Maha Agung. Lihat keliling. Tatap langit biru yang tergantung gah tanpa tiang, tenung pokok hijau yang rimbun meneduhkan, sungai yang mengalir jernih dan menyamankan, setiapnya adalah lukisan noktah-noktah yang terhubung begitu cantik.

Begitu juga pengalaman yang membentuk jurnal kehidupan manusiawi. Misteri dan rahsia yang cuma dimengerti Tuhan. Kerana, pada banyak detik dalam hidup, kita akan tersedar betapa kita tidak memahami lebih dari Tuhan memahami.

Setiap episod hidup yang terasing ibarat noktah yang sendirian. Tidak ada makna, dan akan sentiasa kekal misteri selagi ia tidak dihubungkan. Maka apabila episod-episod hidup dijalinkan; umpama noktah yang terjahit, mampu menghasilkan sebuah karya nan indah dan penuh makna.
najm

Sebagaimana bintang di dada malam yang gelita, apabila dipandang satu-satu, tiada guna melainkan sekadar mempesona sang pencinta. Mabuk dalam cinta yang tidak bertujuan. Tetapi bintang yang dihubung-hubungkan akan menunjukkan jalan buat sang pengembara. Ke mana pun destinasinya, bintang yang berhubung akan jadi peta langit yang bertujuan.

Maka, ya, Noktah Terjahit adalah sebuah harapan yang akan terus dipanjatkan, kerana tidak ada yang lebih berkuasa untuk memandu pengembaraan, melainkan Tuhan Sekalian Alam.

Melepaskan : Ibrah Ramadhan

Melewati Ramadhan buat kesekalian kali. Ramadhan yang terkandung padanya cerita yang berselirat tetapi akhirnya terurai dan terjahitkan, dengan kuasa Tuhan yang Maha Mengetahui dan mendedahkan inci demi inci keluasan hikmahNya.

Menjadi manusia yang dianugerahkan sifat rahiim, kita tidak akan dapat lari dari perasaan memiliki. Sudah tentu, apabila mengasihi, ada rasa memiliki dan takut kehilangan. Apatah lagi, apabila kita merasakan bahawa tujuan hidup kita telah dipenuhkan dengan kehadiran tersebut.

Lantas, Ramadhan tahun ini Tuhan hamparkan butir-butir perjuangan yang bergelut dengan selut kebenaran.

Ketika Tuhan menguji sejauh mana hati akan teguh dengan kebenaran apabila kebenaran bermaksud melepaskan semua yang diperjuangkan dengan sepenuh jiwa dan raga.

Ketika mengenal kebenaran adalah ibarat mengasingkan permata dari timbunan kaca. Silap langkah, jari sendiri yang terluka. Lalu Tuhan menguji, kebenarankah yang engkau cari, atau jari mulusmu yang engkau kasihi?

Untuk keluar mencari kebenaran sahaja, umpama keluar menempah tiket ke mulut naga. Tak betah meninggalkan zon selesa. Maka ujian menggasak; terus menerus di zon selesa, atau menghadap kengerian mulut  naga?

Sehingga seringkali, majoritinya memilih untuk memudahkan cerita dengan memejamkan mata. Pura-pura tak nampak, pekakkan telinga. Sekalipun indera lengkap Tuhan kurnia, bersama akal yang berfungsi sepenuhnya, adakalanya pilihan mudah ialah senyapkan saja.

Namun jiwa yang jujur tidak akan memilih diam, sekalipun harganya ialah ketidakstabilan material dan sekuriti yang terdedah bahaya.

Kerana Tuhan telah berjanji, orang-orang yang zalim tidak pernah disukaiNya.

Maka, melepaskan adalah satu-satunya pilihan yang ada. Melepaskan demi meraih redhaNya, dengan keyakinan bahawa Dia akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kerana Dia tidak pernah zalim.

Ketika Tuhan berfirman : Diwajibkan ke atas kamu berperang, sedangkan kamu membencinya. Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagimu, boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk bagimu. Allah jualah Yang Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.

Hidup adalah kesementaraan yang sederhana.

Daun yang jatuh tak pernah membenci angin. Dia membiarkan dirinya jatuh begitu sahaja. Tak melawan. Mengikhlaskan semuanya. – Tere Liye

Relakan sahaja.

Tawakkal: Permata Syawal

Tawakkal adalah hadiah dari kepercayaan. Kepercayaan yang tertinggi dan utuh digantungkan kepada Allah SWT dalam setiap hal, sekalipun kemustahilan. Kepercayaan yang terbit dari keyakinan bahawa tidak ada yang lebih mengetahui melebihi pengetahuan Allah SWT.

Tawakkal yang seterusnya akan menganugerahkan ketenangan dan kedamaian.

Dikatakan bahawa Luqman Al-Hakim pernah berpesan “Hai anakku, sesungguhnya dunia ini bagai lautan yang dalam dan manusia banyak yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan ketaqwaan, isinya keimanan dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah SWT”

kekhawatiran-salim-fillah

 

Bab Baru : Langkah Bermula

Setelah setahun menyepi, laman ini kembali lagi, akan meneruskan perjalanan yang terhenti. Terhenti di sela jeda, antara kesibukan memaknakan mimpi dan kelelahan menentang realiti.

“Seindah apa pun huruf terukir, dapatkah ia bermakna apabila tak ada jeda? Dapatkah ia dimengerti jika tak ada spasi? Bukankah kita baru bisa bergerak jika ada jarak? ”

― Dee Lestari

Flip the next page, and write a new story.