Saya meneliti patah demi patah perkataan Arab yang terbentang di hadapan mata. Pertama kali dalam hidup, saya bertatih untuk memahami sesuatu subjek. Tidak ramai yang tahu, awal-awal saya memasuki Maahad Muhammadi Perempuan, saya sebenarnya menghadapi kesukaran untuk memahami pelajaran yang diajarkan.

Saya meluahkan kesulitan yang dihadapi kepada arwah umi, dan beliau memberikan semangat agar saya lebih mencuba dan berusaha. Saya akur dan sedikit demi sedikit, saya merangkak untuk memahami satu demi satu subjek yang diajarkan dalam bahasa Arab. Sirah, Tauhid, Fiqah, Ilmu Hadis, Tajwid, dll.. buku teks yang disediakan dalam bahasa yang asing bagi saya, ditekuni dengan teliti.

Sehinggalah apabila saya akhirnya menemui rentak dan berjaya menguasai setiap subjek melalui teks yang diberikan, saya terlupa tentang peperiksaan dan menikmati pembelajaran dengan penuh keseronokan. Alhamdulillah.

Saya asyik dalam lautan ilmu, dan menghafal hampir setiap isi penting yang disampaikan dalam buku teks. Kunci yang paling utama adalah kefahaman. Sebaik sahaja memahami apa yang ingin disampaikan melalui sesebuah subjek atau topik, saya jadi terlalu menghargai ilmu yang terkandung di dalamnya. Saya akan baca, baca dan baca lagi, kemudian saya akan kenalpasti isi penting sendiri. Apa yang penting bagi saya, itulah yang saya akan cuba ingati.

Suatu hari, seorang kawan berkongsi buku kerja yang dibeli di kedai koperasi sekolah. Saya yang sebelum itu, hanya menggunakan buku teks yang diberikan oleh guru (sebab ia percuma), bertanya untuk melihat buku yang dibelinya. Saya lihat ada senarai soalan, dan di bawahnya disertakan jawapan. Saya katakan jawapan ini sama saja dalam buku teks, cuma lebih ringkas. Barulah saya tahu, rupa-rupanya kebanyakan rakan saya hanya menghafal soalan yang terdapat dalam buku tersebut, kerana hanya soalan-soalan itu yang akan diajukan dalam peperiksaan nanti. Tidak perlu hafal satu buku, kata mereka.

Saya terkesima dan kehilangan kata-kata…”haa…” menangis sedikit sendu dalam hati..

Kemudian saya katakan pada diri sendiri, “Tak apa lah.. Biarlah orang lain hafal soalan dan jawapan..saya seronok belajar dan baca buku teks lagi..”

Dan saya meneruskan rutin seperti biasa, tanpa sebarang paksaan, kerana saya sudah bahagia dengan cara belajar yang saya cipta untuk diri sendiri.

Belajar dengan niat untuk faham dan dapat ilmu, sebelum kertas peperiksaan.

Arus Zaman


Hari ini, proses pembelajaran anak-anak banyak diganggu anasir-anasir luar yang menjejaskan fokus dan tujuan asal mereka dihantar ke sekolah. Persaingan yang sengit, kelajuan teknologi, kemodenan hidup dan sebagainya membuatkan anak-anak kita ditarik ke dalam perlumbaan yang dicipta orang dewasa.

Jiwa-jiwa yang baru mahu bertumbuh dan mengenal kasih sayang, terpaksa ikut berpacu dengan waktu untuk mengejar pencapaian demi pencapaian, lalu mengabaikan keperluan insani mereka yang berhajat kepada perhatian, tunjuk ajar, dan juga bimbingan yang ikhlas untuk kebaikan diri mereka di dunia dan akhirat.

Anak-anak kita adalah manusia yang berhak bahagia. Berhak merasa damai dan seronok untuk mendapatkan ilmu dalam proses pembelajaran, kerana ilmu ialah cahaya yang akan menyuluhkan jalan mereka di hadapan. Berhak meneroka kelebihan dan kekuatan diri, meskipun tidak sama dengan orang lain. Berhak merasa diri mereka juga berharga dan boleh menyumbang kepada masyarakat suatu hari nanti.

Mereka tidak wajar dikatakan ‘lembap’, ‘bodoh’ dan dimarahi hanya kerana gagal mendapat keputusan cemerlang atau menyiapkan kerja rumah yang diberikan selaju orang lain. Boleh jadi mereka memang benar-benar tidak faham dan tidak tahu. Boleh jadi mereka langsung tidak ada klu.

Jangan biarkan sampai anak-anak ini memberontak kerana tidak ada siapa yang mendengar. Buat perangai, protes, melawan dan biadab dengan ibu bapa dan guru, sebab semasa mereka kecil, tidak ada siapa yang menyantuni. Api yang kecil, lama-lama akan marak dan tidak terkawal lagi.

Ajarkan anak-anak untuk menghargai ilmu sebagai cahaya.

Bukan sepaket maklumat yang kita isi dalam perisian dan tekan butang ‘on’ dan ‘off’ bila kita hendak.

Sebab kita khalifah yang dianugerahkan akal, bukan mesin kecerdikan artifisial.

Harapan


Melihat ke belakang, saya temui pengalaman panjang yang saya harap dapat kongsikan dengan lebih berkesan, terutamanya kepada adik-adik yang masih di bangku sekolah. Saya dan sahabat sebenarnya sedang merangka sesuatu untuk dikongsikan dan diletakkan ke tengah, doakan agar usaha kami dipermudahkan dan diberkati. Amiin..

InshaAllah saya akan kemaskini dari semasa ke semasa.

Semoga apa yang bakal kami tawarkan dapat membantu untuk mengurangkan beberapa kemelut yang dihadapi oleh kebanyakan pelajar, biizniLlah.